Subky Abdul Latif

Tuesday, April 20, 2004

KEMENANGAN BESAR PAK LAH SENASIB SUHARTO?

PILIHAN RAYA yang dipimpin oleh Perdana Menteri Pak Lah Badawi pada 21 Mac lalu mencatitkan kemenangan terbesar, hampir menyamai pilihan raya umum 27 Julai, 1955 apabila Perikatan hanya kalah satu dari 52 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan Perdana Menteri Pak Lah itu kira-kira menyamai kemenangan Presiden Suharto yang terakhir.

Sepatutnya kemenangan luar biasa Suharto itu memperkuat kerajaan dan kedudukannya. Rupanya tiada apa-apa erti kepada kemenangan besar tadi justeru dua bulan kemudian, presiden berkuasa penuh selama 32 tahun itu digulingkan dari kekuasaan.

Ini tidak bererti kemenangan besar Perdana Menteri Pak Lah berakhir dalam masa dua atau tiga bulan juga. Tetapi bukan suatu yang mustahil kalau beliau juga menjadi Perdana Menteri paling singkat bagi sejarah Malaysia.

Pak Lah dilihat kuat kerana orang-orang UMNO yang tidak disenarai dalam penajaan UMNO Bahagian dan tidak dicalonkan semula semuanya mati terkulai. Mana-mana menteri tak terpilih, pun diam membisu. Pembangkang patah terus.

Tetapi Pak Lah ada kelemahan besar. Dia diselamatkan oleh Ketua Pengurus Pilihanraya Kepala Batas pada hari penamaan calon. Bantahan calon PAS, Ustaz Khalid betapa Dato Seri Abdullah gagal mengemukakan penyata pilihanraya umum 1999 telah ditolak. Perdana Menteri itu dikatakan tidak memenuhi syarat yang perlu ditunaikan oleh setiap calon.

Tiada keterangan pada hari tersebut beliau ada membuat penyata itu. Kerana pegawai ada kuasa, maka pegawai menolak bantahan. Jika tidak puas hati, maka bantahan boleh dibuat di mahkamah.

Jika betul Perdana Menteri Pak Lah tidak mengemukakan penyata itu, maka beliau sebenarnya tidak layak bertanding. SPR boleh memberi kelonggaran kepada calon yang tidak menyiapkan laporan pada hari yang ditentukan. Ramai calon-calon membuat kesilapan yang sama tetapi menyediakan kemudian dan budi bicara pegawai SPR, mereka dibenarkan bertanding. Tetapi bagi yang tidak menyiapkan langsung, maka sah tidak layak bertanding, setidak-tidaknya pada pilihan raya kali itu.

Setakat ini kelayaian Perdana Menteri menjadi Perdana Menteripun boleh dipertikai. Ustaz Khalid, calon PAS di Kepala Batas sepatutnya diistiharkan menang tanpa bertanding. Apabila Dato Lah tidak bertanding, malah hilanglah kelayakannya menjadi Perdana Menteri.

Yang menariknya, pada hari penamaan calon itu juga, calon DAP bagi kawasan Parlimen Subang Jaya ditolak kerana gagal mengemukakan penyata pilihanraya 1999. Dia melakukan kesilapan yang sama dengan Perdana Menteri.

Adakah kesilapan itu hanya untuk pembangkang dan tidak untuk semua orang?

Masalahnya adakah baru sekali ini Perdana Menteri Pak Lah tidak mengemukakan penyata pilihan raya? Perkara itu tidak pernah dibangkitkan. Kalau ia adalah kebiasaan baginya, maka kelayakananya menjadi anggota parlimen pun tidak sah.

Dengan ini susah bagi beliau untuk berbangga dengan prestasi cemerlang, gemilang dan terbilang. Jika dapat dibuktikan dia tidak mengemukakan penyata sebelum ini, maka dia juga akan ditertawakan, sama saja dengan wakil rakyat yang lain. Maacam Luncai juga. Cacat cemerlang dan gemilangnya.

Sekarang kita sama-sama menunggu tempoh bantahan pilihanraya. Kes Perdana Menteri Pak Lah itu baik untuk dibantah. Sekalipun keputusan Pengurus Pilihanraya dikira muktamat, tetapi bagaimana keputusan yang berbeza anara kes Perdana Menteri Pak Lah dengan kes calon DAP Subang Jaya?

Kedua-duanya salah tidak mungkin. Kedua-duanya betulpun tidak mungkin. Kalau kes Pak Lah betul, maka kes Subang Jaya tidak betul. Calon MCA yang diisiharkan menang itu mesti tidak betul. Kalau kes Subang Jaya itu betul, maka kes Pak Lah mesti tidak betul.

Tidak banyak pertikaian jika kes Subang Jaya dikira betul kerana memang calon yang gagal menyediakan penyata tidak layak bertanding lagi. Tetapi kalau kes Pak Lah dikira betul, maka akan banyaklah karenahnya.

Jika Ustaz Khalid membuat bantahan di mahkamah, maka ia menjadi masalah besar bagi Perdana Menteri dan kerajaan dan UMNO. Hakim tidak susah. Ia menunggu hujah saja. Sekiranya hujah mempertikai kesahihak pencalonan Pak Lah kuat, maka Pak Lah kena kosongkan kerusi Kepala Batas.

Mengikut peraturan pilihan raya, pilihan raya semula kena adakan. Tetapi Pak Lah tidak boleh bertanding dulu. UMNO dan kerajaan mungkin sedih, tetapi apa yang dikatakan memang Pak Lah tidak cermat dalam perkara itu.

Jika ini yang berlaku, maka Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Najib kerana bersedia. Dalam keadaan yang ada memang Pak Lah payah hendak menjadi pemimpin yang berwibawa kerana kelemahan yang asas itu.

Pak Lah payah untuk mnjadi Pedana Menteri dan Presiden UMNO yang berwibawa kerana orang akan sentiasa mengongket kelemahan yang mungkin kecil itu. Najib belum tentu boleh menjadi pemimpin yang lebih baik dari Pak Lah, tetapi itulah keadaan yang mesti diterima.

Sama ada petition mengenai Pak Lah ini dibuat atau tidak, Pak Lah sudah ada kelemahan yang menyulitkan dia untuk menegur orang lain.

Oleh kerana itu jalan terbuka baginya ialah menerima kesilapan itu dan bercuti atau berhenti dari kedudukan yang ada. Atas hujah itulah, maka nasib yang seakan-akan sama dengan Suharto itu tidak mustahil berlaku kepada Perdana Menteri Pak Lah.

Sekali lagi saya cuba tegaskan, PAS tidak mungkin boleh menumbangkan Pak Lah, tetapi perauran SPR dan kepincangan SPR boleh menyingkatkan tempoh pimpinan Pak Lah. Jika Pak Lah jatuh, ia bukan salah orang lain, tetapi cuai dirinya dan pembantu-pembantunya.

20/04/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home