Subky Abdul Latif

Sunday, February 22, 2004

MEREKA-REKA HUMAN JENAYAH SEKS

DUNIA bagaikan sudah gila dan gila-gila. Dalam negeri orang-orang Islam mereka-reka akan hukuman terbaik bagi mencegah jenayah seks sedangkan agama mereka telahpun menyediakan undang-undangnya yang dinamakan hudud.

Selepas kegilaan Presiden Bush di Amerika melihat Islam itu ganas dan pengganas, Perancis pula ada gilanya yang tersendiri iaitu mengira bertudung bagi wanita Islam sebagai lambang keagamaan seperti salib bagi Kristian dan kopiah kecil bagi Yahudi.

Yang menjadikan setengah orang Islam seperti gila itu ialah adanya jenayah seks yang menjadi-jadi dan paling banyak diperkatakan ialah tragis ke atas Nurul Huda Abdul Ghani dari Johor. Gadis sunti itu dirogol dan dibunuh.

Sebelumnya rogol biasa, rogol sumbang mahram dan liwat, sudah agak mencemaskan. Selepas bermacam-macam cadangan bagi menggerunkan penjenayah, jenayah seks berlaku juga. Kalau tidak setiap hari, kejadian berlaku setiap minggu.

Orang awam, menteri-menteri, malah Perdana Menteripun ikut mereka-reka hukum yang patut dikenakan kepada si bacul. Antara rekaan itu ialah disebat di khalayak umum, disula, penjara selama-lamanya dan yang terakhir dikasi.

Semua cadangan itu lebih gerun dari yang ditentukan oleh Islam melalui hudud. Tetapi tiada yang mahu membincangkan betapa dan mengapa tidak diguna pakai hudud yang Allah janjikan sebagai penyelesaian yang terbaik?

Dalam Taurat telah dirakamkan bahawa hukuman zina, rogol dan sebagainya adalah seperti hudud. Tetapi ada Yahudi mencari hukuman lain dan minta Rasulullah SAW menghukumnya sesuai dengan kedudukannya sebagai orang Yahudi dan bukan Islam.

Baginda minta Yahudi itu membaca Taurat. Dia membacanya tetapi menutup bahagian hukuman itu dengan sebatang jari. Macam berlindung di sebalik lalang sehelai. Apabila jari itu diangkat, terserlah hukuman yang ditentukan oleh Taurat.

Allah dan nabi telah menjelaskan hukumannya, mengapa masih bebal dan mereka-reka hukuman yang lain? Orang Melayu tidak wajar disamakan dengan Yahudi, tetapi yang mencari-cari hukuman yang lain setelah al-Quran menentukan hukumannya, tidakkah sama dengan Yahudi yang mencari-cari hukuman yang lain setelah Taurat menentukan hukumannya?

Yang gila tadi cuba menyamakan sebat di khalayak umum yang bilangannya akan ditentukan oleh hakim dengan yang Islam perundangkan. Kalau sudah sama, mengapa tidak disebut hudud saja atau buat mengikut hudud?

Sebat hudud adalah ibadat dan ibadat ada kaedahnya. Yang menyelesaikan gejala jenayah seks itu bukan sebatnya dan rejamnya, tetapi berkat dan pahalanya. Allah janjikan pahalanya. Mahu mati berpahalakah atau mahu mati katak? Hanya katak yang memilih cara matinya.

Yang terbaru dicadangkan supaya dikasi saja. Yang dikasi biasanya babi jantan dan lembu jantan. Bukan kerana babi jantan dan lembu jantan itu jahat, tetapi supaya dagingnya subur. Tetapi orang jantan kasi untuk apa?

Semata-mata supaya dia tidak dapat merogol dan tidak dapat meliwat lagi. Tetapi dia boleh mencekik dan membunuh. Kalau kesannya menyebabkan dia gila atau sasau, maka dia ada paspot untuk membunuh dan membuat apa saja.

