Subky Abdul Latif

Friday, May 14, 2004

DR. M TIDAK YAKIN NAM DAPAT BELA PALASTIN, IRAQ

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang sempat enam bulan menjadi Pengerusi NAM tidak yakin NAM dapat berbuat banyak bagi menyelesaikan pertikaian Palastin dan Iraq, semata-mata kerana kuasa menghentikan krisis itu ada pada tangan kuasa besar.

Pandangan itu dibuat menjelang sidang jawatankuasa peringkat menteri luar NAM di Kuala Lumpur untuk membncangkan persoalan Palastin secara khusus apabila terdapat pada saat terakhir Amerika ikut seperti Israil mempersetan pelan damai atau map road yang antaranya untuk membentuk sebuah negara Palastin.

Pandangan itu tentunya mentertawakan Israil dan Amerika betapa seorang yang dilihat oleh rata-rata orng Arab sebagai pemimpin yang berani dan tegas, tiada pemimpin di dunia Arab sezamannya seberani dan sehebatnya. Apabila buat pertama kali beliau mengkritik Yahudi dan Amerika di PBB, umat Arab membukukan ucapannya dalam bahasa Arab dan disebarkan.

Kata orang-orang Arab, kiranya dunia Arab ada pemimpin seberaninya, nescaya harapan membebaskan Palastin adalah besar dan cerah, Arab tidak diperleceh dan dihina di mata dunia.

Tetapi selepas enam bulan merasa menjadi Pengerusi NAM dan selepas lima bulan tidak menjadi Perdana Menteri, beliau meluahkan harapan yang kosong tentang masa depan Palastin. Jika Muamar.Ghadafi tidak lagi bercakap tentang Palastin setelah membebaskannya secara berperang tidak nampak jalan, maka Dr. Mahathir pula patah semangat betapa perjuangan melalui perundingan juga seolah-olah buntu akhirnya.

Apakah ia satu pandangan Dr. Mahathir sejak lama tetapi didiamkan, atau ia satu kekeciwaan setelah berbuat macam-macam tetapi nampak akan kekal. Mula-mula menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir menuntut bahagian dari benua air batu Antartika. Tidak siapa antara yang sudah mendakwa mereka punya mahu memberikan bahagian kepada Malaysia atau sesiapa juga yang belum ada lot di situ. Agaknya Malaysia mungkin dapat panggu kiranya kuasa besar kesian kepadanya.

Apa yang Mahathir dapat hanya berkapal dengan isterinya, atau juru iring rasminya, melawat dan menjijakkan kakinya di benua air batu itu.

Cadangannya untuk membentuk EAEC, satu muafakat ekonomi bagi Asia Timur, tidak menjadi kenyataan di zamannya semata-mata beliau tidak mahu menyertakan Amerika, kuasa besar yang boleh menentukan boleh atau tidak boleh muafakat itu diadakan.

Yang sempat diwujudkan ialah G15 atau kumpulan Selatan-Selatan yang mengumpulkan negara dari Asia, Afrika dan Latin Amerika. Mula-mulanya ia ada Setiausaha Agung, Presiden pertama Tanzania. Lepas itu tidak ketahui siapa Setiausaha Agungnya. Lama sebelum Dr. Mahathir bersara, ia tidak mengadakan sidang kemuncak. Mahathir masih hidup tetapi G15 tidak diketahui hidupnya.

Jika Dr. Mahathir pernah berfikir tidak ada apa yang dapat dibuat oleh NAM untuk membebasakan Palastin, maka apakah NAM dapat buat bagi membela nasib negara-negara yang menganggotainya seperti Iraq?

Jika Dr. Mahathir tidak yakin NAM boleh buat sesuatu, maka gerangan apa Malaysia mnjelang persaraannya sebagai Perdana Menteri menyanggupi menjadi tuan rumah kepadaa sidang kemuncaknya ke 13 hingga menelan belanja begitu besar? Banyak mana peruntukan pembangunan tertangguh kerana membiayai sidang itu? Tidak dipastikan apakah elaun petugas dan elaun kerja lebih masa kaki tangan kerajaan sudah dijelaskan atau masih tertunggak?

