Subky Abdul Latif

Saturday, December 13, 2003

ABDULLAH BADAWI
Orang kelima dan Perdana Menteri Malaysia ketujuh


PADA 1 November, 2003 Dato Seri Abdullah Badawi mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri baru bagi memimpin sebuah kerajaan yang lama. Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia yang tertua ketika mula memegang jawatan tertinggi itu. Orang kelima menjadi Perdana Menteri tetapi menjadi Perdana Menteri yang ketujuh buat negara ini.

Sebaik saja merdeka pada 31 Ogos, 1957 Tunku Abdul Rahman Putra, 54 tahun, menjadi Perdana Menteri pertama selama dua tahun. Beliau meletakkan jawatan dalam tahun 1959 untuk menghadapi pilihan raya pertama selepas merdeka. Tun Razak Hussein, awal 30an menjadi Perdana Menteri kedua selama tiga bulan. Selepas memenangi pilihan raya, Tunku menjadi Perdana Menteri semula hinggalah dibersarakan dalam tahun 1970. Ertinya kali itu beliau adalah Perdana Menteri ketiga. Kemudian Tun Razak sekali lagi menjadi Perdana Menteri iaitu Perdana Menteri keempat.

Tun Hussein Onn menggantikan Tun Razak yang meninggal dunia dalam masa perkhidmatan, sebagai Perdana Menteri kelima dalam usia 50an. Tun Dr. Mahathir Mohamad, awal 50an mengambil giliran paling lama menjadi Perdana Menteri keenam dan ketujuh barulah Dato Seri Abdullah Badawi, 63 tahun, yang paling tua memulakan tugasnya.

Seperti Tun Razak, dari kalangan pegawai perkhidmatan tinggi kerajaan, beliau telah terlatih lama dalam berbagai kementerian sebelum menjadi Perdana Menteri. Mengapa Abdullah memilih menjadi pegawai tadbir, ayahnya, Haji Ahmad Abdullah Badawi, ADUN Pulau Pinang, kenalan saya membri tahu saya, ‘Menguasai pentadbiran sebagai pegawai, adalah tempat yang baik berlatih menjadi pemimpin.’

Sebagai pegawai muda, Tan Sri Abdullah Ayub, seorang pegawai tadbir kanan masa itu memberi tahu saya, Abdullah adalah seorang pegawai yang berpotensi. Abdullah minta kepastian saya, ‘Benarkah Tan Sri Abdullah kata aku begitu?’

Jawab saya, ‘Bahkan!’ Abdullah kelihatan sangat gembira.

Ketika beliau dikenali oleh pegawai-pegawai sebagai Abdullah Ahmad, saya mengenalinya sebagai Lah Beduwi justeri dia adalah anak Haji Ahmad Beduwi. Nama Abdullah Ahmad itu mengelirukan kerana antaranya dan bekas Timbalan Menteri yang sama nama yang dikenakan tahanan ISA kerana ditohmah terbabit dengan komunis. Dia sendiri terganggu kerana disangka Dolah Komunis.

Saya gunakan Abdullah Beduwi dalam tulisan saya. Saya diberi tahu dia sangat senang. Sayapun menggunakan nama itu lagi. Lepas itu dia dikenali sebagai Abdullah Badawi pula sampailah sekarang.

Ramai yang tidak yakin kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Dr. Mahathir yang masyhur dan populer. Sama dengan tidak yakin setengah pihak kepada Tun Hussein Onn untuk menggantikan Tun Razak yang juga masyhur.

Tun Hussein mengatasi suasana dengan menimbulkan spekulasi dan teka teki tentang calon Timbalan Perdana Menterinya. Dia meluaskan calon itu hingga keluar lingkungan Naib Presiden UMNO. Dia menolak permintaan umum supaya TPM itu ditentukan oleh parti. Dia tidak mahu bertangguh, takut orang kata dia tidak tahu untuk membuat pilihan. Dia mengangkat calon yang tidak disenangi ramai ketika itu dan yang tidak diduga iaitu Dr. Mahathir.

Isu panas ketika itu ialah kononnya kerajaan dan UMNO diresapi komunis. Dia membersihkan kerajaan dengan menahan beberapa orang kepercayaan Tun Razak atas isu komunis.

Abdullah menghadapi spekulasi calon Timbalan Perdana Menteri juga. Dia didesak supaya menyegerakan pemilihan TPM dan Dr. Mahathir pernah menamakan calonnya. Abdullah membiarkan jawatan itu kosong dan tidak takut kalau orang kata dia tidak tahu membuat pilihan. Dia tidak takut pada apa yang Tun Hussein Onn takut. Tiada pula orang kata dia tidak tahu membuat pilihan. Akhirnya orang tidak berminat membincangkan isu itu dan calon-calon yang inginkan jawatan itupun tidak mengharapkan sangat akan dipilih.

