Subky Abdul Latif

Thursday, March 11, 2004

ABDULLAH SEKADAR CUCU, ANAK ULAMA

SATU kekaguman besar kepada UMNO dengan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi yang menjadi pimpinan besarnya sekarang ialah beliau cucu dan anak ulama iaitu Haji Abdullah Fahim dan Dato Haji Ahmad Badawi.

Dengan menjadi cucu dan anak kepada ulama itu seolah-olah Perdana Menteri itu adalah segala-galanya dalam kebangkitan Islam UMNO secara tiba-tiba itu.

Memang sepatutnya seseorang berbangga apabila dilahirkan sebagai seorang anak ulama dan cucu ulama pula. Adalah satu darjat yang mulia apabila menjadi zuriat ulama, seolah-olah bangga dan terhormatnya seorang yang menjadi zuriat Rasulullah SAW yang bergelar syed dan syarifah.

Sama dengan syed bukan nabi dan tidak semestinya tergolong waris para nabi yang dimaksud dan dirakamkan dalam al-Quran, maka anak ulama dan cucu tidak semestinya mewarisi ulama.

Haji Abdullah Fahim adalah datuk Perdana Menteri Abdullah, tetapi Abdullah Fahim sebagai seorang ulama dan anggota masyarakat bukan milik Abdullah saja tetapi beliau adalah milik seluruh umat Islam. Dato Seri Abdullah adalah warisnya dari segi darah dan keturunan, tetapi Abdullah Fahim mempunyai waris-waris yang lain dalam masyarakat dan politik di Malalysia.

Jika PAS dianggap musuh UMNO yang berketuakan Abdullah Badawi, maka PAS juga dilahirkan oleh dua ulama anak beranak itu. Kalau Abdullah adalah anak sulung Ahmad Badawi, PAS juga adalah anak politik yang dilahirkannya.

Haji Ahmad Badawi adalah antara orang penting menaja penubuhan PAS di Butterworth bersama Haji Ahmad Fuad Hassan, pengerusi penaja dan Yang Dipertua pertamanya. Dan pada hari penubuhan PAS, akhbar harian terkemuka di utara masa itu Warta Negara menyiarkan semuka penuh rencana bertajuk Manifesto Badawi yang ditulis oleh Haji Ahmad Badawi.

Tahukah orang UMNO bahawa datuk Dato Seri Abdullah, Haji Abdullah Fahim tadi adalah calon Presiden PAS yang bertama? Beliau dicalonkan bertanding dengan Haji Ahmad Fuad. Ditakdirkan beliau tewas. Dan beliau menjadi pengasas pula kepada Dewan Ulama PAS. Haji Ahmad Badawi pula terpilih menjadi ahli jawatankuasa agung dan ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.

Kalau PAS itu tidak berguna bagi Perdana Menteri dan UMNO dulu, sekarang dan akan datang, maka hidupnya PAS di perigkat awal ialah di sekolah agama Daril Maarif Wataniah yang diasaskan oleh datuknya dan ketika PAS ditubuhkan bermudirkan Haji Ahmad Badawi. Mereka memberi bilik di sekolah itu, tempat awal Dato Seri Abdullah menerima pendidikan agama, menjadi ibu pejabat PAS yang bertama. Seluruh guru dan kaki tangan sekolah itu menjadi ahli PAS.

Hatta sesudah Haji Ahmad keluar dari PAS dan memilih UMNO, sekolah itu terus menjadi markaz PAS. Hanya Haji Ahmad Badawi sebagai mudir, terkonteng-konteng seorang diri sebagai ahli UMNO di tengah-tengah ustaz PAS hingga beliau terkenal atau dikenali sebagai ustaz UMNO. Kira-kira beliau seperti Awang Adik Hussein di Kelantan, menjadi seorang tokoh PAS di tengah-tengah keluarga dan masyarakat PAS di Bachok.

Tidak terdapat sejarah Haji Abdullah Fahim meninggalkan PAS dan beliau antara yang meletakkan asas dan halatuju PAS di peringkat awal. Atas fakta itu maka PAS adalah parti datuk Perdana Menteri.

Kalau Haji Ahmad meninggalkan PAS untuk kekal dalam UMNO, ia bukan suatu yang ganjil kerana ramai juga orang dari bilik berhawa dingin PAS menjadi orang kaki lima UMNO.

Kalau UMNO itu betul dan PAS tidak betul, maka Haji Ahmad Badawi yang keluar PAS terpilih menjadi Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dengan Kepten Hussein Onn sebagai ketuanya, tetapi Kepten Hussein pula meninggalkan UMNO bersama bapanya, Dato Onn Jaafar.

Jika ulama penting bagi UMNO, Haji Ahmad tidak dipilih menjadi ketua menggantikan Kepten Hussein. UMNO pilih Tun Razak dan kemudiannya Sardon Jubir. Malah Pemuda UMNO tidak mengekalkan Haji Ahmad dengan jawatannya. Beliau digulingkan oleh Haji Khalid Awang Othman.

UMNO hari ini mengira Haji Abdullah Fahim dan Haji Ahmad Badawi sebagai ulama berperanan dalam UMNO. Jika peranan ulama penting dalam UMNO ketika itu, tidaklah UMNO menjadi parti politik sekular dan asabiyyah seperti sekarang.

Kalau Tunku Abdul Rahman Putra meninjau pandangannya tentang tarikh yang baik untuk tarikh kemerdekaan, ia adalah kerana kebiasaan orang-orang masa itu mendapatkan pandangan kepakaran tentang hari baik dan bulan baik bagi satu pekerjaan. Haji Abdullah sebagai ahli falak mengetahui kedudukan bulan dan mata hari dan apa baik dan ruginya memulakan satu kerja pada ketika itu.

Tradisi itu terus hingga hari ini, UMNO bertanyakan pandangan bomoh dan dukun tentang hari pilihan raya.

Yang Tunku dan UMNO tanya Haji Abdullah Fahim bukan tentang politik Islam dan nasihat strategi tentang perjuangan, tetapi tarikh dan nujum. Adakah UMNO minta padnangannya tentang hudud dan negara Islam? Pandangan ulama hanya akan ditanya tentang bagaimana hendak menghalalkan wang lotri dan dalam keadaan apa wang riba boleh digunakan.

Segala buah fikiran dan pandangan Abullah Fahim tidak menjadi sumber ilham perjalanan UMNO, tetapi yang meneruskan perjuangannya ialah parti yang ditubuhkannya iaitu PAS. Peranannya begitu besar dalam menghidupkan PAS di peringkat awal dan jika PAS kini adaalah sebuah pertubuhan politik dan berperanan dalam negara, ia adalah antaranya atas asas dan sumbangan besar Abdullah Fahim di peringkat awal. Justeru itu jasanya begitu besar dalam PAS.

Peranan besar dalam UMNO bukan dari Abdullah Fahim. Yang penting ialah peranan Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman.

Semasa Pak Lah singgah sembahayang Zohor di bilik Azizah Razak dan rakan-rakannya anggota PAS yang menjajdi ahli-ahli MAPEN semasa beliau tersingkir dari kabinet, Azizah bertanya, ‘Kami yang berjuang dalam PAS ini kerana ikut ajaran dan politik tok wan you, fasal apa you masuk UMNO, tak ikut tok wan you?’

Jawabnya kata Azizan, ‘Entah! I ikut ayah I. I tengok ayah I jadi UMNO, I ikut UMNO…!

MIN AINA ILA AINA
11/03/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home