Subky Abdul Latif

Sunday, December 28, 2003

REVOLUSI PENDIDIKAN ISLAM,
Perkenal Bahasa Arab, Qatam Quran di Sekolah Rendah

SEBELUM Dato Seri Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, dasar pendidikan bagi kanak-kanak Islam kira-kira mestj qatan di peringkat sekolah rendah. Mulai dari pentadbiran Dato Seri Abdullah pula mesti qatam Quran di peringkat sekolah rendah.

Seperti satu anjakan paradigma bagi pendidikan Islam yang disarankan oleh Perdana Menteri sehari sebelum Hari Natal untuk memperkukuh dasar dan falsafah pendidikan nasional, maka murid-murid Islam di sekolah rendah akan diperkenalkan pelajaran Bahasa Arab dan qatam Quran. Pelajar jurusan agama akan diperlengkap dengan pengetahuan sains dan kemahiran. Penuntut institusi pengajian tinggi pula digalakkan mengikuti khursus syariah dan cabang-cabang ilmu Islam yang lain.

Ia adalah ibarat penawar kepada luka pada pendidikan Islam akibat tekanan terhadap sistem sekolah agama rakyat sejak dua tahun lalu. Sekolah pondok kira-kira hampir pupus dan digantikan di kebanyakan tempat dengan sekolah agama rakyat. Sekolah pondok didirikan oleh tuan-tuan guru atas sokongan rakyat, tetapi sekolah agama rakyat didirikan oleh masyarakat dengan sokongan guru-guru agama. Apabila kerajaan enggan meneruskan bantuannya dua tahun sebelum Tun Mahathir bersara, maka sistem pendidikan Islam mengalami luka besar dan cedera parah.

Dato Abdullah mencetuskan percambahan minda dengan cadangannya tentang pendudukan Islam dimulai di peringkat rendah. Qatam Quran, pelajaran Bahasa Arab dan subjek pendidikan agama yang lain.

Umat Islam menyambut baik atas tanggungjawab yang diabaikan oleh kerajaan sejak UMNO diberi mandat berkuasa sejak tahun 1955. Akibat pendidikan negara yang tidak seimbang itu majoriti generasi selepas merdeka menghadapi kecederaan pengetahuan agama -–buta jawi, qatam tetapi tidak qatam, pengetahuan agama yang terhad, kurang upaya menjadi imam dan khatib. Sistem pendirikan negara hanya mempu melahirkan orang awam dan ahli-ahli ilmu yang layak dikategorikan sebagai orang awam juga.

Dato Seri Abdullah semasa menunggu saat untuk menjadi Perdana Menteri membaca sajak di satu malam puisi dan mengulanginya dalam ucapan merasmikan perhimpunan agung Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO. Jika sajak itu memancarkan halatuju pimpinannya, maka beliau inginkan satu masyarakat yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup rukun dan damai, ingin melihat lahir generasi seperti al Ghazali dan as Syafie.

Dasar pendidikan yang mengutamakan qatan dari qatam dan sistem hidup yang terpakai yang dipengaruhi oleh budaya Hollywood dan Bollywood mustahil melahirkan al Ghazali dan as Syafie, tetapi ia mampu melahirkan al Ghazali Syafie dan ar Razaleigh. Cadangan Perdana Menteri tentang qatam dan mengenali bahasa Arab dari peringkat rebung, adalah satu permulaan yang baik jika ia dijadikan dasar yang dilaksanakan. Ia dasar yang tidak wajar dilengahkan lagi.

Dunia barat seperti Britain telah berabad memperkenalkan pengetahun Arab dan kajian al-Quran. Malah ramai pendita yang alim ilmu Islam, malah menguasai al-Quran. Tetapi mereka gagal menghayati Islam, terpaksa berpuas hati menjadi ahli orentalis yang memusuhi dan mengkhianati Islam. Sebabnya nawaitu pengenalan mata pelajaran Islam itu di barat itu selari dengan pembinaan masjid Dirar – untuk menyaingi Islam, bukan menghayati Islam.

Justeru itu memperkenalkan mata pelajaran bahasa Arab dan qatam dengan asas bagi mengenali al-Quran di peringkat sekolah rendah itu wajar dijadikan satu ibadat supaya generasi akan datang tidak teragak-agak untuk menerima sistsem hidup Islam dalam serba aspek, membangunkan negara dan maju bersama Islam.

Dengan persekitaran persekitaran yang dihayati oleh raja dan rakyat, oleh pemimin dan umat, ia berupaya melahirkan generasi rabbani seperti al Ghazali dan as Syafie. Budaya, perundangan, pentadbiran, muamalat, ibadat yang dihubungkan dengan Allah itulah yang melahirkan al-Ghazali dan as Syafie. Sistem dan keluarga yang tidak menjaga akhlak dan pakaian tidak mampu melahirkan tokoh-tokoh ilmu terbilang itu. Jangankan seperti mereka, seperti al Maududi dan Nadawi pun tidak.

Cadangan itu dibua 10 hari sebelum bermula persekolahan tahun baru. Ketika itu tumpuan adalah menyediakan buku teks yang cukup, bilik darjah, kerusi meja murid dan guru-guru yang mencukupi. Urusan pemindahan dari pengajaran dalam bahasa Malaysia ke bahasa Inggeris belum cukup licin. Pengumuman kementerian pendidikan supaya murid-murid menguasai jawi dalam masa enam bulan sudah hampir melampaui tiga kali enam bulan, belum bermula, maka pelajaran bahasa Arab dan matlamat qatam tadi dipercayai belum boleh bermula tahun 2004 ini.