Timbalan Perdana Menteri diperlukan oleh Perdana Menteri atas dua sebab. Pertama untuk membantu Perdana Menteri dan kedua untuk memangku jawatan itu semasa ia perlu dipangku. Yang penting pada Dato Seri Abdullah ialah pembantu. Bantuan yang diperlukan ialah nasihat, pandangan dan cadangan. Tindakan atas nasihat, pandangan dan cadangan itu boleh dilaksanakan oleh menteri-menteri dan pegawai-pegawai apabila diarahkan oleh Perdana Menteri.

Tugas memikir dan menasihat itu kini sudah dibantu oleh Tan Sri Musa Hitam, seorang yang dipercayai berminat untuk melihat Abdullah menjadi Perdana Menteri yang berjaya. Tan Sri Musa dipercayai boleh memberi bantuan yang sepenuh hati kerana beliau tidak berminat untuk menjadi pengganti kepada Perdana Menteri itu.

Dan setakat ini Tan Sri Musa sudah dilihat menjadi pembantunya. Ketika Dato Seri Abdullah melancarkan perang terhadap rasuah di Kuching sebelum menjadi Perdana Menteri, Tan Sri Musa adalah orang yang hadir memberi ucapan kepada pegawai-pegawai tinggi yang hendak mengekang amalan rasuah itu.

Tanpa memillihkan kedudukan politik Tan Sri Musa, dia sudah kembali dalam kerajaan secara tidak rasmi dan bagi Abdullah ia adalah bantuan yang lebih bermakna dari teruru-buru mengangkat Timbalan Perdana Menteri. Dan kalau beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan tidak menamakannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, ia akan menjadikan Abdullah sebagai Perdana Menteri lebih senang dari lain-lain Perdana Menteri.

Abdullah tentu sudah belajar betapa sakitnya kepala Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lalu dengan karenah timbalan masing-masing. Mereka ada pengalaman sendiri. Abdullah juga mungkin menghadapinya.

Dr. Mahathir memang perlukan kepada Timbalan Perdana Menteri kerana masa beliau di angkasa lebih banyak dari di muka bumi dan masa beliau mengembara lebih banyak dari di Jabatan Perdana Menteri. Abdullah perlu banyak di bumi supaya dapat berpijak di bumi bagi memerangi rasuah dan melaksanakan dasar yang diancarkannya melalui sajaknya dalam Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita UMNO yang lalu.

Abdullah hendak dilihat sebagai Perdana Menteri yang tidak mahu wang berjuta dan harta bertimbun untuk dirinya dan tidak mahu kawan-kawan untuk berpoya-poya. Panduan sajak itu menghendaki kabinetnya bersih dari orang-orang skendal. Abdullah mencintai wujudnya al Ghazali dan al Syafie. Pendidikan, akhlak, sosial dan sistem seperti mana yang telah melahirkan al Ghazali dan al Syafie? Sistem yang UMNO perkenalkan hanya berupaya melahirkan al Ghazali Syafie dan al Razaleigh.

Abdullah agak mudah meneruskan dasar dan hala tuju yang ditinggalkan oleh Perdana Menteri dulu. Tetapi sajaknya menghendakinya membuat satu anjakan. Perang terhadap rasuah yang tidak diberi perhatian dulu, adalah antara yang cocok dengan panduan sajaknya.

Bagaimana sajak itu dapat menjadi panduan menangani isu Anwar Ibrahim dan bagaimana ia menangani dan menyesuaikan diri dengan dokumen Negara Islam yang dilancarkan oleh PAS pada 13 Ramadhan lalu?

Perdana Menteri sebelumnya memulakan khidmat dalam usia yang awal dan mereka mempunyai banyak masa untuk merancng dan membuat kemajuan. Abdullah memulakan tugas pada usia yang orang-orang sejawatnya berfikir untuk bersara dan layak bersara. Ghalibnya tempoh seperti itu tidak banyak dan justeru beliau mesti membuat sebanyak-banyaknya dalam tempoh yang tidak banyak itu.

Perkhidmatan yang panjang, 22 tahun seperti Dr. Mahathir atau 32 tahun seperti Suharto belum tentu meninggalkan banyak kesan, tetapi kadang-kadang kidmat dua tahun seperti Khalifah Omar Abdul Aziz menjadi rojokan hingga akhir zaman.

Mengekalkan yang lama yang tidak popular dikira bodoh, mengubah yang lama tetapi popular adalah juga bodoh. Abdullah sedang dilihat berjalan berhati-hati tidak semua yang bodoh dari orang-orang sebelumnya.

HIJRAH
13/12/03

0 Comments:

Post a Comment

<< Home