Subky Abdul Latif

Thursday, February 05, 2004

100 HARI DI BAWAH PAK LAH, BPR T’GANU PERLU PASUKAN KHAS PANTAU WANG IHSAN

KETIKA rencana ini disiar dan dibaca, sudah 100 hari lebih negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi.

Perkara besar yang perdana menteri baru itu cuba tonjolkan bagi membezakan pentadbiran lain dari lain-lain perdana menteri yang dulu ialah membersihkan negara dan masyarakat dari amalan rasuah.

Masyarakat Malaysia khususnya di Terengganu menambut baik dasar murni itu justeru itu sesuai dengan ajaran Islam yang kerajaan Terengganu dan Kelantan cuba tegakkan dan ia tepat dengan pegangan orang-orang yang tinggi hemah, pekerti dan akhlak.

Sesudah 100 hari Malaysia dan Terengganu di bawah naungan pentadbiran memerangi rasuah itu, maka wajar BPR Terengganu diberi kebebasan memantau pentadbiran wang ihsan yang sudah menjadi dana khas itu.

Pada pandangan umum pengagihan wang itu ibarat kapal pecah, maka kenyanglah jerung-jerung dan makluk-makluk laut yang lain. Ia juga ibarat kedatangan Santa Claus mengaihkan barang mainan kepada kanak-kanak menjelang Hari Natal, tidak siapa memantau bagaimana jerung memanfaatkan razki dari kapal yang pecah dan siapa dan banyak mana maian yang Santa Claus beri?

Pentadbiran Perdana Menteri lalu, yang didukung oleh Perdana Menteri sekarang ialah suka dan senang hati melihat kapal pecah dan jerung berdahulu-dahuluan menyambar tumpahan dari kapal pecah. Betapa gembiranya Nakhoda (Kepten) Light melihat orang Pulau Pinang berebut-rebut memungut duit syiling yang ditembaknya ke belukar ketika dia membuka Pulau Pinang dulu, maka begitulah gembiranya Perdana Menteri dulu melihat pengagihan duit royalti Petronas milik kerajaan Terengganu itu.

Ia satu pentadbiran kuno yang tidak selari dengan ilmu yang INTAN cuba perkenalkan. Pentadbiran dan kepimpinan Abdullah Badawi sepatutnya bukan dari jenis ‘Tiga Abdul’ mesti keluar dari pentadbiran kuno yang dipusakakan kepadanya. Ia mesti keluar dari imej buruk dan membodohkan rakyat itu.

Pentadbiran seperti itu tidak disenangi oleh BPR kerana ia menyebabkan sukar bagi badan itu membantu negara menjadi sebuah negara cemerlang, bersih dan berdisiplin. Sukar bagi BPR untuk mencegah rasuah apabila rakyat disuap makan dan diberi tongkat.

Dalam amalan rasuah di negara ini, yang dinamakan rasuah dan salah dari segi undang-undang bukan sekadar memberi, menerima sogokan saja rasuah, menghalang pegawai kerajaan menjalankan tugas juga rasuah. Lihat kes Dato Seri Anwar Ibrahim.

Maka menghalang Petronas melaksanakan kewajipannya membayar royalti kepada yang ampunya adalah satu gejala rasuah. Yang seperti ini juga perlu dibetulkan oleh pentadbiran yang anti rasuah.

Pengagihan wang ihsan atau dana khas itu perlu dipantau bagi memastikan ia dimanfatkan dan terkawal. Walaupun duit judi loteri dan riba itu haram tetapi pentadbiran yang bersistem tetap menggunakan wang haram itu dengan cara yang adil dan berperaturan. Robin Hoodpun ada sistem dalam pembahagian harta rompakan.

Wang ihsan itu besar, mungkin dalam masa empat tahun kebelakangan ini jumlahnya mencecah empat bilion lebih. Justeru itu ia mesti ditadbirkan dengan baik.

Setakat ini pandangan umum merasakan wang itu diagih secara hakim beruk atau mengikut kaedah ketua penyamun dalam kisah Ali Baba. Ia diberi ikut suka dan digunakan juga ikut suka.

Boleh jadi ia ada sistem dan diberi mengikut peraturan tertentu. Tetapi orang ramai merasakan ia tidak add sistem dan diberi ikut suka senidri, tanpa kawalan dan tanpa tujuan.

