Subky Abdul Latif

Thursday, March 25, 2004

PAS SERTAI PRAYA, TANGAN TERIKAT, MULUT MATA TERTUTUP

SEPANJANG kempen Pilihan Raya Umum ke 11, selepas penamaan calon pada 13 Mac, PAS terasa seperti nasib Dato Seri Anwar Ibrahim di bilik tawanan polis di Bukit Aman, tangan tergari, mata tertutup. Lebih teruk, mulut Anwar tidak tertutup, sedang mulut PAS tertutup.

Dalam keadaan itulah PAS berhempas pulas bergelut dalam kempen paling singkat itu, bukan sekadar mata yang lebam, seluruh anggota calar dan lebam, dipelupuh musuh yang menggunakan peluru SPR.

Yang PAS lawan dalam kempen itu bukan UMNO dan Barisan Nasional, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya. UMNO tidak ada dalam kempen. Mereka duduk dan lepak di bangsal gerakan sambil makan sup tomyam dan sup ekor.

PAS bergelut mengatur ceramah mengikut peraturan baru pilihan raya. Lebih banyak peraturan SPR itu dibaca dan difahami, lebih banyak yang tidak dapat dibuat. Satu dua hari sebelum penamaan calon, penceramah agak bebas berkata itu dan ini. Tetapi masa digunakan untuk mengingatkan petugas jangan buat itu dan ini, kerana ia boleh membatalkan kemenangan calon.

Sudahlah menang susah, nanti apabila menang dibatalkan pula. Dulu kemenangan boleh dibatalkan atas kesalahan calon dan wakil calon. Sekarang penyokong belalang dan cengkerikikpun, kalau bercakap melanggar peraturan, maka kemenangan calon boleh dibatalkan.

Senator Hassan Shukri mengingatkan dalam ceramah di Kampung Pandan, kawasan Parlimen Titiwangsa sehari sebelum pencalonan tentang tempoh tiga hari bagi calon yang sah menarik diri dari bertanding. Peraturan baru itu memberi masa panjang bagi BN membeli calon. Peugas parti mesti berjaga-jaga selama tiga hari itu memastikan calon tidak diculik dan dibeli..

Ingatannya tepat apabila calon PAS di Kota Tinggi dibeli oleh musuh dan calon PAS bagi satu DUN di Johor cuba dibeli tetapi juru belinya diperangkap oleh BPR.

Kalau cengkerik dan belalang bercakap provokatif maka kemenangan calon yang disokongnya boleh dibatalkan, maka tiada ruangkah bagi SPR menjadikan pembelian calon,satu jenayah sosial dan demokrasi yang begitu menonjol sebagai kes membatalkan kemenangan Menteri Luar, Dato Hamid Albar dan wanita comel UMNO yang pekerja-pekerjanya ditahan BPR?

Kalau cakap penyokong kerdil yang tidak disuruh oleh calon bercakap, cakapnya boleh membatalkan kemenangan, maka tidak bolehkah pekerja kempen UMNO yang membawa duit yang banyak dan menjanjikan jumlah yang lebih besar dibatalkan kemenangannya sekalipun tidak arahan calon?

Itulah undang-undang manusia, keadilannya sangat terhad.

Dalam keadaan peraturan yang sangat kabur itu, PAS menjalan kempen bisu. Penceramah bisu hanya mengeluarkan suara tetapi lidahnya tak dapat bertutur. Apa yang hendak diceritakan selain dari menerangkan kebaikan calon dan dasar dan program parti.

Ceramah besar sukar pula, dan kalaupun boleh, sukar mendapat penceramah populer kerana masing-masing terikat sebagai calon di tempat masing-masing. Bagaimana dalam masa lapan hari calon hendak menyampaikan maklumat kepada 40 ribu pengundi sedang satu ceramah berkelompok hanya dihadiri oleh 30 hingga 40 orang saja? Berapa orang yang dapat ditemui oleh calon dalam waktu yang singkat itu?

Banyak yang nak dicakap. Banyak isu kezaliman dan penyelewangan. Kandungan manifesto BA cukup menarik. Tetapi tidak dapat didengar oleh semua pengundi kerana birokrasi ceramah dan permitnya dan tempohnya terhad. Ibarat bertinju, jeb dan tumbukan tak sampai ke badan lawan kerana terhalang oleh peraturan SPR. Dan tinju apa namanya kalau tangan digari?

Bayangkan bagaimana Anwar hendak menumbuk muka Tan Sri Rahim Noor dalam keadaan matanya terikat dan tangan bergari? Hanya lidah dan hatinya saja melawan. Tetapi Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi, sama seperti Tan Sri Rahim Noor, bebas mengetuk dan menyekeh PAS yang tangan terikat, mata dan mulut tertutup.

Perdana Menteri sudah menggunakan peluang kempen sejak Dr. Mahathir mengumumkan untuk bersara. TV dan akhbar memuatkan segala mengenainya. Dan seelok-elok saja beliau menejadi Menteri Dalam Negeri selepas Pilihan Raya 1999, langkah pertamanya ialah memotong permit Harakah dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Kemudian merombak sistem dan peraturan SPR, menyesuaikannya dengan apa yang mampu dibuat oleh KDN secara tersembunyi supaya PAS khususnya dapat dijadikan seperti Palestin terkepung di sana sini. Bukan perjuiangan Palestin tidak betul dan mereka tidak tahu stratigi, tetapi dengan segala kepungan dan sekatan, sokongan dunia seluruhnya tidak jadi apa-apa. Palestin boleh juga melempar anak-anak batu jumrah kepada sang zionis, tetapi dengan tangan terikat, bagaimana PAS boleh memungut batu?

Israil itu bukanlah besar. Jauh kecil dari Arab. Tetapi dengan Amerika yang diperkudakannya, menjadikan Palestin seperti tikus. Macam itu jugalah PAS menghadapi pilihan raya yang terbaru itu. UMNO mudah dilawan, tetapi dalam pilihan raya itu PAS berdepan dengana SPR. UMNO sekadar menonton.

Untuk sampai ke gelanggang UMNO, PAS terpaksa merobohkan tembok SPR dulu. Pak Lah sudah pun diistiharkan menang besar ke atas PAS, lebih gagah dari yang Dr. Mahathir dapat capai, tetapi yang menderita seperti Rahim Noor ialah SPR.

SPR tidak mungkin dapat dibaiki dalam atmopera sindrom bisu masyarakat dan sindrom gejala kebimbangan atau fear factors seluruh rakyat sekarang. Revolsi Mental yang dihasilkan sama oleh Dato Seri Abdullah Badawi bersama Tan Sri Senu Abdul Rahman hampir 40 tahun lalu perlu disemak semula. Dan harapan pemulihan SPR dengan ruh Revulusi Mental itu hanya mampu dilaksanakan oleh Tan Sri Musa Hitam.

Itupun kalau dia mahu!

MIN AINA ILA AINA
25/03/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home