Subky Abdul Latif

Thursday, May 13, 2004

IBU TUA TERBIAR, TANGGUNGJAWAB SIAPA?

SEMPENA Hari Ibu awal Mei ini TV3 dalam siri siasatannnya memaparkan nasib terlantar dan terbiar beberapa orang ibu yang sudah menjadi nenek. Tiada sanak saudara yang brupaya menyara dan melayan kehidupan dan keperluan mereka setua 70 dan 80an.

Antaranya sepasang suami isteri berasal tidak berada dari Kedah ditinggal anaknya di Lok Kawi Baru, Sabah. Seorang nenek buta gara-gara deraan suami di Kelantan yang bergantung harapan dari adiknya yang juga seorang nenek yang tidak berada juga. Adiknya sendiri memerlukan perhatian.

Orang tua senasib itu masih ramai yang tidak sempat ditemui oleh TV dan akhbar untuk perhatian umum.

Jika nenek ditinggal anak atau cucu, secara mudahnya anak dan cucu itulah yang disalahkan dan kepada mereka dikumpul segala seranah dan kutukan. Sama dengan membuang bayi di belukar, di serambi masjid dan di mana-mana, undang-undang tidak memihak kepada ibu berkenaan. Hukum yang diperuntukan kepada ibu itu hampir menyamai membunuh bayinya.

Sayang ibu kepada anak istimewa bayi jauh lebih besar dari sayang anak kepada ibu apa lagilah ibu tua yang bermasalah – uzur, nyanyuk dan sebagainya. Kalau ibu yang masalah tergamak membuang anak sedang kasihnya yang tidak terhingga sukar dipersoal, maka apa yang dapat difikirkan tentang anak yang bermasalah yang kasih terhadap ibu dan bapa tidak setebal kasih kepada anak untuk menjaga ibu yang bertaraf nenek usur?

Apapun yang hendak dikata, anak yang membiarkan ibu dan bapa seperti itu dalam keadaan begitu, dalam keadaan apa sekalipun, tetap dikira tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

Dalam apa keadaan jua, anak dan waris terdekat mesti menerima tanggungjawab dan berbuat sesuatu. Masyarakat tidak dapat menerima sikap melepaskan tanggungjawab dari anak dan waris.

Apabila keadaan sudah jadi seperti itu, maka menjadi tanggungjawab siapa pula nenek tua terbiar yang tidak punya apa-apa itu?

Sebagai seorang rakyat, perlembagaan menjamin keselamatan mereka. Selagi nyawa belum tercabut, mereka berhak mendapat perlindungan. Maka mereka menjadi tanggungjawab negara. Raja-raja dan pemerintahanlah yang mesti memenuhi keperluan mreka. Anak mereka lari dan hilang. Tetapi raja mereka tidak hilang dan kerajaan mereka tidak hilang dan tidak boleh lari.

Raja dulu dan raja sekarang menydiakan peruntukan kebajikan. Kerajaan yang berkebajikan menyediakan peruntukan untuk orang-orang yang kurang upaya apa lagilah yang tidak berupaya.

Islam menyediakan bahagian kepada orang miskin dalam harta setiap orang kaya. Selain dari zakat, orang Islam yang tidak kayapun dianjurkan memberi makan orang miskin. Jika individu Muslim diwajibkan berzakat dan digalakkan memberi makan orang miskin, motifnya adalah untuk mendapat pahala, menerima tanggungjawab dan untuk merengankan tanggungjawab pemerintah atau negara.

Kerajaan mesti bertanggungjawab atas kejadian seperti itu. Justeru itulah ia dibenarkan memjngut cukai, mendenda orang yang bersalah, berkuasa atas tanah, api, air dan angin. Kalau hantu dan jin boleh dilihat, jika mereka mahu tinggal di perairan dan ruang udara sesebuah negara, maka negara itu akan memburunya untuk mendapat cukai dan sebagainya.

Justeru itu, nenek yang ditinggal anak dan cucu tidak wajar terbiar dan terlantar. Kerajaanlah ganti anak dalam keadaan seperti itu. Hanya kerajaan yang tidak bertanggungjawab, raja dan pemimpin yang mementingkan diri saja mempersetankan warga emas yang terbiar.

Dalam era global dan teknologi maklumat, dunia menolak konsep raja bersiung. Juseru itu kerajaan yang baik, bertamaddun dan berkebajikan, tidak patut ada nenek menerima nasib seperti Safura Yakub dan suaminya, Saad Hanafi di Lok Kawi Baru itu. Nenek buta dan adiknya di Kelantan mesti mendapat peliharaan selesa.

Jika berlaku dalam masyarakat nenek ditinggalkan oleh anak dan kerajaan, itu tandanya negara dan masyarakat itu tidak hadhari, dan ada ciri-ciri pentadbiran raja bersiung yang kerjanya adalah menghirup darah rakyat.

Cara mana nenek terbiar ditadbir terserah kepada budaya dan agamanya. Zakat dan cukai adalah untuk mereka sama. Konsep rumah orang tua atau rumah kebajikan, bukan seratus peratus tidak berguna. Ia berguna dan banyak gunanya. Dalam keadaan tertentu saja ia dilihat tidak bererti apa-apa.

Menghantar ibu dan bapa ke hospital bukan kerana anak dan cucu tidak sanggup menjaga mereka, tetapi ia lebih baik dirawat dan rehat di hospital dari terbiar tidak terurus di rumah dikeliling oleh anak dan cucu.

Pesakit angin ahmar tidak diterima lama oleh hospital. Menjaganya di rumah bertahun-tahun secara tidak terurus, adalah lebih baik mereka diuruskan di sebuah rumah bersistem. Pesakit ahmar penuh dengan tekanan mental. Di rumah lazimnya terbiar sendirian di katil dan di biliknya. Anak cucu tidak sepenuh masa bersamanya, kerana masing-masing ada urusan. Pesakit memerlukan layanan sepenuh masa, mahu bercakap dan berinteraksi dengan orang lain.

Jika beberapa pesakit ahmar di tempatkan sebilik, ada rakan bercakap 24 jam.Makan bersama, tidur bersama. Mandi diuruskan dan makan di suapkan bagi memerlukannya. Jika ada keset Quran, Nasyid dan ceramah agama, sangat diminati oleh orang yang menunggu ketibaan malaikat maut itu. Jika masjid dan surau dapat mentadbirkannya adalah lebih baik.

Warga emas lazimnya suka dekat dengan masjid dan surau. Jika nenek di Lok Kawi dan di Kelantan itu ditempatkan dekat masjid, maka ia adalah yang terbaik untuk mereka. Anak yang seribu satu masalah dan miskin pula, boleh melawat dari semasa ke semasa. Tetapi bagi ibu yang anaknya susah dan bermasalah, tinggal di rumah yang diperhatikan kerajaan adalah lebih baik dari duduk di rumah kadang-kadang kencing pun tak berbasuh.

Cuma bagaimana kerajaan bijak mengurusnya, supaya nenek terjaga dan anaknya dapat memberi tumpuan kepada kewajipan lain, kerana masalah ibu sudah direngankan oleh pengendalian kebajikan dari kerajaan. Ia tidak bererti anak terlepas langsung d ari tanggungjawab. Cuma apakah persediaan kerajaan untuk merengan dan membantu anak yang mempunyai ibu atau bapa banyaak cabaran?

Dan kalau anak dan cucu tidak bertanggungjawab, jangan kerajaan pula tidak bertanggungjawab sama.

13/05/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home