Cadangan Perdana Menteri itu lebih mencabar dari cadangan kementerian tentang penguasaan jawi. Ia memerlukan sukatan pelajaran bermula dari tahun satu hingga tahun enam. Ia mesti menyediakan buku teks dan kaedah mengajar yang komprehensif, guru yang ramai dan terlatih. Bagaimana murid-murid mempelajari dan menerima pembelajaran paling kurang dalam tiga bahasa serentak bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab. Dan kalau murid-murid bukan Islam membuat pilihan untuk mengikuti sama kelas bahasa Arab, maka mereka akan belajar dalam empat bahasa pula iaitu bahasa ibunda selain dari Bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab.

Sebuah sekolah memerlukan dua atau lebih guru bahasa Arab. Pengambilan guru baru mungkin terpaksa mengira berupaya mengajar al Quran supaya mereka dapat dimanfaatkan dan supaya kekurngan guru Quran dapat diatasi. Perkara ini perlu disegerakan bagi memastikan ia dilaksanakan semasa Dato Seri Abdullah masih mengetuai kerajaan. Jika ia tertangguh sehingga segala-galanya sudah sedia, maka dibimbangi dasar itu akan berubah.

Arah pendidikan negara setiap bertukar Menteri Pelajaran/Pendidikan. Di bawah Tun Razak lain dan di bawah Tan Sri Khir Johari juga lain. Tun Abdul Rahman Yaakub berbeza dan Tun Hussein Onn pula berubah. Demikianlah ia di bawah Dr. Mahathir, Tan Sri Musa Hitam, Abdullah Badawi dan Anwar Ibrahim.

Kepayahan ada dan beban kementerian dan sekolah bertambah. Apa lagi urusan pengajaran dalam bahasa Inggeris belum benar-benar beres. Bagaimanapun ia terpaksa dihadapi. Jika beban dan kesukaran dijadikan alasan ia tidak dapat disegerakan, maka ia akan terabai setelah ia diabaikan sejak tahun 1955 ketika UMNO mulai menerima mandat rakyat.

Justeru qatam di peringkat rendah adalah matlamat, maka ia akan menjadi syarat kenaikan ke Tingkat Satu sekolah menengah. Janggal bagi murid tidak qatam dan sekadar qatan masuk ke Tingkatan satu kerana karikulum sekolah menengah beralih ke tahap lain. Mungkin memulakan tafsir dan hafazan.

Prestasi Perdana Menteri dan Presiden sebelum ini, dan prestasi setiap menteri pendidikan termasuk Dato Seri Abdullah sendiri adalah mencerminkan dasar dan sistem yang UMNO anuti. Hanya Perdana Menteri yang terbaru ini mahu membuat satu anjakan. Dato Seri Abdullah wajar memastikan anjakan itu berlaku dan diteruskan oleh generasi pelapis bagi membezakan beliau tidak sama dengan yang terdahulu. Imej itu yang perlu dibina.

Beliau bukan baru dalam bidang pelajaran. Beliau telah terlibat dalam isu pelajar semasa menjadi pemimpin GPMS. Membatu pelajar Melayu mencapai kemajuan dalam bidang pelajran semasa menjadi pegawai belia dan berakhir dengan menjadi Menteri Pelajaran. Selain dari mengambil pengajian Islam semasa menuntut, tidak begitu jelas penglibatannya dalam isu pendidikan Islam. Berbeza dengan Anwar Ibrahim.

Mungkin sebagai menteri biasa beliau terpaksa mengikut acuan yang disediakan. Tetapi menteri adalah orang yang boleh mewarnakan prodok dari acuan itu.

Beliau menjadi Perdana Menteri pada masa ibu bapa Islam keciwa dengan layanan kerajaan tentang bekalan agama untuk anak-anak mereka. Mereka keciwa adik dan anak mereka buta jawi dan tidak pasti qatam. Terabai dalam pengetahuan agama. Sejak lebih 20 tahun lalu, ramai ibu bapa, termasuk pegawai tadbir menghantar anak ke sekolah SAR sekalipun jauh dan terpaksa berbelanja besar.

Setengahnya sanggup menghantar anak yang masih mentah ke Pakistan, India dan Sudan setelah melihat SAR tidak dapat menampung permintaan mereka. Dalam kunjungan Dato Seri Abdullah ke Afrika Selatan beliau terserempak dengan kanak-kanak Melayu yang masih berhingus dihantar oleh ibu bapa mereka. Mengapa ibu bapa miskin itu terpaksa menghantar anak begitu jauh dan berbelanja besar? Mereka tidak pasti keupayaan pendidikan Islam di tempat lain, tetapi mereka tidak yakin dengan layanan pendidikan Islam di negara sendiri.

Ibu bapa mahu anak-anak menjadi seperti Tok Guru Haji Abdullah Pahim, seperti Tok Kenali atau seperti Tuan Hussein dan Saleh Masri. Malaysia sudah tidak dapat mengeluarkan orang-orang seperti itu.

Ketika kerajaan menyerang SAR, maka mereka bertambah keciwa. Mereka mahukan perubahan dan kalau perubahan tidak berlaku, maka macam-macam akan berlaku. Abdullah terpaksa memikirkan satu revolusi pendidikan, dan ia adalah satu tindaan bagi menghadapi dokumen Negara Islam yang dilancarkan oleh PAS bulan puasa lalu.

Perdana Menteri hendaklah membuktikan saranan baru pendidikan Islam sekilah rendah itu bukan satu janji pilihan raya Mac atau April ini.

28/12/03

0 Comments:

Post a Comment

<< Home