Subky Abdul Latif

Saturday, March 06, 2004

RTM DEDAH TOK YEH

PROGRAM propaganda Johan Jaafar iaitu ISU di TV1 dalam bulan Februari lalu mengundang Dato Idris Jusoh, calon Ketua Pemangkang DUN Terengganu menjadi tetamunya.

Saya bukan penonton tetap propaganda mingguan itu tetapi secara kebetulan tertonton Dato Johan menemu ramah orang yang dicalonkan oleh BN Terengganu untuk menumbangkan Ayah Cik Haji Hadi sebagai Menteri Besar Terengganu dalam pilihan raya umum nanti.

Saya mengikuti program itu dan kesimpulan saya mengenainya dan disetujui oleh beberapa orang yang turut tertonton, rata-rata berasal dari Terengganu, ia memusnahkan harapan untuk melihat Dato Idris atau Tok Yeh sebagai bakal Menteri Besar yang berwibawa.

Kalau orang mahu beralih rasa, dari yang sekarang kepada yang dulu semula, atau kepada yang lebih baik, maka dengan mendengar jawapan Tok Yeh di kaca TV, mereka mungkin mengubah fikiran, tidak jadi berubah.

Bagi orang yang hendak berubah berdasarkan hujah dan kehebataan calon, bukan kerana UMNO dan Barisan Nasional itu baik atau tidak baik dan bukan kerana PAS baik atau tidak baik, pasti keciwa dengan cakap dan hujah-hujah Tok Yeh dalam rancangan itu.

Kalaulah keputusan pilihan raya nanti memberi laluan kepada BN, maka ia bukanlah kerana calon Menteri Besar tetapi atas sebab –sebab yang mereka saja tahu.

Mungkin sebagai Timbalan Menteri dulu Toh Yeh seorang yang hebat, tetapi dari paparan TV itu memperlihatkan keupayaannya. Kalau ibarat keputusan UPSR, markah untuknya kalau ada satu A maka ia cukup bertuah. Tetapi rata-rata C atau satu dan dua B, malah D sama banyak dengan C. Tidak mustahil sendiket peperiksaan minta calon itu masuk peperiksaan sekali lagi.

Untuk berlaku adil, TV1 wajar menyiarkan program itu semula supaya orang ramai boleh menyaksikannya dan memberi komen apakah saranan saya itu betul atau tidak?

Program itu kira-kira mahu mencontohi program populer Larry King dalam TV Amerika dan Hardtalk dalam TV BBC. Dato Johan Jaafar mahu meniru penyoal-penyoal terkemuka itu.Sebagai penulis terkenal dan bekas Ketua Pengarang akhbar perdana, beliau mempunyai pengetahuan dan kepayaan untuk menyoal perkara-perkara yang orang tidak fikir dan tetamu biasanya bersedia memberi jawapan spontan dan mengkagumkan.

Dalam program Tok Yeh itu Johan mengundang sama seorang profesor Universiti Malaya yang berasal dari Besut. Oleh kerana jawapan Tok Yeh sangat mendatar, Johan dan profesor itupun tidak menampakkan bakat dan kecedikan masing-masing.

Johan cuba mengemukakan beberapa soalan kritikal dan mencabar. Tetapi jawapan Tok Yeh begitu rupa, Johan sendiri tidak dapat menunjukkan keceemrlangannya. Dan profesor yang malang itu tidak dapat menonjolkan keupayaaannya.

Memang program propadanda seperti itu tidak memungkin pengelola dan tetamu bercakap bebas. Kedua-dua Johan dan profesor itu berhadapan dengan masalah ‘FEAR FACTOR’ yang mereka sukar atasi. Siapa saja yang mahu menjadi tetamu TV dan kekal dengan khidmat sambilan mesti bersedia menerima belenggau FEAR FACTOR.

Kesan saikologi Fear Factor ini boleh menyebabkan orang pintar jadi lesu, orang cerdik jadi layu dan orang profesional jadi pekerja biasa. Tetapi kalau tetamu Johan Jaafar itu terdiri dari seorang yang berwibawa, maka masalah Fear Factor itu boleh diatasi dan secara automatis bakal dan ilmu pengacara terserlah.

Misalnya Johan Jaafar bertanya tentang ‘rakyat Terengganu mahukan Menteri Besar Ulama.’ Tok Yeh menyebut tentang seorang sahabat nabi yang berilmu tetapi tidak dipilih menjadi pemimpin kerana kelemahannya. Johan menghentikan isu itu mati begitu saja. Dia tidak menyambung betapa khalifah tetap diberi kepada ulama juga tetapi bukan yang lemah tadi.

Ulama yang lemah kekallah pada tempatnya yang sesuai, tetapi jawatan penting tadi tetap tidak diserahkan kepada orang jahil. Sama seperti seorang profesor yang tidak berwibawa. Dia tidak diberi jawatan penting kerana kelemahannya. Jawatan penting itu tetap diberi kepada profesor juga tetapi yang berwibawa. Ia tidak diberikan kepada ketua kerani.

Tok Yeh hanya mensifatkan kerajaan Ayah Cik Haji Hadi melakukan banyak kemusnahan. Bila ditanya contohnya, Tok Yeh menyebut KUSZA, mengambil pelajar yang tidak cukup syarat akadaamik untuk belajar.

