Subky Abdul Latif

Monday, November 03, 2003

GUGURNYA TIGA MENTERI DALAM SEBULAN

DALAM masa kurang dari sebulan – dalam bulan Oktober 2003 – saya menerima tiga SMS dari rakan-rakan dalam UMNO mengenai tiga kematian bekas menteri UMNO. Mesejnya jika tidak keuzuran ziarahlah jenazah mereka. Ketiga-tiganya adalah kenalan baik saya sebelum saya menjadi ahli PAS.

Entah apa sebab, maka selepas saya menyertai PAS hubungan itu terputus. Cuma sekali sekala terserempak, tetapi tidak bercakap seperti dulu lagi. Mungkin masing-masing sebok dengan aginda berbeza. Hanya sesudah pergi, saya diingatkan tentang mereka oleh rakan-rakan UMNO yang tahu saya adalah rakan pembesar-pembesar yang pergi untuk selama-salamya itu.

Mula-mula minggu kedua Oktober saya mendapat SMS tentang kematian Tan Sri A.Samad Idris, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Beberapa selepas itu diikuti oleh Dato Harun Idris, Bekas Ketua Pemuda UMNO yang paling kontroversi dan bekas Menteri Besar Selangor. Sehari Sebelum Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Sharif Ahmad, bekas Menteri Pertanian pula menerima suratan ajalnya.

Dukacita saya berhalangan, maka tidak sempat menziarahi jenazah Tan Sri A. Samad Idris. Saya tidak berapa sebok, berada di Kuala Lumpur, sepatutnya saya menziarahinya tetapi ditakhdirkan saya tidak sempat kekediamannya.

Tan Sri Samad ada peranan menjadikan saya berdikari, berhenti dari makan gaji untuk mengelolakan akhbar sendiri. Ketika itu beliau adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri dan baru saja kalah mencabar Dato Harun Idris sebagai Ketua Pemuda UMNO. Atas galakannya saya mengasaskan mingguan Suara Rakyat, akhbar yang popular, laris tetapi pendek usianya kerana permit KDNnya digantung.

Permit sangat mudah diperolehi kerana saya berkawan dengan timbalan menteri di KDN dan kerana mudahnya ia diperolehi dan mudah juga ia digantung.

Kami merancang untuk membina kompleks akhbar yang besar. Bank orang Melayu yang terbesar ketika itu difahamkan bersedia memberi pinjaman berjuta-juta kepada saya dengan syarat saya yang memulakan permintaan itu.

Tan Sri Samad membuat temu janji saya dengan penguasa bank itu. ‘Minta apa yang dikehendaki,’ ujar penguasa bank itu kepada saya. Saya tidak mengemukakan apa-apa kerana saya tidak tahu membilang duit dan saya takut mendengar dan memegang duit saya banyak.

Tan Sri Samad mencadangkan projek itu dan beliau memberi nama akhbar itu. Ia sempat keluar 11 keluaran. Ia tidak diharamkan oleh kerajaan, cuma permit KDNnya digantung. Saya tidak pernah membuat rayuan, dan kalau saya merayu mungkin permit itu disambung semula.

Saya terlalu sebok apabila menerima SMS Dato Harun pula meninggal petang 19 Oktober. Malam itu mesyuarat dan pagi esok juga ada mesyuarat. Saya ajak Senator Hassan Shukri, Timbalan Presiden PAS meniarahi jenazah selepas Asar kerana tidak mahu lagi tidak menziarahi jenazah rakan dan kenalan.

Saya pernah berjanji dengan Almarhum Dato Fadzil Noor untuk menziarahi Dato Harun yang diberikan uzur. Dato Fadzil bersetuju. Tan Sri Musa Hitam memberi tahu saya, ‘Eloklah ziarah Dato Harun. Dia baru jatuh di bilik air.’ Sedang saya mengatur jadual, Dato Fadzil pula yang meninggal.

Pernah saya singgah di rumahnya kira-kira lapan bulan lalu. Beliau tiada di rumah dan tiada dalam rumah itu orang yang kenalkan saya. Dua minggu sebelum beliau meninggal, orang kuatnya Abdullah Islam berjanaji memastikan Dato Harun ada di rumah supaya saya dapat menziarahinya. Bila saya menerima SMS itu saya dan Senator Hassan pun mendaki kaki bukit untuk ke kediamannya.

Kali terakhir saya ke rumah itu ketika rumah itu dikepung polis untuk menahannya untuk dibawa ke penjara setelah mahkamah menjatuhkan beliau bersalah. Penyokong-penyokong Dato Harun mengepung polis dari memasuki rumah itu. Saya dibenarkan masuk dan dapat duduk berbual dengannya. Lepas itu ada beberapa kali saya menziarahinya di hospital sebagai banduan.

Ketika kami tiba jenazahnya sedang dimantikan. Ramai pembesar sudah ada di bilik tetamu – Sultan Selangor, Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi, Dato Najib, Tan Sri Mohamad Mohd. Taib, Dr. Khir Toyo dan lain-lain. Kami bersalam dengan mereka dan terus ke bilik mandi jenazah. Keluarga dan rakan terdekat yang berada di bilik itu.