Dalam sidang itu beliau telah membakar semangat peserta termasuk isu Palastin dan mengingatkan Amerika dan sekutunya supaya tidak menyerang Iraq. Dalam sidang di Kuala Lumpur juga beliau pernah menempelak Yahudi cuba menguasai dunia melalui proksi menyebabkan Presiden dan Yahudi seantero alam membantahnya.

Tidak dibayangkan dalam sidang kemuncak NAM itu tidak ada apa yang dapat dibuat kecuali dengan kehendak kuasa besar. Malah dibayangkan bahawa apa yang NAM tidak boleh tetapi dengan NAM diterajui oleh Malaysia, ia jadi NAM yang boleh.

Rakyat Malaysia diberi tahu oleh TV bahawa NAM di Kuala Lumpur adalah yang bersejarah. Ia mengeluarkan resolusi menghalang perang baru di Iraq. Belum sempat semua perwakilan balik ke negara masing-masing, Amerika mencabar resolusi NAM di Kuala Lumpur itu dengan menggugurkan sebanyak-banyak bom di Iraq. Malangnya anatara yang menyertai kemuncak di Kuala Lumpur yang sama-sama membuat resolusi itu bersorak.

Masih NAM boleh, disambung pula dengan kemuncak OIC. Berbelanja lagi dan ia dikira OIC boleh juga.

Sekarang jadi NAM tak boleh dan OIC tak boleh?

Mengapa patah semangat? Adakah kerana NAM boleh kalau Dr. Mahatahir masih Perdana Menteri?

Semua tahu bahawa tidak siapa menduga perjuangan memerdekakan Palastin itu seang. Ia satu perjuangan sukar dan akan mengambil masa yang panjang. Penaklukan Baitulmaqis yang pertama mengambil masa setarus untuk membebaskannya, maka jangan fikir penaklukan kali boleh dibebaskan oleh dua tiga kali sidang kemuncak NAM dan OIC.

Dalam keadaan apa dan apa jua cara perjuangan itu mesti diteruskan. Umat Palastin terpaksa menggunakan batu bagi menangkis kereta kebal dan jet pejuang. Anak-anak batu tidak mampu membunuh musuh, sebaliknya kereta kebal dan jet pejuang bukan sekadar membunuh, bahkan memusnahkan. Tetapi dengan berbekal batu, itu yang ada bagi setengahnya, perjuangan diteriskan.

Hatta Syikh Ahmad Yassin yang lumpuh, dengan bersenjatan lidah dan mata terkedip-kedip, terus berada di baris depan menentang tentera zionis hatta gugur sebagai syahid.

NAM tidak perlu berada dalam medan peperangan. Ia perjuangan dan politik tingkat tinggi. Perjuangannya bersenjatakan diplomasi dan politik. Maka mainkan apa jua peranan sekalipun sehingga Dr. Mahathir pergi dulu daripada penyelesaian damai di Palastin.

Yasser Arafat mungkin mengikut jejak Syikh Yassin dan Dr. Abdul Aziz Rantissi, tetapi perjuangan itu mesti diteruskan. Yahudi sendiri sanggup menunggu 3,000 tahun untuk datang semula ke Palastin, mengapa tokoh yang dihormati oleh beratus juta umat Arab mengeluar kata-kata hampa betapa NAM seolah-olah berada di tempat yang siasia?

Dasar Dr. Mahathir boleh melemahkan NAM tetapi tidak pejuang Palastin. Ia boleh menjatuhkan semangat Dato Seri Abdullah Badawi dan Dato Seri Hamid Albar untuk mengepalai NAM dan OIC meneruskan pembelaan terhadap Palastin.

Sikap Dr. Mahathir itu tidak secebispun memiliki daya dan semangat juang. Dengan usia dan tenaganya tidak difikirkan wajar berada di baris depan, tetapi memadai kalau sekadar memberi semangat. Tidak dituntut untuk jadi macam Syikh Yassin dan Arafat, memadai sekadar menjadi penyokong.

Apa yang lihat dari kekeciwaannya adalah seperti seorang panglima yang makan gaji. Setelah tempoh bersara tiba, maka semangat berjuang itu terhenti di situ. Ini ertinya hulubalang itu tidak menyertai perjuangan, tetapi sekadar makan gaji.

MIN AINA
14/05/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home