Tetapi profesor yang tahu tentang kaedah belajar di universiti tidak pula memberi komen. Jika mereka tahu betapa Almarhum Ustaz Abu Bakar Hamzah tidak mempunyai apa-apa kelulusan yang melayakkannya belajar di universiti di Malaysia, tetapi dengan ilmunya beliau diterima belajar di Univercity of Kend dan mendapa ijazah Mphil. Malah universiti yang sama pernah menawarkan saya belajar di situ. Kelayakan saya untuk membuat ijazah master di situ kerana semua buku yang saya tulis ada dalam perpustakaan universiti itu.

Johan Jaafar tentu boleh menceritakan betapa rakannya Dato Zainuddin Maidin atau Zam tidak lulus sekolah Melayu, tidak lulus sekolah agama dan tidak lulus sekolah Inggeris, tetapi diterima menuntut di sebuah universiti di New York di bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Kalau Johan seorang profesional dan tidak terikat dengan program propaganda, beliau boleh mengundang Dato Harun Taib untuk mejelaskan kedudukan KUSZA menerima pelajar-pelajar tertentu mengikuti pengajian dan apa pula syarat-syarat yang diberikan kepada mereka.

Saya tidak berhajat untuk mengupas setiap hujahnya, tetapi jika yang menjadi tetamu Johan itu Dato Rashid Ngah misalnya, maka saya yakin beliau boleh memberikan hujah yang jauh lebih baik. Saya pernah mengikuti perbahasan di DUN, dan saya dapati Dato Rashid lebih pintar dari Tok Yeh.

Apakah Dato Rashid boleh menjadi pemimpin yang lebih baik tidak dapat dipastikan, tetapi dari segi berhujah dan berdebat, maka beliau tidak banyak beza dengan Dato Mustapa Ali, EXCO kanan kerajaaan negeri sekarang.

Dan kalau dibandingkan dengan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, saya rasa beliau lebih berwibawa untuk memimpin semula negeri Terengganu. Harapan Terengganu untuk menukar kerajaan banyak bergantung kepada imej Dato Seri Abdullah Badawi. Imej Perdana Menteri itu memang sudah mula menggerhanakan imej Tun Dr. Mahathir.

Tetapi Dato Seri Abdullah bukan dicalonkan untuk menjadi Menteri Besar Terengganu. Beliau dicalonkan kekal sebagai Perdana Menteri. Calon Menteri Besar Terengganu mesti lebih baik dari Menteri Besar yang menunggu. Jika Perdana Menteri mahu Menteri Besar dari partinya boleh membantunya merengankan beban di Terengganu, maka beliau mungkin perlu memikirkan calon lain.

Seorang calon Menteri Besar mesti bersedia menjadi calon Ketua Pembangkang. Tok Yeh hanaya boleh menjadi Menteri Besar kalau mendapat majoriti, kalau berjaya mendapat minoriti yang besar saja, maka calon itu akan menjadi Ketua Pembangkang kalau dia turut meneang.

Melihatkan caranya bercakap dalam TV, maka sukar Tok Yeh untuk menandingi kehebatan Dato Rashid Ngah. Bercakap di TV senang, tiada orang lain mencelah. Johan sebagai pengacara boleh menyoalnya tetapi Johan berhadapan dengan penyakit Fear Factor.

Pada malam itu Johan telah banyak membantunya dengan mengemukakan soalan-soalan yang senang. Kalau Johan seorang profesional seperti penyiar TV Amerika dan BBC, maka dipercayai lebih banyak kelemahan akan terserlah.

Johan tidak bertanya tentang isu kerajaan PAS menjual anak-anak syarikat kerajaan negeri rugi sejak di zaman kerajaan dulu lagi. Pada hal ia telah ditimbulkan oleh Tok Yeh. Pada hal Johan boleh bertanya mengapa syarikat-syarikat itu rugi dulu dan apa yang Tok Yeh akan buat pada syarikat seperti itu?

Tan Sri Musa Hitam semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri telah menutup anak-anak syarikat yang rugi. Tetapi kerajaan PAS tidak menutup, sebaliknya menjualnya. Pemimpin UMNO menutup anak syarikat yang rugi, pemimpin PAS menjual anak syarikat yang rugi. Mana lebih baik antara menjual dan menutup? Apa komen Tok Yeh?

Johan kalau cerdik dan berani boleh bertanya lagi, UMNO menjual syarikat yang untung tetapi PAS menjual syarikat yang rugi. Tentu terkencing Toh Yeh dengan soalan seperti itu.

Tok Yeh bernasib baik kerana Johan tidak bertanya tentang pengagihan Wang Ihsan, isu Jusoh Enterprise, kerajaan Terengganu di bawah UMNO dapat banyak royalti minyak tetapi kerajaan negeri banyak berhutang, kerajaan Terengganu di bawah PAS hilang wang royalti tetapi hutang berbayar.

Nasib baik Johan tidak tanya kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN sedang belajar cara kerajaan Terengganu memberi tanah kepada rakyat sampai 50,000 lot setahun. Kalau soalan seperti ini ditanya, nescaya Tok Yeh dikira layak duduk di bawah Dato Rashid Ngah saja.

Program Johan Jaafar itu bukan sekadar memudarkan imej Tok Yeh, tetapi pengelola TV dan profesor yang bersama Tok Yeh pun terpaksa menumpang tempiasnya.

WDI
06/03/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home