Subky Abdul Latif

Monday, December 15, 2003

AYAH CIK DIPUJI SIN CHIEW

ORANG-orang Rusila, Kuala Terengganu rata-rata membahasa Ayah Cik kepada Dato Seri Tuan Guru Menteri Besar Terengganu, Haji Abdul Hadi Awang. Dan orang-orang Terengganu yang rapat dengan pemimpin ulama itu juga lebih mesra menggunakan Ayah Cik. Orang-orang Cina kawasan berhampiran yang biasa dengannya mulai menyebut Ayah Cik juga.

Tokoh agama dan pemimpin politik Islam itu diketahui serius, tidak rapat dengan semua orang tetapi tidak jauh, boleh diajak berbual tetapi tidak ramai datang sekadar untuk berbual. Masing-masing datang untuk bertanya sesuatu – hukum atau nasihat.

Justeru itu media dan musuh politiknya mengira beliau payah didekati, bersikap keras, radikal dan tidak mesra. Tetapi beliau sebenarnya tidak ada protokol. Boleh ditemui tetapi orang segan menemuinya, boleh bersembang tetapi orang payah bersembang kecuali mustahak.

Penulis akhbar Cina, Sin Chiew Jit Poh mengaku tidak pernah menyukainya dan tidak pernah menulis baik mengenainya. Penulis itu juga tidak pernah bersimpati dengan partinya, PAS, malah kerajaan pimpinannya di Terengganu.

Baru-baru ini penulis anti ayah cik itu tertarik dengan kenyataannya untuk menubihkan dana membantu rakyat Cina Terengganu yang miskin. Ayah Cik Tuan Guru menyebut, meskipun ramai Cina kaya raya, ramai juga Cina miskin dan perlu dibantu. Kerajaannya merasa bertanggugjawab terhadap Cina Terengganu yang miskin.

Melangit Ayah Cik dipuji oleh penulis Cina itu dan mengira ulama itu adalah orang yang mengerti tentang hati budi orang Cina. Dana membantu Cina Terengganu yang miskin itu yang mencuit hati penulis itu dan juga hati Cina seluruhnya.
Ayah Cik Tuan Guru mendengar dengan hati-hati dan memadang tajam kedepan ketika tulisan Sin Chiew Jit Poh itu dibaca di hadapannya oleh Dato Anuar Tan dari Kelantan.

‘Naik syok juga saya mendengarnya,’ sebutnya sepondan sambil ketawa disambut oleh orang-orang sekitarnya. Ia tanda beliau juga boleh berjenaka.

‘Dana itu sudah ditubuhkan,’ jelasnya. Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejuta ringgit dari Tabung Darul Iman untuk membantu Cina yang miskin. Kerajaan sedang merangka kaedah memberinya dan bila bantuan itu wajar diberikan.

Demi merengankan beban Cina miskin di Terengganu sejak tiga tahun lalu, ayah cik Menteri Besar pergi ke setiap daerah menyampai ampau kepada mereka menjelang Tahu Baru Cina. Sejak itu mereka terpaut dengannya dan mula merasa beliau sebagai ‘ayah cik’ sebenar. Tdak dinafikan masyarakat Cina menerima banyak kemudahan dari kerajaan sebelumnya, tetapi ia adalah dalam bentuk perniagaan dan perusahaan.

Kata Cina miskin yang mendapat ampau, ‘Kami yang miskin tidak layak mendapat konsesi balak dan lesen perniagaan. Roti kering dan ikan masin yang Tok Guru sampaikan lebih baik.’ Ayah cik tidak mensyaratkan orang miskin itu menjadi Islam selepas menerima ampau, cuma beliau berbuat demikian kerana tanggungjawab kepada Allah dan rakyat. Dengan itu mereka kenal Islam.

Seperti bantuan kepada orang Islam yang miskin, sekalipun bantuan wajar diberikan ketika perlu, tetapi lazimnya bantuan dibuat pada musim perayaan supaya orang miskin itu boleh bergembira pada masa semua orang bergembira.

Tabung Darul Iman ditubuhkan oleh kerajaan negeri berikutan sumber kewangan terbesar negeri iu, royalti petrolium diambil oleh kerajaan pusat. Tabung itu adalah derma orang ramai yang ia adalah cadangan seorang Cina di Pekan Cina, Kuala Terengganu apabila beliau mengadakan dialog dengan penduduk Cina di situ selepas negeri itu kehilangan 75 peratus dari belanjawannya.

Tabing itu tentunya tidak dapat menampung kewangan yang hilang, tetapi ia merengankan sikit beban kewangan kerajaan. Antara yang menyumbang tentulah masyarakat dan dermawan Cina. Maka sebahagian dari subangan itu dikembalikan semula kepada masyarakat Cina yang memerlukan.

Orang Islam dapat bantuan dari wang zakat. Cina tidak ada zakat.

Pernah rakan ayah cik dalam kerajaan negeri, Dato Harun Taib satu masa dulu mencadangkan supaya diperkenalkan kharaj, cukai pertanian seperti zakat bagi masyarakat bukan Islam. Segala pungutannya dikembalikan kepada masyarakat bukan Islam. MCA tidak tertarik dengan sistem itu kerana ia seolah-olah hendak mengislamkan masyarakat Cina.

Ia satu kaedah yang ada dalam Islam bagi membantu rakyat keturunan bukan Islam yang memerlukan bantuan seperti zakat. Ia tidak boleh digunakan untuk orang Islam. Ia satu tanggungjawab orang bukan Islam terhadap masyarakatnya yang hanya diadakan dalam Islam.

Cukainya tidak tinggi dan jika ada penjelasan dan bagaimana wang itu ditadbirkan secara telus, dipercayai akan disokong oleh masyarakat Cina.

Jika kaedahnya kira-kira seperti zakat, dan zakat yang dikeluarkan dikecualikan dari cukai pendapatan, maka hartawan bukan Islam tentu tidak menentang juga pengeluaran kharaf dikecualikan dari cukai pendapatan. Memandangkan petani Cina berupaya menjaga kebun dan ladagnya dengan baik bagi mendapat hasil yang lebih banyak, maka tidak mustahil pungutan kharaj itu tinggi. Ia bererti bantuan untuk masyarakat miskin bukan Islam juga besar.

Halangannya ialah masalah undang-undang. Kerajaan negeri tidak berkuasa atas cukai pendapatan. Kerajaan negeri tidak boleh mengajar kerajaan pusat kecualilah rakan-rakan Ayah Cik yang menguasai kerajaan pusat.

HIJRAH
15/12/03

0 Comments:

Post a Comment

<< Home