Kasi adalah mencegahnya menunaikan nafsu berahi. Nafsu adalah naluri yang mesti dilayan tetapi mengikut peraturan. Rogol, zina dan liwat tidak ikut peraturan. Yang dilarang ialah zina. Bukan bersetubuh. Mencegah bersetubuh bagi yang bernafsu sama seperti mencegah makan bagi yang lapar. Nafsu makan mesti dilayan mengikut peraturannya. Mencegah makan adalah satu langkah bersalahan dengan hak asasi.

Yang lapar dilarang makan, menyebabkan kebuluran malah mati. Yang berahi jika dicegah, nescaya sasau malah gila. Semuanya tidak menyelesaikan masalah. Yang menyelesaikan masalah ialah hudud saja. Tidak rugi seseorang Islam beriman dengan hudud.

Adapun gila orang Perancis lain pula. Kerana bencikan perempuan Islam bertudung, habis orang Kristian tidak boleh makai salib di tempat tertentu, dan laki-laki Yahudi tidak boleh berkopiah di ubun-ubun. Semuanya adalah lambang agama?

Salib adalah lambang. Tidak dikeahui adakan kopiah kecil di ubun-ubun itu lambang atau satu wajib. Serban bagi Sikh adalah rukun.

Tudung bagi wanita Islam bukan lambang. Ia adalah rukun. Wanita Islam diwajibkan bertudung. Kalau berambut palsupun wajib bertudung. Soal ada wanita Islam tidak bertundung, itu adalah masalahnya. Sama dengan ramai juga orang Islam tidak berpuasa dan tidak sukakan hudud.

Orang Perancis tidak tahu bahawa tudung kepala itu bukan lambang. Tidak bertudung seperti telanjang. Cuma bukan telanjang bulat atau separuh bogel. Bagi yang kuat imannya, tidak bertudung ibarat sudah dielanjangkan.

Mencegah rukun adalah melanggar peraturan beragama dan kebebasan beragama. Ia mencabul hak asasi manusia dan mencabul kebebasan beragama. Ia mencacatkan piagam UNESCO yang menggalakkan manusia berbudaya dan bertamaddun. Kalau Amerika mencabul piagam PBB walaupun pejabat agung PBB ada di Amerika, maka Perancis mencabul piagam UNESCO walaupun ibu pejabat UNESCO berada di Paris.

Melarang wanita Islam bertudung, sama seperti melarang orang Kristian ke gereja. Sukakah orang Perancis jika orang Kristian di larang ke gereja? Ia adalah satu peringkat kepada pencegahan beragama.

Ajaran yang melarang orang beragama ialah komunis. Bagi mereka agama itu candu. Justeru itu orang beragama adalah orang gian candu. Justeru itu tiada kebebasan beragama dalam sistem komunis.

Setelah komunis hancur maka tamaddun Perancis pula menunjukkan bunga-bunga tidak sukakan agama. Ia bermula dengan larangan menggunakan lambang, tanpa disedari ia sudah mencabul rukun bagi wanita Islam.

Alasan yang Perancis beri ialah ia bersalahan dengan amalan sekularisma Perancis. Sekular tidak melarang orang memilih agama dan beribadat dengan agamanya. Cuma ia memisahkan agama dengan politik atau pentadbiran kerajaan.

England juga sekular dan Mesir adalah sekular. Tetapi sekular Britain tidak anti agama selain dari Kristian. Tidak ada perbalahan agama di England. Dan tiada larangan penggunaan lambang agama di England.

Sekular Perancis nampaknya menuju sekularisma Ataturk, satu sekularisma yang anti Islam. Sekular Turki tidak memberi ruang kepada orang-orang beragama berperanan. Orang kuat agama dan orang berpengetahuan agama tidak mendapat layanan dalam pentadbiran. Perancis dilihat mahu jadi macam Turki di bawah Kamel Ataturk.

WDI
22/02/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home