Subky Abdul Latif

Saturday, October 25, 2003

BERSATU DI BIBIR BERPECAH DI HATI

DALAM kunjungan ke Terengganu kurang dari sebulan menjelang menjawat jawatan Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Badawi menyeru rakyat Terengganu supaya bersatu. Apa untungnya bersatu tidak perlu dihuraikan lagi.

Ia satu seruan yang positif yang wajar diterima secara terbuka. Soal mampukah rakyat bersatu dengan seruan itu adalah suatu hal yang lain, tetapi pemimpin mestilah tidak jemu-jemu menyeru kepada perpaduan.

Dalam kontek perpaduan yang disebut-sebut tetapi tidak pernah diikhtiarkan dan dilaksanakan ialah mengendurkan ketegangan politik antara PAS dan UMNO. Itulah yang dijaja oleh setiap menteri tidak jemu-jemu. Tetapi perpaduan tidak akan berlaku sekadar seruan kosong, tetapi ia mesti diisi dengan tindakan.

Dato Seri Abdullah datang ke Terengganu menyeru supaya rakyat bersatu. Adakah beliau menyeru rakyat supaya bersatu? Atau beliau menyeru supaya UMNO bersatu?

Bercakap di hadapan penyokong-penyokong UMNO supaya rakyat bersatu, rakyat tidak akan bersatu kerana yang mendengarnya hanyalah orang UMNO saja. Seruan seperti itu adalah seruan supaya UMNO bersatu dengan berselindung di sebalik penggunaan kalimah rakyat.

Di Terengganu sejak ditadbir oleh Perikatan hingga berganti kepada Barisan Nasional perpecahan rakyat sangat ketara tetapi perpecahan UMNO sangat ketara juga. Semasa krisis UMNO antara Team A dan Team B dalam tahun 1987 ramai tokoh UMNO bergelar Dato berpecah dan meninggalkan UMNO. Almarhum Dato Engku Mohsin, Dato Salleh Speaker, Dato Zakariah Abdul Rahman, Dato Sulung dan lain-lain meninggalkan UMNO. Dalam tahun 1998 UMNO berpecah lagi dan ramai yang mengikut Dato Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian dari mereka tidak meninggalkan UMNO, tetapi menjadi anasir yang memecahkan UMNO dari dalam atas isu jemu dengan pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Kalau penyokong UMNO dan penyokong PAS tidak dapat mewujudkan persefahaman, kerana kedua-duanya tidak bertemu titik pertemuan, tetapi ada tidik pertemuan dalam UMNO, UMNO berpecah juga. Mereka bersatu di bibir tetapi berpecah di hati.

Perpecahan di Terengganu itu adalah yang paling parah. Di Kedah tidak separah di Terengganu, dan di Pahang juga tidak separah di Terengganu. Kalau di Terengganu parah ialah disebabkan kegagalan pimpinan kerajaan dan kegagalan kerajaan untuk menyatukan mereka. Kerajaan Barisan Nasional mewujudkan suasana perpecahan dari semasa ke semasa selama lebih dari 30 tahun.

Datang Dato Seri Abdullah membawa seruan supaya bersatu, suatu seruan yang tidak dicangkan oleh Tan Sri Wan Mokhtar dulu. Tetapi beliau melakukan lebih kurang apa yang ditinggalkan oleh Tan Sri Wan Mokhtar juga.

Beliau datang ke Terengganu, tetapi tidak pernah berhjajat untuk berjumpa Menteri Besar PAS Terengganu. Dato Kadir Syikh Fadzir dan Dato Seri Samy Vellu lebih terbuka, datang dan singgah bertemu Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Dato Nazri Aziz tidak disenangi oleh rakyat Terengganu kerana menutup MSRM Dungun dan Besut, tetapi beliau mahu juga bersama-sama dalam majlis dengan Haji Wahid Endut.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Ketua UMNO Terengganu Dato Seri Abdullah kadang-kadang tiga kali sebulan datang ke Terengganu. Bagai tertutup hatinya untuk bertemu dengan pemimpin kerajaan Terengganu.

Apa pentingnya dia bertemu mereka? Kerana dia menyeru kepada perpaduan, tetapi bagaimana peraduan hendak diwujudkan kalau yang menyeru perpaduan itu tidak berminat untuk bertemu orang yang tidak sealiran dengannya.

