Subky Abdul Latif

Saturday, March 06, 2004

KEDAH KINI ISYARAT RTM BAGI PAS

GERANGAN apa maka dengan tiba-tiba TV1 RTM mengiklankan setiap jam akan siaran siri Kedah Kini sekali malam dan sekali siang melalui TV1 lebih dari seminggu beberapa awal tahun ini?

Keseluruhan kandung siri pendek itu bertemakan Kedah Maju, sama ada Kedah sedang maju, Kedah sudah maju dan Kedah akan maju. Ia laksana ratib Kedah maju! Kedah maju! Kedah maju! Dan Kedah maju! Setiap wajah yang tersiar di TV menyebut ‘Kedah maju’ baik ia tua, muda, nelayan, petani, pegawai, Cina tua, remaja India dan lebai Melayu.

Mengapa Kedah Kini saja? Mengapa tidak Pahang Kini dan Perak Kini? Mengapa siri tentang Sabah dan Sarawak tidak di Sabah Kini dan Sarawak Kinikan?

Adakah kebetulan kerana penguasa dan kuasa di RTM itu dipegang oleh orang Kedah?

Ia menyembunyikan sesuatu dan mendedahkan sesuau. Yang cuba disembunyikan ialah kekuatan PAS Kedah yang mempunyai harapan mengambil alih kuasa di negeri Kedah dalam pilihan raya 21 Mac, 2004 ini. Dan yang cuba disembunyikan ialah kelemahan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional di Kedah sekarang.

Dengan mengutara dan mengudarakan ratib Kedah maju dan PAS tidak kuat, ia mendedahkan sebaliknya akan isyarat PAS adalah kuat dan UMNO tidak begitu kuat. Isyarat yang jelas ialah UMNO mesti kalah tanpa bantuan Kedah Kini TV1 itu. UMNO Kedah tidak boleh bergantung kepada UMNO Kedah. Kedah Kini muncul untuk memukau supaya pengundi percaya Kedah maju dan mengekalkan BN memerintah Kedah.

Jika tidak terdesak, maka RTM tidak perlu membuat siri siaran mengenai Kedah. Negeri-negeri lain dirasakan selamat oleh UMNO, maka ia tidak terdesak untuk menerbitkan program seperti di Kedah itu.

Sememangnya PAS Kedah bangun dengan semangat dan kerja kuat sejak selepas pilihan raya 1999 untuk merampas Kedah dari UMNO. Dalam pilihan raya itu PAS dapat lebih banyak kerusi Parlimen dan kurang kerusi DUN. Kekalahan tipis itu sudah dikira menang dan ini mendorong ahli-ahli PAS menambah kegiatan bagi mencapai kemenangan hakiki.

UMNO cuba mengatasinya dengan membuang Menteri Besar Tan Sri Sanusi Joned digantikan oleh Dato Syed Razak. Jika Sanusi tidak dibuang pada andaian UMNO, maka sah PAS akan menang. Tetap Syed Razakpun tidak mampu memulihkan UMNO sekalipun dibantu oleh Dr. Mahathir.

Langkah kedua ialah menggunakan persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan melakar peta baru bagi membanyakkan kawasan kuat untuk UMNO dan melemahkan PAS di kawasan yang ia kuat. Peta itu dibuat begitu rupa, kawasan kuat PAS dipecahkan dimasukkan ke kawasan kuat UMNO. Di kawasan UMNO tidak kuat pula dibuang kampung-kampung yang kuat PAS dan dimasukkan kampung-kampung kuat UMNO ke kawasan itu.

Jika tidak dibuat begitu sah UMNO lingkup, kata seorang Perlis yang menjadi pegawai kerajaan di Kuala Lumpur. Itupun UMNO tidak selamat juga.

Kini PAS dengan semua cabarannya dilihat mencabar kerajaan BN. Ketiadaan Dr. Mahathir menyulitkan lagi UMNO. Ia bergantung kepada imej Dato Seri Abdullah Badawi. Imej beliau tidak dapat membantu kerana Dato Seri Abdullah membawa sistem UMNO.

PAS tidak menentang Abdullah tetapi menentang sistem yang Abdullah menjadi ketuanya.

Dalam suasana cemas dan tertekan inilah RTM datang untuk menyelamatkan kerajaan UMNO Kedah dengan siri Kedah Kini. Siaran propaganda ini menyebabkan orang bertanya, mengapa ia diadakan dengan tiba-tiba? Rakyat sekalian telah bersekolah, maka mereka mudah membaca siri yang diilhamkan oleh orang tidak bersekolah adalah untuk memberi tahu sebenarnya PAS sangat kuat dan menunggu untuk mengabil Kedah.

MIN AINA ILA AINA
06/03/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home