Subky Abdul Latif

Sunday, April 04, 2004

KADIR MENTERI GLAMOUR, BELUM BERJAYA

SEBAGAI menteri Dato Paduka Abdul Kadir Shaikh Fadzir adalah seorang yang berfikiran terbuka dan ahli politik yang tidak tebal sentimen politik kepartian dan tidak anti pembangkang, suatu yang pembantunya patut belajar. Beliau mungkin menteri yang disayangi oleh anak buah, bukan menteri dan timbalan menteri yang anak buah suka jauhi.

Berpakaian kacak, glamour, mesra dengan semua. Sebagai menteri yang bertanggungjawab tentang pelancongan, bolehlah dikatakan beliaulah yang menghidupkan kementerian itu. Sebelumnya ia seperti kayu mati.

Tetapi apa yang Kadir buat tentang kebudayaan tidak jelas. Kongsi raya bukan satu dasar tetapi ia adalah sekadar kegiatan dan pesta. Ia boleh menarik pelancong luar dan boleh melepaskan tekanan sesak kerja dan merapatkan muhibbah. Malah mungkin ia satu projek atau kegiatan kementerian perpaduan nasional yang baik.

Dari segi kebudayaan, kongsi raya atau konsep rumah terbuka itu sudah berjalan lama sebelum wujud kementerian khusus. Kebudayaan hari terbuka di hari perayaan orang Islam sejak berzaman itu telah diterima oleh semua masyarakat negara ini sejak dari dulu dan ia telah dikongsi oleh semua kaum. Dan kongsi raya hanya lahir apabila perayaan kaum yang bertembung.

Kehebatan Kadir ialah mengajurkan pesta yang boleh mengumpulkan orang Singapura dan orang Thailand bertandang ke negara ini sambil melancong. Dan yang menonjolnya ialah dari segi pelancongan.

Kadir juga membuang rancangan-rancangan besar untuk menarik pelancongan antara bangsa dengan melonggarkan peraturan imigresyen supaya Malaysia dikunjungi bukan sekadar orang kaya tetapi rakyat biasa.

Tetapi bahayanya adalah besar apatah lagi Malaysia adalah lokasi tumpuan pendatang sejak lebih dua ribu tahun lalu. Tanpa galakan pelanconganpun Tanah Melayu menjadi tempat singgah dan tepat hijrah pelaut dan pengembara Eropah dan Timur Jauh, tempat lalu lalang saudagar India dan China purba, tempat pelarian buruan komunis dari China, Vietnam, Laos dan Kampuchea dan tempat mencari razki orang nusantara.

Motif singah dan melancong sambil mencari razki dan peluang politik tidak pernah terpisah sejak dari dulu, baik sebelum penjajah barat datang, mestipun setelah mereka disuruh pulang. Dalam zaman kemerdekaan pun motif mencari razki dan peluang politik tetap menjadi iringan kedatangan pelancong. Itulah sebabnya MCA dan DAP sangat curiga terhadap kedatangan pekerja asing yang ramai ke negara ini.

Maka dalam rangka Kadir mengusahakan kelonggaran imigresyen bagi memudahkan pelancong asing datang, maka adakah Kadir menyimpan statistik, berapa juta pula pelancong yang tidak pulang dan tidak dapat dikesan. Kadir mudah mengesan pelancong Indoensia yang tidak pulang kerana apabila mereka membuka mulut, tahulah ia Indonesia atau Filipina.

Tetapi pelancong dari Taiwan, Hong Kong dan Tanah Besar China yang tidak pulang di Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur bukan mulut dan buka mata pun tidak mudah diketahui oleh Kadir. Betapa sukarnya untuk mengecam antara kembar Kadir dan Samy Vellu, maka begitulah sukarnya mengecam antara pelancong dari Tanah Besar dengan penduduk tempatan.

Kadir dan Samy Vellu sama-sama corak, kedua-duanya glamour dan berpakaian kacak. Kedua-duanya berambut palsu. Orang-orang yang baisa mudah tahu yang satu Kadir dan yang satu lagi bukan Kadir.