Orang Islam selalu menyebut, kalau gunung tidak datang kepada Muhammad (SAW), Muhammad datang kepada gunung. Untuk mencari perpaduan, Dato Seri Abdullah sekadar menyeru, tetapi tidak datang kepada Dato Seri Abdul Hadi. Kalau Dato Seri Abdullah tidak datang kepada Dato Seri Abdul Hadi, biar Dato Seri Tuan Guru datang kepada Dato Seri Abdullah.

Menulis pula Tuan Guru Haji Abdul Hadi kepada Dato Seri Abdullah minta bertemu bagi melaksanakan maksud biar Tuan Guru datang kepada Dato Seri Abdullah.. Tidak diketahui berjawab atau tidak.

Adakah ia satu seruan peraduan dari kumpulan yang tidak menghayati perpaduan.Jika Dato Seri Abdullah menyeru supaya rakyat bersatu, seruan itu bukan untuk menyelesaikan perbedaan antara PAS dan UMNO, tetapi ialah minta supaya rakyat bersatu menumbangkan kerajaan Islam Terengganu.

Seruan itu dipercayai tidak mungkin dapat mewujudkan perpaduan, kerana UMNO tidak mempunyai rekod yang baik mampu mewujudkan perpaduan.

Selama 30 tahun lebih UMNO berkuasa di Terengganu, perpecahan begitu ketara. Selama 50 tahun lebih UMNO menjadi tulang belakang kekuasaan di Malaysia, ia masih tidak dapat menyatukan orang Islam. Yang berlaku ialah kutukan terhadap UMNO bertambah lantang.

Selama empat tahun lebih PAS berkuasa di Terengganu, ia berusaha menyatukan rakyat dengan tidak membuang imam dan bilal UMNO. Membawa imam dan bilal PAS ke masjid dan surau bagi bersama-sama mentadbirkan institusi agama itu. Jika boleh imam UMNO duduk dan berinteraksi dengan imam PAS, maka sedikit demi sedikit mereka dapat menjalin hubungan.

Saya pernah menulis di ruangan ini, sekadar sepenggal PAS memerintah, tidak mungkin dapat menjalin muafakat yang 100 peratus bersatu, kerana mereka sudah dipecahkan pentadbiran UMNO selama 30 tahun lebih.

Tetapi kalau mereka diberi peluang lagi, maka beberapa peratus lagi perbezaan dapat dikurangkan. Rata-rata sekarang orang PAS boleh berimamkan orang UMNO dan orang UMNO tidak lagi malu-malu berimamkan orang PAS. Dalam masjid di bawah pentadbiran PAS, orang UMNO bang dan orang PAS jadi imam. Di masjid lain, orang PAS bang, UMNO pula naik atas membar.

Dalam masa setahun pertama, ia suatu sukar dilakukan, tetapi sekarang kira-kira 70 peratus masalah sudah diatasi. Cuma yang keras kepala seorang berdua di satu daerah yang suka meriuhkan suasana.

Kalau kerja sama dari Dato Seri Abdullah dapat diberikan, singgah dan bertemu dengan pimpinan negenri dua tiga kali setahun, nescaya usaha memupuk perpaduan itu akan jadi lebihmudah.

Tetapi kalau datang sekadar hendak menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PAS, maka yang akan didapati kalau ia dapat ditumbangkan, bukan perpaduan tetapi dapat kerajaan tanpa perpaduan.

Sekarang perpaduan sudah bermula dan menuju kemajuan. Tetapi kalau UMNO menang, adakah ia hendak mengekalkan perpaduan yang sudah mula terjalin? Berdasarkan pengalaman lama, UMNO tidak akan dinamakan UMNO kalau mereka tidak memecat imam dan bilal dari kalangan PAS.

Dan kalau ikut perangai Dato Seri Khir Toyo, bukan sekadar orang PAS dibuang dari memberikan khidmat kepada masjid dan surau, surau yang kuasai oleh PAS pun mungkin diroboh.

Adakah Dato Abdullah percaya stail Khir Toyo itu boleh mewujudkan perpaduan?

25/10/03

0 Comments:

Post a Comment

<< Home