Subky Abdul Latif

Friday, April 02, 2004

PROJEK ABDULLAH MAT ZAIN

SEJAK bila MP Besut. Dr. Abdullah Zain menjadi projek dan objek baru UMNO khususnya pimpinan Dato Seri Abdullah Badawi?

Sehingga minggu-minggu terakhir menjelang pilihan raya umum ke 11, pimpinan al Badawi terus mencari tapak pengaruh bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Dato Brig. Abd. Hamid Zainal Abidin. Ketika itu beliaulah tokoh berpendidikan agama paling menonjol dan penuh harapan dalam UMNO dan kerajaan setelah beberapa ustaz seperti Tan Sri Yusuf Noor, Tan Sri Hamid Othman dan Dato Zainal Abidin Kadir habis tempoh.

Pada ketika Perdana Menteri memperkenalkan gagasan Islam Hadharinya, satu cetusan yang Almarhum Haji Yusof Rawa pernah suarakan dalam ucapan dasarnya sebagai Presiden 20 tahun lalu iaitu Ke Arah Tajdid Hadhari, maka Brig. (B) Abdul Haimidlah orang paling penting tahu Islam yang adalah dalam kerajaan dan UMNO.

Jika Tan Sri Jalil Hassan, Dato Syaikh Mohsin dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad adalah ulama penting kerajaan dan UMNO era 70 dan awal 80an, maka ganti mereka di hujung era Mahathir dan awal musin Pak Lah ini logiknya ialah bekas menteri sedang berusaha membersihkan Tabung Haji itu.

Betapa harapan terhadapnya agak ketara, maka Dato Seri Tajol Rosli dari awal telah bersuara mencari pengkalan kuasa untuknya supaya lebih bisa. Pengaruh seorang menteri berkawasan adalah lebih bertaring dari sekadar menteri senator.

Dari Bagan Dato, ke Bukit Gantang, ke Padang Rengan dan akhirnya berpengkalan di Parit Buntar, yang dari segi sejarahnya tahun 1955 adalah kawasan tunggal PAS, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein dan kebetulan Tok Mertuanya. Dan beliau berjaya merampas semula kawasan PAS yang diwakili oleh Dato Dr. Hassan Ali.

Logiknya ialah permulaan sejarah politik sebenar untuknya. Ketika Islam Hadhari itu tercetus, orang tak terfikir tentang Dr. Abdullah Zain, Imam Pirdaus, Dr. Munir Yaakob atau Dr. Mashitah Ibrahim. Jikapun nama-nama baru itu muncul, ia adalah tambahan bagi saling memperkuat orang yang sudah ada.

Dr. Abdullahpun mungkin tidak terfikir bahawa beliau ditonjolkan untuk menuntuhkan tokoh dan kerajaan PAS di Terengganu. Kemenangannya memang mungkin tetapi antara harap dan tidak. Takdir dipihaknya. Memang tuahnya. Tetapi tidak pula terfikir bahawa tuahnya itu sampai ke tahap mengenepikan tokoh agama UMNO yang menunggu.

Kalaupun Dr. Abdullah patut diberi penghargaan kerana ikut memusnahkan kerajaan PAS di Terengganu, tetapi kerajaan Islam Hadhari tidak memadai sekadar seorang menteri berpendidikan Islam.

Kementerian pendidikan, kebudayaan, belia dan warisan memerlukan suntikan Islam Hadhari. Matlamat baru pelajaran sekarang ialah khatam Quran di peringkat rendah dan di situlah pengisian paling asas kepada tamaddun Islam itu. Jika tidak ia akan kekal ditahap khatan di peringkat rendah.

Kalau seorang menteri janggal diturunkan kepada timbalan menteri, maka boleh Dr. Abdullah dijadikan timbalan menteri di bawah Dato Hishamuddin dulu. Mungkin tidak padan seorang ilmuan dijadikan sekadar timbalan menteri, tetapi tokoh dan pimpinan akadamik UM Dato Mahathir Khir pun bermula dengan Setiausaha Parlimen saja, tiadalah ganjil bagi Dr. Abdullah dijadikan timbalan menteri dulu.

Kalau Tan Sri Yusuf Noor boleh jaga Felda, masa Brig. Abdul Hamid tak boleh jaga belia kerana unsur hadhari itu penting diperkenalkan di situ. Dan sebagai orang yang terlatih dibidang ketenteraan, dengan idea keselamatan dan pertahanan tentu boleh jaga pecahan kementerian berkenaan.

Tunku Abdul Rahman Putra tidak pernah memberikan tempat kabinet bagi ustaz. Ustaz seperti Albar yang besar pengaruhnya dalam UMNO tidak diberi kedudukan dalam kabinet. Tun Razak memberi tempat timbalan menteri saja kepada Dato Wan Kadir Ismail dan Dato Othman Abdullah.

Cuma Dr. Mahathir menggaji mereka sebagai menteri tetapi bergilir-gilir seorang untuk satu masa. Mula-mula Tan Sri Yusuf Noor. Lepas itu Tan Sri Hamid Othman. Kemudian Brig. Abdul Hamid Zainal Abidin.

Kabinet Islam Hadhari setakat ini meneruskan giliran itu.

Brig. Abdul Hamid dipercayai masih berguna kiranya Dr. Abdullah kalah di Besut atau tiada ustaz baru yang menang. Dr. Abdullah tidak dilihat sebagai orang membanu mengenepikan Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu, tetapi menggerhanakan tokoh agama UMNO dan Jabatan Perdana Menteri yang dipupuk sejak 10 tahun lalu.

Mungkin pengguguran itu bukan kerana kelulusan agamanya, kerana yang tercicir sama dari kabinet ialah Tengku Adnan Mansor dan Dato Chua Jew Meng.

02/04/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home