Kami pergi untuk sebentar saja, tetapi kerana jenazah sedang dimandikan kami menghadap jenazah orang yang pernah menggegarkan negara itu dimandi dan di kapankan. Mungkin tidak ramai yang sampai ke bilik tidur dan bilik airnya. Dalam keadaan seperti itu keluarga Dato Harun membawa saya ke bilik itu untuk menyaksikan jenazah dikapankan.

Saya selalu bersama Dato Harun di rumah itu semasa beliau menjadi topik paling panas dulu. Kami benyak bertukar pandangan. Satu hari saya berdua dengannya bercakap tentang Dr. Mahathir sebagai pemangku Timbalan Presiden UMNO. Dato Harun bertanya siapakah yang layak mencabar Dr. Mahathir untuk jadi Timbalan Presiden UMNO?

Ketika otak saya mencari calon-calon yang sesuai, Dato Harun bertanya, ‘Albar macam mana? Bolehkan Albar menang?’

Spontan saya bersestuju Tan Sri Syed Jaafar Albar, Ketua Pemuda UMNO yang baru ketika itu adalah calon paling sesuai dan mempunyai harapan besar untuk menewaskan Dr. Mahahir. Esoknya saya tanya Tan Sri Albar adalah dia bersedia untuk mencabar Dr. Mahathir kerana Dato Harun mengira beliau adalah calon paling layak.

Albar minta kepastian, ‘Benar Dato Harun kata begitu?’ Saya menangguk. Segera Tan Sri Albar meminta supaya saya bercakap dengan sesiapa. Biar perkara itu berakhir antara saya dengannya saja. Albar pun meninggal. Kisah lebih 28 tahun lalu itu hanya sekali saya sebut kepada Syed Ali Albar, abang Syed Hamid Albar ketika krisis Dr. Mahathir dengan Tengku Razaleigh dulu.

Dato Harun menunggu di Maha Klinik di Alor Setar untuk menemui Dr. Mahathir pada hal mereka sudah ada temu janji. Dia mengajak Dr. Mahathir menyertai UMNO semula. Agak liat dia hendak menyetujuinya.

Malam itu ada kempen pilihan raya kecil Sidam, Kedah. Dato Harun membawa Dr. Mahathir ke situ. Dia enggan naik ke pentas. Dato Harun mengambil pembesar suara mengumumkan kepada ribuan orang, ‘Dr. Mahathir ada bersama kita malam ini. Kita mahu dia naik ke pentas.’ Bergemuruh orang ramai minta Dr. Mahathir naik ke pentas dan dia pun kembali ke pangkuan UMNO.

Apabila saya kahwin Dato Harun tidak dapat hadir kerana hari itu dia sudah setuju hadzir ke majlis perkahwinan penyanyi Suhaili Samsuddin. Lalu dia mengadakan jamuan makan malam meraikan saya. Ramai rakan-rakan rapatnya hadir antara seniman Dato Jins Shamsuddin.

Pada petang Jumaat Dato Abdullah Badawi diistiharkan menjadi Perdana Menteri baru, sebelum Jumaat saya menerima SMS dan diikuti oleh telefon dari seorang rakan UMNO memberi tahu tentang kematian Tan Sri Sharif Ahmad. Katanya, ‘Kita ni, PAS dan UMNO walaupun berkelahi tapi orang kembar. Ziarahlah jenazah Sharif Ahmad. Dia akan dikebumikan petang ini.’

Waktu Jumaat sudah dekat. Saya tidak boleh tunggu sebelah petang kerana saya mahu melihat acra angkat sumpah Pak Lah di Perdana Menteri di TV dan mahu melihat bagaimana Dr. Mahathir diarak keluar meninggalkan Jabatan Perdana Menteri.

Sekali lagi saya cari Senator Hassan Shukri menziarahi jenazahnya di Gombak Setia. Dato Hj Khalid Yunus ada di situ. Sharif Ahmad adalah menteri yang bertanggungjawab mengambil Khalid menjadi Setiauasha Politiknya. Ini yang menjadikan Haji Khalid pembesar UMNO sekaang.

Semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Sharif selalu datang hari Ahad ke Utusan Melayu. Gilir saya kerja hari minggu, saya selalu keluar tengah hari dengannya, makan dan menonton.

Apabila dia menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, saya selalu berurus dengannya bagi menyambung permit mingguan Suara Merdeka. Yang terakhir dia setuju mengeluarkan permit untuk enam bulan. Biasanya setahun. Itupun atas bantuan dan kerjasama Tan Sri Jaafar Albar.

Lepas permit itu dikeluarkan Albar pun meninggal. Apabila permit itu tamat, Albar sudah tidak ada untuk memberi bantuan. Saya banyak kali berurusan dengan pejabatnya. Kali terakhir pegawai memberi tahu permit itu ada di meja Timbalan Menteri untuk kelulusan. Dia tidak ke pejabat kerana ada perhimpunan UMNO. Saya ke hotel mencarinya. Saya bertemu dan tidak berjaya memujuknya untuk membaharui permit penerbitan itu. Akhbar itupun tidak lagi dapat dikeluarkan.

Dia jadi menteri dalam kabinet Tun Razak dan Tun Hussein Onn. Bila bersara, kadang-kadang terserempak di Masjid Kampung Baru. Kawan-kawan memberi tahu, Sharif selalu suduk lama di masjid itu. Dia tidak aktif berpolitik selepas bersara.

MENS SANA
03/11/03

0 Comments:

Post a Comment

<< Home