Subky Abdul Latif

Thursday, October 30, 2003

SEBUAH KAMPUNG MELAYU-ISLAM DI LANGKAWI

KETIKA rakyat Malaysia bercakap tentang sebuah negara Islam, pro dan kontra, seorang penulis tetap dan bekas Setiausaha Politik Dr. Mahathir menulis dalam mingguan keluaran 26 Oktober, 2003 menganjurkan pembinaan sebuah Kampung Melayu-Islam di Langkawi bagi tontonan para pelancong dalam dan luar negeri.

Dalam kampung Melayu-Islam itu ada khazanah dan hasil seni Melayu-Islam yang hidup seninya, politiknya dan ekonominya, kampung yang real, yang di dalamnya ada kehidupan dan kegiatan sepanjang masa.

Cadangan itu adalah saranan dari satu rencana yang panjang yang mengupas tentang kekeciwaan umat Islam tidak bersatu, kehambaran OIC, kelemahan negara-negara Isam, nasib orang Melayu yang telah banayak dibantu oleh kerajaan tetapi tetap belum berdikari dan tentang lobi pro Israel di Amerika supaya memulaukan pelancongan ke Malaysia.

Ia satu cadangan yang kreatif yang Menteri Kebudayaan dan Pelancongan boleh timbangkan. Dan kalau ia diberi tawaran kepada Tan Sri Lim Goh Tong, saudagar dari Genting Highland untuk memajukannya, tentu ia boleh dijayakan.

Jika idea ini diberi kepada syrarikat Disney Land dari Amerika atau pelabor dari Jepun untuk membangunkan Kampung Melayu-Islam Langkawi itu, mungkin mereka boleh meluaskan dengan mengadakan pula Kampung Arab-Islam, Kampung Kamboja-Islam, Kampung Afghanistan-Islam dan lain-lain.

Tetapi adakah kelahiran sebuah kampung di Langkawi saja akan dapat membangunkan satu kehidupan Islam yang menjadi tuntutan umat sekarang? Atau ia sekadar reaksi dan jawapan kepada desakan pelobi pro Israel di Amerika supaya pelancong barat dan dunia memulaukan pelancongan ke Malaysia?

Dengan orang-orang di kampung itu hidup seni, ekonomi dan politiknya bagi ditonton oleh kita dan oleh pelancong dari seluruh dunia, adakah mungkin orang Islam di negara ini maju dan membanggakan?

Mungkin Langkawi akan menjadi pusat pelancongan baru dunia Islam menggantikan Lubnan, tetapi adakah Lubnan yang kaya dengan khazanah seninya sudah memberikan kehidupan dan kebahagiaan kepada penduduknya?

Dan sebagai kampung Melayu-Islam, apakah bentuk kehidupan beragama yang hendak ditonjolkan bagi perhatian pelancong yang ramai itu? Adkah seperti yang cuba diwujudkan di Sungai Pencala oleh kumpulan al-Arqam dulu? Tetapi kalau Ustaz Ashaari Muhamad yang di buang daerah ke Labuan itu diberi tanggungjawab membangunkannya, dipercayai ada sesuatu yang menarik yang akan dilaksanakannya.

Bagaimanapun kampung itu adalah satu mazium terbuka bagi pelancong Islam. Bila ia untuk tontonan pelancong, maka datang memakmurkannya nanti antaranya wanita dunia yang mendedah pusat dan berbagai karenah yang menjolok mata, dan akhirnya kampung Melayu-Islam apakah yang hendak ditonjolkan?

Bagaimana kampung itu dapat membantu memperkuat umat Islam dan menjadikan OIC lebih berkesan? Saya belum nampak.

Yang jelas setakat ini perjuangan umat yang hendak mendaulatkan umat Islam dalam dunia Islam dan dalam negara Islam telah dialih kepada sebuah kampung Islam yang suasananya adalah sebagai sebuah muzium Islam yang hidup.

Yang maju dan yang mendapat perhatian nanti ialah kampung Melayu-Islam itu. Kampung-kampung dan negara-negara orang Islam yang lain macam mana. Maka yang tidak bertengkar sama sendiri dan yang tidak berpecah ialah di sebuah kampung di Langkawi sedang kampung-kampung lain di Langkawi macam mana?

Kehadiran Inggeris dan penjajah-penjajah lain ke negara-negara Islam dulu bercadang dengan memajukan pentadbiran dan kehidupan penduduk di setiap negara. Untuk memajukan rakyat seluruhnya dikendalikan terus oleh penjajah. Menakala kemajuan Melayu-Islam diserahkan kepada raja-raja.

Dan akhirnya pentadbiran Islam yang menyeluruh itu terkumpul dalam satu jabatan agama saja yang menumpang dalam jabatan-jabatan lain yang lebih besar. Bagaimanapun ia ada di setiap negeri di negara ini, agak lebih besar dari yang dicadangkan di sebuah kampung di Langkawi saja.

Pada hal semua jabatan dalam kehidupan dan pentadbiran umat Islam itu dikawal di bawah peraturan dan pentadbiran Islam. Dengan kaedah itu seluruh kehidupan orang Islam dalam semua bidang terurus dan diurus secara Islam.

Inggeris mengubahnya mengkhususkan pentadbiran Islam itu disebuah jabatan saja dan selepas merdeka, ia tidak lagi ditadbirkan oleh raja-raja saja tetapi ditadbirkan bersama oleh kerajaan. Itulah yang dinamakan Islam dikawal oleh kerajaan dan bukan kerajaan itu dikawal oleh Islam.

Akhir-akhir ini datang tuntutan mahu supaya kehidupan Islam sebagai addin itu didaulatkan semula. Timbulan perbalahan dalam masyarakat Islam. Arah dan arus nampaknya mahukan kehidupan Islam yang menyeluruh itu lebih berperanan. Bertampah berpecah orang Islam antara yang pro dan kontra.

Perbezaan itu ditakrifkan oleh kerajaan dan penyokongnya sebagai perpecahan umat Islam. Polemik yang sama berlaku dalam semua masyarakat Islam di dunia. Yang bergolak di Chechnya itu adalah sama.

Tunku Abdul Rahman Putra dan Raja Faisad dari Saudi cuba mengumpulkan umat Islam dalam sebuah OIC. Kedua-duanya ada bersungguh-sungguh. Tetapi merekapun berfikiran mentadbir Islam dengan pemikiran dan pentadbiran baru, bukan mengurus pentadbiran baru dengan Islam. Tetapi jelas masalah Islam cuba diurus secara Islam yang global. Malangnya kedua-dua digantikan oleh orang-orang makan gaji yang tidak berpengaruh.

Kejayaan OIC setakat ini ialah berupaya mengadakan sidang kemuncak dua tahun sekali. Tetapi OIC tidak menghalang umat Islam berfikir tentang negara Islam, masyarakat madani dan lain-lain. Tetapi masih dalam peringkat perbalahan.

Mungkin keciwa dengan perbalahan itu, maka timbul cadangan supaya ribut polemik tentang negara Islam dan dunia Islam digantikan dengan sebuah Kampung Melayu-Islam di Langkawi.

HD AINA
30/10/03

0 Comments:

Post a Comment

<< Home