Dari segi kebudayaan Malaysia, apa budaya yang hendak diperkenalkan? Dari zaman Ungku Mohsin, Tan Sri Senu Abdul Rahman,Hamzah Abu Samah, Mokhtar Hashim, Anwar Ibrahim, Abdullah Badawi, Sabaruddin Chik apakah corak kebudayaan yang sudah diketengahkan?

Wayang Melayu yang ada hanyalah filem lama P. Ramlee. Jins Samsuddin lebih terkenal sebagai orang kuat UMNO Ulu Kelang dari tokoh budaya. Filem Melayu habis ditelan oleh filem Hindustani dan filem Cina. Hanya siri Senario dan Pi Mai, Pi Mai saja yang bertahan dan menarik. Tetapi budaya apa yang Senario perkenalkan?

Cuma ciri kebudayaan yang penting yang masih ada ialah Bahasa Malaysia. Tetapi Kadir tidak muncul untuk mempertahankan kewibawaannya apabaila statusnya sebagai bahasa ilmu dilanda musibah menjelang persaraan Dr. Mahathir. Bahasa Melayu sebagai cabang kebudayaan sudah lumpuh. Industri penerbitan dalam bahasa Malaysia lumpuh. Kadir tidak berbuat apa-apa untuk mempertahankan industri tulisan jawi apabila harian Utusan Melayu tinggal sebagai mingguan.

Bukan mustahil, rakyat tidak lagi dapat bergantung hidup atas industeri bahasa Malaysia di masa akan datang.

Di samping tiada idea dan perkembangan tentang kebudayaan Malaysia di zaman Kadir menjadi menterinya, budaya negatif seperti lepak, bohsia, bohjan, sumbang mahram, rogol kanak-kanak dan lain-lain budaya liar menular. Paling akhir budaya samseng yang bermula dengan bekas Ketua Polis Negara hinggalah kepada kanak-kanak sekolah. Hatta kanak-kanak sekolah agama yang diharapkan itupun terlibat dengan pembunuhan.

Budaya samseng dan rosak akhlak ini menjadi-jadi adalah natijah kementerian kebudayaan gagal mengatur satu fahaman budaya yang jelas. Budaya politik sendiri begitu murah. Bukan sekadar pengundi boleh dibeli, hingga ke peringkat tinggi budaya membeli calon sudah bermula.

Budaya membeli undi dan calon ini dimulakan dari politik wang dalam UMNO. Kadir tidak pernah memikirkan budaya itu sebagai satu aspek budaya yang perlu diperhatikannya. Budaya politik wang itu mendedahkan senario politik negara kepada budaya rasuah politik. Kini ia sudah melibatkan amalan tidak sihak dalam perjalanan Suruhanjaya Pilihan Raya dan pengundian.

Belum pernah kecurangan pilihan raya berlaku sseperti yang terbaru pada 21 Mac lalu. Adalah benar ia memberikan kemenangan luar biasa kepada pimpinan Perdana Menteri Abdullah Badawi. Tetapi kemenangan yang tidak diikuti oleh ciri budaya tertib dan santun itu meletakkan pimpinan Perdana Menteri tidak jitu atau rapuh.

Sekarang Kadir ditukar ke kementerian penerangan. Beliau digantikan oleh Dato Dr. Rais Yatim. Dari latar belakangnya orang Negeri Sembilan, lebih faham dengan adat dan istiadat orang Sumatra, pernah menjadi pendidik dan peguam, maka Dr. Rais dirasakan lebih arif isu kebudayaan dari Kadir.

Jika Rais diberi tanggungjawab kebudayaan itu dari awal, maka mungkin ada sesuatu yang telah dapat dilihat. Apa yang Rais dapat buat untuk membangunkan Malaysia tidak jelas budayanya itu. Harapan negara hari ini bergantung kepada wujudnya orang-orang Malaysia yang baik dan mengikut kata. Tetapi dengan budaya keruntuhan akhbar dan samseng yang menular itu, tidak diketahui cara mana ia harus dihadapi.

Adapun Kadir kini diberi tugas baru. Sebagbai Menteri Penerangan apa rancangannya. Setakat ini belilau berehadapan dengan pesta Sureheboh oleh TV3 dari satu kota ke satu kota. Apa yang lebih heboh dari Sure Heboh yang Kadir akan buat? Kadir dipercayai akan lebih heboh dari di tempat lamanya.

04/04/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home