Subky Abdul Latif

Wednesday, February 25, 2004

APA BPR BUAT DENGAN SURAT FAUZI?

PERDANA Menteri membenarkan BPR bertindak kepada jerung-jerung rasuah. Tetapi ia terhenti setakat menahan dua jerung yang kes mereka dalam peringkat pertuduhan yang akan dibicarakan selepas pilihan raya nanti. Mereka ialah saudagar Tan Sri Eric Chea dan menteri Tan Sri Kasitah Gaddam.

Bunyi banyak lagi jerung yang akan dikenakan, tetapi Timbalan Perdana Menteri Najib melarang mereka-reka yang mengaitkan orang itu dan orang ini. Mereka-reka adalah amalan yang tidak patut, tetapi mereka yang sudah diseret tidak langsung dan langsung dalam teka teki rasuah perlu dibersihkan.

Mengapa kes mereka mesti dibersihkan ialah bagi menghilangkan keraguan sama ada mereka bersih dari rasuah atau mungin sungguh rasuah?

Contohnya Dato Fauzi Abdul Rahman, ADUN Semerah menghantar surat perletakan jawatannya kepada Menteri Besar Pahang, Dato Adnan Yaakub membongkar apa yang boleh disifatkan penyelewengan kuasa dikatakan dilakukan oleh pembesar-pembesar Pahang sebelum pembesar sekarang dalam pengagihan hutan balak.

Pendedahan itu besar dan gempar. Sesiapa yang membaca dan mendengar pembongkaran itu boleh mengagak individu-individu yang dikatakan mewarnai penyelewengan itu. Meneri Besar dulu yang menjadi Menteri Penerangan sekarang, Tan Sri Khalil Yaakub antara yang perlu memberi penjelasan kepada tohmah pembongkaran Fauzi itu. Selain dari beliau mungkin yang lebih besar dari beliau.

Ini bukan kes mereka-reka. Ini adalah kes yang perlu diselesaikan kerana dengan surat perletakan Fauzi yang tidak pernah dilayan itu memungkinkan lis kabinet Perdana Menteri sekarang adalah lis kabinet yang kotor. Perdana Menteri mahu membersihkan kerajaannya, pentadbirannya dan negara yang diperintahnya dari kekotoran rasuah.

Justeru itu pentadbirannya tidak boleh dilihat seperti kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Kalau lis kabinetnya diconteng dengan nama-nama yang tidak dibersihkan, maka ia nanti menyebabkan orang mereka pula yang kabinet tidak bersih itu sebagai kabinet ayam bapak yang berkokok tetapi ekornya bernajis.

Menteri Besar Pahang sekarang, Perdana Menteri dulu, Timbalan Perdana Menteri sekarang sebagai pembesar UMNO dari Pahang dan BPR tidak mengambil langkah-langkah bagi menjerniahkan kandungan surat Dato Fauzi itu dan kiranya surat Fauzi itu mengandungi fitnah, maka mengapa Dato Fauzi tidak dilucutkan dari jawataan yang beliau minta letak jawatan?

Fauzi dikekal sebagai ADUN sedang tidak rela menjadi ADUN dalam keadaan yang dirasakannya tidak bersih. Tiada saman malu oleh orang-orang yang ditujunya. Tiada pembabitan yang jelas dari BPR yang terbuka dalam isu itu. Orang tidak berani buat apa-apa pada Fauzi sedang Fauzi sudah melepaskan bom busuk kepada UMNO, Barisan Nasional, kerajaan Pahang, kerajaan Persekutuan dan pentadbiran Perdana Menteri dulu dan sekarang.

Apabila Fauzi membuat pembongkaran itu,sepatutnya Menteri Besar bertindak menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Speaker untuk tindakan. BPR mesti diberi laluan untuk menentukan dakwaan Fauzi benar atau palsu. Presiden UMNO dan UMNO masa itu dan masa ini mesti membersihkan dan menyelesaikan dakwaan itu.

Dakwaan itu secara langsung membabitkan nama baik seorang menteri kanan, Setiausaha Agung UMNO dan kini dinaikkan pula menjadi Setiausaha Agung BN. Selagi nama baiknya tidak dibersihkan, maka orang tetap melihat kerajaan Pahang dulu rasuah, kerajaan pusat dulu dan sekarang juga dikotori rasuah, UMNO bersetiausaha agungkan seorang yang tidak bersih dan BN yang hendak menghadapi pilihan raya umum beberapa hari lagi adalah parti yang rasuah dan melindugi rasuah kerana Setiasaha Agungnya tidak pernah dibersihkan.

Ini bukan perkara yang direka-reka. Ini adalah perkara penting bagi Perdana Menteri yang cuba menonjolkan imej bersih, anti rasuah dan tegas. Beliau dirasakan bersih. Beliau mulai dikenali anti rasuah. Dan beliau mulai dirasai tegas; jauh lebih tegas dari Tun Dr. Mahathir. Apabila Perdana Menteri membenarkan BPR bertindak terhadap Tan Sri Eric, maka orang membandingkan Dato Seri Abdullah Badawi dengan Tun Dr. Mahathir. Orang terasa Pak Lah bukan lembik tetapi yang lembik ialah Tun.

Tetapi jangan dilupakan isu perletakan jawatan Fauzi Abdul Rahman yang mendedahkan pekung kerajaan Pahang, kerajaan pusat, UMNO dan BN. Isu itu boleh digelapkan kerana PM berkuasa. Kalau ia digelapkan, maka apa bezanya kerajaan sekarang dengan kerajaan dulu? Apa bezanya anti rasuah sekarang dengan anti rasuah dulu.

Kes Kasitah Gaddam adalah ekoran kejadian tahun 1996 semasa beliau tidak jadi menteri. Tetapi kerajaan Abdullah Badawi tidak sedia membiarkan kejadian yang beliau belum jadi Timbalan Perdana Menteri. Maka mengapa pula beliau tidak peka kepada kejadian lampau yang mendedahkan beliau, kerajaannya, parti yang dipimpinnya kepada bahaya pekung yang Fauzi dedahkan?

Jika BPR tidak membersihkan nama menteri dan pemimpin UMNO itu, dan jika Fauzi tidak muncul untuk menarik balik dakwaannya di khalayak umum seperti di TV dan minta maaf kepada kerajaan, pemimpin-pemimpin UMNO dan khususnya minta maaf kepada inividu yang terfitnah dengan surat perletakan jawatannya, maka sah UMNO menyertai pilihan raya umum ke 11 dengan pekung rasuah.

Kalau Khalil bertanding juga, dan beliau tidak bertindak terhadap Fauzi supaya nama baiknya dibersihkan, maka Perdana Menteri jangan lagi bercakap tentang anti rasuah dan kerajaan yang bersih. Beliau hanya boleh bercakap tentang UMNO mesti berkuasa lagi sama ada bersih atau pun tidak. Jika ini disetujui, maka Perdana Menteri sekarang serupa juga dengan yang lain-lain.

Jika ini yang berlaku, yang malang dan terkorban ialah Eric dan Kasitah.

25/02/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home