Dato Seri Abdullah adalah bekas pegawai tadbir dan diplomatik, anak cucu orang baik-baik, kenal agama dan tahu dosa dan pahala. Kalau Dr. Mahathir dikatakan Perdana Menteri yang lebih cerdik dari yang lain-lain, maka Dato Seri Abdullah adalah yang lebai dari yang lain. Dengan imej lebai moden itulah beliau keluar sebagai Perdana Menteri yang hendak memerangi rasuah.

Dengan imej inilah beliau hendak membawa BN memerangi pilihan raya umum Mac ini. Soal beliau belum membuang menteri-menteri yang dirasakan ada palitan rasuah dan skendal memang diperhatikan.

Apa yang akan dibuat dan bila ia dapat dibuat, tidak diketahui tetapi beliau sudahpun melafazkan ikrar untuk memerangi rasuah. Bermula dari resolusi pegawai tadbir di Kuching semasa belaiu masih Timbalan Perdana Menteri dan ucapan-ucapan selepas menjadi Perdana Menteri, beliau terus menyerang amalan rasuah melalui percakapan.

Orang menyambutnya tidak cukup nyiru, padang dan taman ditadahkan. Maka peperangan itu bukan sekadar kata-kata, tetapi ia mesti bergerak, bertindak kepada yang sudah terjadi dan menghalang kepada yang belum terjadi.

Seorang keluarga saya tidak begitu mengenal Terengganu, tetapi beristerikan keturunan Terengganu. Beranak ramai. Setiap anak yang bersekolah dapat duit ihsan. Alangkah bertuahnya orang Perak duduk di Kuala Lumpur beristeri peranakan Terengganu beroleh wang rampasan royalti Petronas. Kalau suami peranakan Terengganu, tentu lebih berduit?

Ia adalah kesan kes pemberian duit yang tidak terkawal.

Sudah tentu ia tidak kena dengan dasar Perdana Menteri baru. Maka bagaimana Perdana Menteri hendak dihormati kalau hal=hal ini terbiar?

Dasar memerangi rasuah akan jadi sebagai propaganda anti rasuah jika ikrar Perdana Menteri itu terbiar dan dibiarkan begitu saja. Dasar itu akan menjadi dasar apabila ia diikuti dengan tindakan. Mungkin terlalu rumit untuk menangkap penyangak Perwaja, tetapi tidak rumit bagi kerajaan untuk mengawal dan memantau perjalanan duit tana khas.

Ia di bawah kawalan dan keupayaan BPR. Beri saja arahan kepada PBR untuk memantaunya. Juseru wang yang keluar banyak dan tak tersimpan oleh orang-orang yang memegangnya, maka BPR Terengganu wajar diberi kuasa menubuhkan pemantau khas mengkaji dan meneliti bagaimana wang itu ditaburkan dan bagaimana ia patut digunakan.

Setakat ini pekong duit ihsan itu tidak tercium. Ia bagaikan satu wabak sosial di Terengganu. Ia kononnya ditadbir oleh UMNO. Betulkah? Atau ia fitnah saja bagi memalukan Perdana Menteri yang menjadi ketua UMNO Terengganu?

Atas kuasa apa kalau benar wang itu ditadbir dan ditentukan oleh UMNO? BPR wajar memantaunya supaya wang awam itu dapat ditadbirkan dengan baik. BPR wajar memastikan wang itu tidak digunakan oleh UMNO secara tidak halal.

Kalau dapat dibuktikan oleh BPR wang itu telah disalah agih dan salah guna oleh UMNO, maka BPR boleh mendakwa UMNO Terengganu dan pemimpin-pemimpinnya. Jika terbukti duit awam disalah gunakan oleh UMNO, maka tidak mustahil UMNO Terengganu boleh diharamkan pula.

UMNO Terengganu adalah di bawah pimpinan terus Perdana Menteri yang hendak memerangi rasuah dan penyalah gunaan harta kerajaan. Sebelum bertindak kepada lain-lain yang belum menjadi isu, maka kerajaan pimpinan Dato seri Abdullah mesti membersihkan petadbiran wang ihsan itu.

Jika isu wang ihsan ini tidak ditangani, jangan harap usaha memerangi rasuah berjalan hebat. Ia akan dikira sebai heboh saja.

WDI
05/02/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home