Subky Abdul Latif

Sunday, October 26, 2003

MEMBAIKI PENGAJIAN ISLAM, MACAM TIKUS BAIKI LABU

DALAM tulisan mingguan hari Ahadnya, Ketua Pengarang Tan Sri Abdullah Ahmad menyarankan supaya pengajian cara hafapan atau cara yang berjalan sekarang wajah diubah kepada pengajian yang sudah global.

Saya tidak nampak akan sebarang cadangan yang kongkrit, selain dari menyarankan bahawa pengajian Islam yang ada pada keseluruhannya adalah ketinggalan zaman.

Pengajian Islam selepas merdeka sudah banyak berubah dari zaman penjajahan. Kalau dulu sekadar mempelajari kitab dari kulit buku ke kulit buku, sekarang rata-rata pengajian sudah ikut cara bersekolah seperti yang diarahkan oleh kementerian, menggunakan buku-buku teks baru, sambil menggunakan kitab-kitab lama dan mata-mata pelajaran juga sudah berkembang. Judo dan taekwando juga diperkenalkan di sekolah agama.

Justeru pengajian di sekolah kebangsaan juga bertukar setiap kali Menteri Pendidikan bertukar, maka ibu bapa tidak tahu yang mana hendak diikut dan ke mana halatuju pendidikan negara.

Yang dibimbangi saranan perubahan tanpa cadangan itu adalah lanjutan kepada ibu bapa lama sebelum merdeka beralih dari sekolah pondok ke sekolah Inggeris. Ibu bapa jenis itu memang memandang rendah sekolah pontok yang melahirkan ulama, lebai-lebai dan orang kampung yang ada asas gama saja – kemahiran masing-masing mengepalai tahlil, bertalqin dan membaca doa. Mereka menjadi petani, kerja kampung dan buruh kasar.

Pondok terus ada walaupun universiti bertambah. Lepasan pondok dan sekolah agama rakyat mengambil sijil rasmi kerajaan dan ramai yang ke unversiti. Yang lain terus ke pengajian tinggi Islam di luar negara.

Sekolah agama rakyat tetap ada bagi menampung keperluan yang tidak dapat ditampung oleh sekolah kebangsaan yang mengambil alih sekolah Inggeris. Hal keadaannya serba kekurngan tanpa bantuan penuh kerajaan.

Oleh kerana pekerjaan tidak terjamin bagi anak-anak yang pulang dari Amerika, England, Australia dan Jepun, dan anak-anak yang bekerja pun antaranya terpaksa diberhentikan oleh syarikat-syarikat, maka ibu bapa merasa bimbang dengan jaminan hidup dan akhlak anak-anak kalau tiada pekerjaan tetap.

Kalau anak-anak ada asuhan dan pendidikan agama, kalau terpaksa jual pisang gorengpun, maka mereka diharapkan jadi orang kampung dan orang bandar yang berakhlak. Ramai ibu bapa yang cemas apabila anak-anak lama jadi penganggur dan adalah yang menyesal kerana anak-anak tidak diasuh dengan pelajaran agama yang hanya ada di sekolah agama rakyat. Rasa cemas itu terubat apabila akhirnya anak-anak dapat juga pekerjaan. Tetapi bimbang semula apabila ada yang dibuang.

Disamping keperluan perubahan dalam pengajian di sekolah agama, pengajian cara lama, menghafal, disiplin pengajian yang ditinggalkan oleh Imam Shafie, Imam Ghazali dan para guru Islam muktabar yang lain masih diperlukan. Tuan-tuan guru silam seperti Syikh Abdullah Pahim dari Kepala Batas, Ustaz Abu Bakar Baqir dari Gunung Semanggul, Syikh Tahir Jalaluddin dan lain telah membuat banyak perubahan bagi memajukan sekolah agama.

Tan Sri Murad Mod. Nor sebagai pengerusi jawatankuasa mengkaji kebakaran Madrasah Taufiqiah Halimiyah, Yan, Kedah mengakui betapa Sekolah-Sekolah Agama Rakyat telah menjadi satu sokongan yang besar kepada kejayaan falsafah pendidikan negara, tetapi malangnya ia tidak mendapat sokongan dan bantuan sewajarnya dari kerajaan.

Sekolah-sekolah agama tahu akan keperluan komputer, alat-alat makmal sains, peralatan yang lengkap, perpustaaan dan guru-guru terlatih yang terjamin sara hidup masing-masing sebagai usaha memodenkan alam pendidikan mengikut waktu yang perubah dan keperluan zaman. Tetapi apakan daya sokongan kewangan bergantung kepada ibu bapa yang miskin saja.

Sekolah kebangsaan tidak dapat diharap. Ia tidak dapat menampung keperluan pendidikan agam yang diperlukan oleh ibu bapa. Ia tidak boleh mengeluarkan imam dan khatib yang dihendaki. Sekolah menengah dan maktab agama yang diselanggarakan oleh kerajaan tidak berupaya membekalkan ulama yang diperlukan oleh negara.

Bukan semua ibu bapa berupaya menghantar anak ke Mesir dan Madinah, Yaman dan lain-lain. Ketika kerajaan lebih menumpukan kepada Sekolah KEMAS dan sekolah yang diperlukan olh Rakan Muda, maka pengajian agama terbiar ketinggalan dengan bantuan ibu bapa miskin.

Apabila ulama diberi peluang berkuasa, mereka menggunakan dan kemudahan untuk membantu sekolah agama lengan komputer dan lain-lain. Lulusan sekolah seperti diberi peluang melanjutkan pelajaran di kolej-kolej Islam yang tinggi dan ada yang dihanatar ke England.

Hampir 50 tahun BN memerentah, ia berupaya mengadakan berbagai-bagai maktab teknologi dan sains. Tetapi apabila ulama PAS berkuasa di Terengganu ia membuka Koleh Sains dan Teknologi al Quran. Sudah tentu sekolah ini menggabung sistem pendidikan yang dimulakan oleh Imam Shafie dan Imam Ghazali dengan sistem pendidikan yang difikirkan oleh Amiuuddin Baki dan Dr. Mahathir.

Mengapa Ustaz Nik Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Dato Harun Taib mewujudkan istitusi pendidikan seperti itu, kerana mereka tahu akan keperluan mengekalkan disiplin mengajian yang lama dengan mensesuaikannya dengan keperluan global sekarang, supaya ulama akan datang adalah sehebat ulama dan saintis zaman kegemilangan Islam dulu. Tidak perlu diungkit soal orang profesisonal, kerana ulama itu sendiri adalah ahli-ahli profesional.

Pada pendidikan Islam tidak pernah mengira sains, teknologi, ilmu bintang dan cekerwala sebagai terpisah dari pengajian Islam, cuma orang Islam yang berfikiran barat saja mensikularkan pendidikan dengan memisahkan ada pengajian Islam dan ada pengajiaan akadamik dan keduniaan. Ilmu yang ditolak oleh Islam ialah ilmu sihir.


HD AINA
26/10/03

0 Comments:

Post a Comment

<< Home