Subky Abdul Latif

Friday, January 09, 2004

Perlantikan TPM, GAMBARNYA KOYAK SAJAKNYA DICARIK

TAJUK utama akhbar yang saya langgan terang: Najib Timbalan Perdana Menteri. Gambar Dato Najib juga terang. Tetapi gambar Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi yang bersalam dengan Dato Najib kyak rabak. Gambar Dato Najib tidak apa-apa.

Demikianlah akibat harian langganan saya pagi itu dicakar kucing. Seperti biasa saya menunggu akhbar itu setiap pagi. Saya mendengar bunyi enjin motosikar pengantar akhbar, tetapi saya tidak nampak akhbarnya. 20 minit kemudian baru saya jumpa, tetapi muka depan koyak rabak. Kebetulan yang rabak itu tentang wajah Perdana Menteri.

Berita utama hari itu ialah perlantikan Timbalan Perdana Menteri, Dato Najib yang bakal diumumkan petang itu oleh Perdana Menteri. Ia menamatkan spekulasi satu tahun setengah tentang siapa TPM.

Mengapa gambarnya koyak? Mengapa kucing menyakar gampak Pak Lah saja dan tidak gamabar Najib sekali? Tidak ada apa-apa yang ajaib dari kejadian itu kerana yang koyak akhbar untuk saya saja, sedang akhbar untuk orang lain adalah sempurna.

Tetapi mengapa akhbar yang dilempar di serambi rumah saya saja yang koyak? Tiada jawapan kepada kejadian yang tidak patut ditanya.

Justeru saya peka dengan semua berita, termasuk peka dengan kenyataan-kenyataan Perdana Menteri, terutama sajak yang dibacanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO yang terakhir.

Bagi saya sajak itu adalah mencerminkan isi hati, hala tuju, keperibadian dan prinsip hidup Dato Abdullah. Dasar kepimpinannya, orang di sekelilingnya dan anggota kabinetnya sepatutnya seperti kehendak setiap baris sajaknya.

Apabila saya melihat berita TPM yang dipilihnya dengan gambarnya dicakar kucing, maka sponan saya terfikir bahawa Perdana Menteri mencarik sajak yang dibacanya.

Sajaknya cantik dan timbalan yang dipilihnya juga cantik dan populer. Tetapi pilihan itu tidak cocok dengan maksud sajaknya.

Maksud sajaknya kalau tafsir saya tepat ialah beliau mahukan satu keamanan abadi. Justeru itu, wang berjuta, harta bertimbun dan kawan berpoya-poya bukan yang dicarinya. Dia mahu berpandu kepada kitab suci dan sunnah. Yang dicarinya ialah al-Ghazali dan as-Syafie?

Sesiapa saja yang menghayati sajak itu nescaya setuju bahawa beliau mencari yang terbaik dan kalau beliau mengambil masa hampir dua tahun untuk melantik TPM, maka adalah satu yang wajar kerana yang tersirat dalam sajaknya sukar dicari di sekelilingnya.

Mengapa Najib? Spontan reaksi setengah kaki tangan rendah di Putra Jaya. Tiadakah yang lain layak? Dan siapa lagi yang layak? Najiblah yang terlayak! Adakah komen spontan budak-budak pejabat tadi bererti Najiblah yang terbaik antara orang-orang yang serupa yang menganggotai kabinet peralihan itu?

Najib adalah yang terkanan dalam UMNO, paling populer selepas Anwar Ibrahim dibandingkan dengan yang lain. Tetapi mengapa perlantikan TPM itu menjadi teka teki sehingga orang tidak terfikir Najib sebagai pilihannya.

Dari segi kanan memang Najib terkanan. Tetapi sikap berdiam diri dan sikap Pak Lah tidak mahu orang menamakan sesiapa, menyebabkan orang beranggapan Najib bukan pilihannya. Melihat lamanya masa yang diberikan, seolah-olah payah sangat bagi Perdana Menteri mencarinya.

Tun Hussein Onn semasa mencari timbalannya, dirasakan payah seperti Dato Seri Abdullah juga. Bezanya Abdullah diam tetapi Tun Hussein riuh se dunia. Beliau memberi banyak isyarat tentng timbalannya. Akhirnya yang dinamakannya tak termasuk dalam formula yang diberinya. Pak Lah juga membuat pilihan orang tidak duga.

Melihatkan gelagat tidak berkata-katanya, masa yang panjang, tiada sebarang isyarat, maka umum merasakan Najib bukan pulihannya. Pak Lah juga seperti Tun Hussein memilih orang yang orang lain percaya beliau tidak akan pilih.

Najib memang telah menyiapkan diri untuk mengisi kerusi pimpinan kerajaan. Dia sudah membuat apa yang boleh melayakkannya mencapai tawarannya. Tidak dapat ditakwil kiranya dia menjadi pilihan. Tetapi dia tidak dapat memenuhi watak yang dikehendaki oleh sajak Pak Lah.

Sajaknya adalah idealismanya yang tinggi. Macam madah Iqbal dan lain-lain pujangga besar. Tidak semua madah dan impian itu tertunai. Tetapi madah yang boleh dikira falsafah, sasaran, prinsip oleh seorang pengajur tidak boleh dilihat dilanggar. Kecualilah jika sajak itu dibuat oleh penulis skrip dan dibaca oleh pelakun yang bukan penulis skrip.

Perdana Menteri tidak membersihkan kebinetnya dari menteri-menteri yang dapat memenuhi isi sajaknya. Kalau Dr. Mahathir dilihat melanggar slogannya ‘Bersih Cekap dan Amanah’ dan ‘Kepimpinan Melalui Teladan,’ ia adalah beliau adalah begitu. Tetapi Pak Lah dikatakan lain.

Jika sajaknya tidak ada, siapa pun timbalan dan anggota kabinetnya tidak menjadi telitian umum. Prioriti Perdana Menteri menentukan anggota kabinetnya mesti dihormati, tetapi silapnya beliau ada sajak.

Sajak itu penuh dengan idealisma yang UMNO tidak ada kupayaan untuk memenuhinya. Sama dengan Malay Dilemma yang UMNO tidak boleh laksanakan. Malay Dilemma memerlukan satu parti lain, bukan UMNO untuk melaksanakannya, maka begitulah sajak Perdana Menteri memerlukan sebuah parti lain untuk melaksanakannya.

UMNO dan sistemnya tidak berupaya melahirkan al-Ghazali dan al-Syafie kerana sistem yang melahirkan mereka sangat berbezakan dengan yang UMNO anut. Sistem yang ada hanya boleh melahirkan al-Ghazali Syafie dan al-Razaleigh.

Pilihan bagi Pak Lah ialah memikirkan wadah lain untuk memenuhi idealisma sajaknya atau sajak itu dicarik saja. Apabila akhbar yang mengumumkan pilihan beliau tentang jawatan penting itu dicakar kucing, maka justifikasi yang saya fikirkan ialah sajaknya dicariknya sendiri.

09/01/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home