Subky Abdul Latif

Thursday, June 10, 2004

APA ERTI KHALIL PILIH GABENOR MELAKA?

TAHNIAH buat Tan Sri Khalil Yaakub, Setiausaha Agung UMNO mengakhiri kebesaran politiknya dengan menjadi Gabenor Melaka.

Agak memeranjatkan apabila tokoh UMNO dari Pahang yang dibawa ke Kuala Lumpur oleh Dr. Mahathir untuk menerajui jentera penadbiran UMNO sebagai Setiausaha Agung dan Menteri Penerangan, digugurkan dari senarai calon BN dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Mula-mula disangka sebagai salah seorang menteri yang digugur oleh Perdana Menteri baru. Mengapa? Tiada kedengaran sebarang masalah dan kelemahannya dalam kerajaan dan UMNO. Dia masih segar dan juru iring tetap lawatan Datuk Seri Abdullah Badawi setiap keluar Kuala Lumpur baik urusan kerajaan dan parti.

Kejayaan besar dan pertamanya dalam politik nasional ialah berjaya mengekalkan kerajaan BN di Sabah tahun 1998 sedang itulah tahun BN paling teruji setelah UMNO mrampas kuasa negeri itu selepas pilihan raya. BN kalah pilihan raya tetapi ia menghalang PBS membentuk kerajaan. Yang membentuk kerajaan ialah BN. Khalil sebagai Setiausaha Agung BN berada di Sabah sepanjang kempen.

Dia tidak kontroversi. Yang kontroversi ialah Dr. Mahathir, malah Pak Lah sendiri. Tetapi mengapa orang yang dilihat tidak bermasalah itu digugurkan dari pertandingan pilihan raya 2004?

Rupanya suku sakat Tun Teja dari Pahang itu hendak menjadi gabenor di negeri Hang Tuah.

Mengapa Khalil Yaakub? Mengapa tidak Tan Sri Mohamad Rahmat, atau Tan Sri Abdullah Salleh bekas KSN atau atau Tun Hanif Omar?

Dalam krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu, Khalil adalah tokoh UMNO yang tidak ketara ke sana atau ke sini. Yang lain-lain seperti Dato Najib misalnya dirasakan ke sana dan ke sini. Ada tanda-tanda tidak berapa dapat dipegang. Bahaya bagi pimpinan Dr. Mahathir kalau di bawah pengaruh Najib sedang dia berpengaruhnya di pusat selepas Anwar.

Setiakawan Najib kepada Anwar membantu Tengku Razaleigh dan Tan Sri Musa Hitam terkeluar dari kumpulan berpengaruh dalam UMNO tahun 1978.

Bagi mengimbangkan suasana maka Tan Sri Khalil di bawa ke Kuala Lumpur bagi ditonjolkan sebagai orang yang berpotensi di masa depan. Jika boleh, Khalil wajar muncul di baris depan sekurang-kurangnya salah seorang Naib Presiden UMNO. Kehadirannya di Kuala Lumpur tidak mencabar Pak Lah.

Tetapi ia mencabar tokoh dari Pahang juga iaitu Dato Najib. Malah beliau seolah-olah disediakan menggantikan Najib. Dan tidak cacat jika beliau digandingkan dengan Pak Lah apabila Dr. Mahathir berasa wajar berundur.

Tidak salah kalau dikatakan bahawa ramai yang yakin betapa Khalil bersedia untuk menerima cabaran itu dan telahpun menunjukkan ancaman kepada masa depan Najib.

Kadang-kadang seseorang itu bukan pencabar kepada seorang yang lain. Tetapi permainan dan adu dumba politik pihak tertentu boleh melagakan personaliti tertentu.

Dalam perlumbaan pengaruh itu Najib berupaya melepasi cabaran, malah membuktikan eliau mampu mendapat sokongan yang lebih besar dari Dato Seri Abdullah Badawi sendiri.

Sekalipun Najib hampir tersungkur dalam pilihan raya umum 1999 dengan majoriti kurang da ri 300 tetapi dia bangun untuk menawan sokongan dari tiga penjuru yang tidak jelas terhadapnya sebelum itu. Beliau mendapat sokongan dari parti termasuk dari Pahang sendiri, dari rakyat khususnya pengundi-pengundi dan dari pimpinan Dr. Mahathir sendiri.

Sekalipun Najib pernah diketepikan oleh Dr. Mahathir dari menjadi orang kanannya dengan memilih Dato Abdullah sebagai TPM walaupun Najib adalah Naib Presiden UMNO yang terkanan ketika itu. Tetapi sayang Dr. Mahthir terhadap Najib secara tiba-tiba selepas itu seolah-olah melebih sayangnya kepada Tun Razak sendiri. Hingga akhir Najib dilihat seperti buah hati Dr. Mahathir.

Apabila Dato Lah sudah menjadi calon pimpinan baru, maka seolah-olah terbuka kesempatan bagi Khalil untuk mengisi kedudukan orang kanannya. Kebanyakan terasa, Najib bukan pilihan Abdullah. Dato Lah mencari regunya yang sesuai. Orang yang seolah-olah disediakan ialah Khalil, malah beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran semasa Dato Abdullah menjadi Menteri Pelajaran.

Yang tidak diduga ialah Najib tiba-tiba menjadi buah hati Dr. Mahathir, malah kasih dan yakinnya terhadap Najib mungkin mulai melebih kasihnya kepada Pak Lah. Jika Dr. Mahathir diberi peluang sekali lagi menamakan timbalannya, mungkin Pak Lah jadi pilihan kedua.

Akhirnya Pak Lah telah memilih buah hati Dr. Mahathir menjadi buah hati angkatnya. Apaabila Najib Timbalan Perdana Menteri dan bakal Timbalan Presiden UMNO, maka giliran Khalil mengiringnya pula apabila Tok Lah tiada di pejabat. Dan Najib bila-bila masa saja boleh menggantikan Pak Lah.

Semua ini menjadikan Tan Sri Khalil berada dalam keadaan canggung dan janggal. Maka jalan yang terbaik ialah beliau meninggalkan politik yang aktif. Menjadi Yang Di Pertua Negeri juah lebih berprestasi dari menjadi Menteri Penarangan dan Setiausaha Agung UMNO.

10/06/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home