Subky Abdul Latif

Thursday, December 04, 2003

PAK MELAN TUMBUK ANAK BUAH LAMBAT TIBA KERJA

BAGAIMANA saya dapat melupakan Pak Melan terlihat saja wajah Ahmad Tabrani masuk pejabat, dia meluru menerpa Ahmad Tabrani. Sambil mengeluarkan kata-kata marah, Pak Melan menumbuk muka Ahmad Tabrani di hadapan khalayak ramai di tengah jabatan sidang pengarang akhbar harian Melayu itu.

Suasana hening seketika. Kedengaran sedu sedan Pak Melan, sedih dan agak emosi tentang anak buahnya, juru gambar Ahmad Tabrani dilaporkan tidak tiba pada waktunya dalam acara mengamail gambar bakal Yang Di Pertuan Agong.

Pak Melan nama panggilan kami kepada Tan Sri Melan Abdullah, Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu mengarahkan saya dan fotograper Ahmad Tabranai mengambil gambar Sultan Kedah yang baru diperkenan oleh mesyuarat Raja-Raja untuk menjadi Yang Di Pertuan Agung yang baru.

Dato Protokol Istana Negara telah bersetuju memberi masa 15 minit kepada permintaan Pak Melan untuk sesi bergambar Yang Di Pertuan Agung dan Raja Permaisuri Agong yang baru itu di Istana Kedah di Kuala Lumpur.

Saya tiba awal. Ahmad Tabrani tidak muncul. Lima minit sebelum raja keluar bersama Permaisuri untuk acara itu Ahmad Tabrani belum juga muncul. Tiada jalan lain bagi saya melainkan menalifon Pak Melan mengadukan Ahmad Tabrani belum tiba. Saya mendengar rungut kekeciwaan Pak Melan yang sangat menekankan masa dan mesti menepati waktu.

Saya melihat pegawai-pegawai sudah bersedia, isyarat raja berangkat. Ahmad Rabrani tidak juga tiba. Sekali lagi saya minta bantuan kecemasan pada Pak Melan bagi mengarahkan segera juru gambar lain datang ke Istana Kedah.

Raja dan permaisuri sudah turun. Apa pilihan saya apabila juru gambar tidak ada?

‘Di mana nak ambil gambar?’ Tuanku bertanya. Saya nak jawap apa?

‘Kita ambil gambar kemudian, Tuanku,’ sembah saya. ‘Patik mohon interbiu dulu.’ Tuanku pun tiada pilihan. Baginda tidak melihat ada orang membawa kamera di situ. Saya tidak dijadulkan bertanya banyak, kerana ia adalah acara fotografi saja. Kerana Ahmad Tabrani tidak ada, saya terpaksa bertanya apa yang saya terfikir sementara menunggu juru gambar ganti tiba.

Hingga saya terpaksa bertanya, ‘Bagaimana mula Tuanku berkenalan dengan Tuanku Permaisuri?’

Raja tergelak sambil menyampaikan kepada Raja Permaisuri, ‘Bagaimana kita mula berkenalan?’ Permaisuri pun tersenyum. Sebelum sempat raja menjawab, wajah Ahmad Tabrani sudah berada di sisi kami dan sudah pun beraksi. Seorang lagi juru gambar yang diarahkan Pak Melan juga ada sama. 20 minit tadi seorang juru gambar pun tidak nampak. Sekarang dua orang juru gambar sebok sekali beraksi.

Kerja saya selesai. Giliran Ahmad pula meneruskan tugasnya.

Tuanku sudah berangkat masuk. Pembesar-pembesar Istana Negara membantah pada saya mengapa melanggar waktu? Tempoh diberi cuma 15 minit, mengapa sampai lebih setengah jam? Mereka tidak tahu masalah saya. Saya memberi alasan, ‘Raja suka bercakap dengan saya, saya nak buat macam mana?’ Saya percaya Tuanku dapat memaafkan saya berkata begitu kerana saya sendiri kaget untuk mengadap raja tanpa juru gambar.

Saya dan Ahmad Tabrani balik ke pejabat. Ketika kami masuk, Pak Melan keluar dari biliknya. Apabila dia terlibat muka Ahmad Tabrani, mulutnya menyemburkan kata-kata marah. Dia meluru menerpa Ahmad Tabrani dan menumbuk mukanya.

Mereka berdua sebenarnya rapat. Ahmad Tabrani memang pintar dan kemahuannya selalunya dilayan oleh Pak Melan. Itu yang menyebabkan Pak Melan rasa keciwa, apabila Ahmad Tabrani tidak muncul dalam temu janji yang diatur sendiri oleh Pak Melan.

‘Samai hati kamu bagi aku malu,’ kata Pak Melan.

Ahmad Tabrani yang kena seketul penumbuk sulung Pak Melan itu membela diri, ‘Saya pergi Pak Melan. Tapi sesat tak jumpa Istana Kedah. Jenuh saya mencarinya.’

Mendengar jawapan itu agaknya panas dan marah Pak Melan reda. Dia menarik tangan Ahmad Tabrani masuk ke biliknya. Semuanya cemas. Gerangan apa pula selepas itu? Semua tahu Pak Melan cukup marah. Kami selalu kena marah kerana lambat pergi bertugas. Pak Melan pantang sangkat kalau orang tak tepat masa.

Dalam bilik kedua-duanya berpeluk-peluk sambil pipi masing-masing dibasahi air mata.

Ahmad Tabrani sebenarnya pergi tetapi tidak jumpa tempat yang dicari.

Rakan-rakan menyalahkan saya kerana mengadu kepada Pak Melan menyebabkan Ahmad Tabrani kena tumbuk. Saya tiada pilihan. Hanya dengan mengadu kepadanya, memungkinkan saya dapat juru gambar ganti serta merta.

Kedua-duanya terus berbaik. Pak Melan bukan sekadar kenal Ahmad Tabrani, malah Pak Melan kenal ayahnya, orang kaya Kuala Lumpur di zamannya.

WATAK
04/12/03

0 Comments:

Post a Comment

<< Home