Subky Abdul Latif

Tuesday, April 13, 2004

MRSM BESUT, DUNGUN DIBUKA SEMULA

INSYA ALLAH, Maktab Rendah Sains Mara di Dungun dan di Besut akan dapat dibuka semula berikutan dengan perkembangan baru politik di negeri Terengganu.

Yang menjadi perhatian sekarang jika MRSM di Dungun dan di Besut itu dapat dibuka semula adakah kerana sekadar kerajaan PAS di Terengganu dapat digantikan dengan kerajaan BN atau kerana menteri yang bertanggungjawab atas MRSM itu sudah digantikan dengan seorang yang lain?

Pertukaran kerajaan negeri sekadar satu kesempatan yang baik bagi memungkinkan MRSM di Dungun dan di Besut dibuka semula. Tetapi keputusan siapakah sekolah itu boleh dibuka dan boleh ditutup?

Memang menteri diberi kuasa oleh undang-undang tertentu untuk membuat keputusan dan ia tidak pula boleh dipertikai.

MRSM terbabit ditutup atas perintah menterinya ketika itu Dato Nazri Aziz. Beliau membuat keputusan setelah gagal mendapat persetujuan dengan Yayasan Terengganu berhubung dengan premis sekolah itu.

Mara mahu membeli bagunan yang digunakan dari Yayasan Terengganu, sedang Yayasan Terengganu mahu bagunan itu disewakan. Lain-lain isu yang berbangkit ialah kerajaan Terengganu mahu mengekalkan qota untuk pelajar dari Terengganu dan Mara mahu mengurangkannya bagi memberi laluan kepada pelajar dari negeri lain.

Berbeza pandangan itu adalah suatu yang biasa, tetapi berapa kalikah kedua pihak mengadakan perundingan?

Jika sekadar sekali berunding, keduanya tidak dapat mencapai persetujuan, maka ia belum boleh dijadikan ukuran.

Yayasan Terengganu mahu bangunannya yang digunakan untuk sekolah itu disewakan kerana ia adalah satu sumbar kewangan baginya setelah Terengganu hilang sumbar kewangannya yang terbesar iaitu royalti minyak. Yayasan Terengganu perlu wang untuk meneruskan programnya dan ia perlu berdikari.

Mara mahu menjimatkan perbelanjaan dan memiliki bangunan senidiri lebih ekonomik. Terengganu memiliki keputusan peperiksaan yang lebih baik dan bertambah ramai muridnya yang memerlukan peluang belajar termasuk di MRSM dan justeru itu ia tidak mahu mengurangkan qotanya. Mara mahu qota itu diberi sedikit kepada pelajar dari negeri lain.

Semua pihak ada alasan. Maka untuk menyelesaikannya ialah dengan berunding. Rundingan yang pertama gagal. Selepas itu mereka tidak berunding lagi.

Tiba-tiba Menteri membuat keputusan untuk menutupnya dan memindahkan ke negeri lain. Yayasan Terengganu minta berunding semula tetapi menteri sudah muktamat, tiada rundingan lagi. Hatta Dato Mustafa Ali bertemu dengan Perdana Menteri Dr. Mahathir supaya menangguhkan keputusan itu. Perdana Menteri berjanji untuk melihat perkara itu. Dato Nazri berkata bahawa keputsuannya tidak boleh diubah oleh sesiapa.

Berikutnya Mara tidak menunjukkan sebarang sikap untuk meneruskan pengajian di Dungun dan Besut tetapi tidak pula ia keluar dari bangunan yang disewanya. Yayasan Terengganu mahu memastikan premisnya digunakan. Maka ia meminta kepastian bangunan itu dikosongkan pada tarikh yang ditentukan. Ketika itu memang usaha mengosongkannya sudah berjalan.

Maka bercemperalah anak-anak orang Terengganu berpindah ke MRSM di Pahang dan Kelantan. Guru-gurupun habis pindah randah.

Dato Nazri sebagai menteri bertindak seperti durian dengan timun. Terengganu adalah timun, menerima saja.

Adakaha Dato Nazri bertindak bijak? Dengan sekali berunding, maka kegagalan dari perundingan itu, ia tidak perlu berunding lagi? Adakah tindakannya disetujui oleh Kabinet?

Sekarang kerajaan baru Terengganu mahu MRSM itu dibuka semula. Jika kerajaan tidak berubahpun, membuka semula sekolah itu adalah soal yang tidak dipertikai. Sama ada ia menggunakan premis yang sama, tidak berbangkit. Yang penting Terengganu mempunyai banyak sekolah.

Yang jelas Terengganu wajar dapat apa yang ia patut dapat seperti orang lain dapat.

Dato Nazri juga tidak terlepas dari menjadi punca mendera rakyat Terengganu sama ada mahu diakui ataupun tidak. Dan dalam perubahan sekarang, beliau secara teknikalnya ikut menerima balasan dari tindakannya yang terburu-buru.

Beliau tidak lagi menjadi menteri yang ada kementerian. Nasibnya baik sedikit dari Dato Chua Jiu Meng, Dato Siti Zaharah Sulaiman dan Tengku Adnan Mansor. Dia masih jadi menteri. Yang lain jadi wakil rakyat saja. Cara Nazri bertindak di Terengganu dulu kira-kira sama seperti tindakan anak-anak raja zaman purba, zaman al Marhum Mangkat di Julang dan zaman Singapura di langar todak.

MIN AINA
13/04/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home