Subky Abdul Latif

Friday, June 25, 2004

HUJAH KIT SIANG DI PARLIMEN TAK SALAH DI SISI UNDANG2

TIDAK banyak yang dapat dibuat dengan hujah-hujah Lim Kit Siang di Dewan Rakyat selain dari marah kepadanya. Tetapi marah adalah sifat makluk halus yang mengistiharkan Adam sebagai musuh.

Lim Kit Siang, Pengerusi DAP dan Ketua Pembangkang dalam sesi sidang Dewan Rakyat yang lalu menimbulkan isu jawatan tertentu seperti Perdana Menteri menjadi seolah-olah monopoli kaum tertentu, sedang ia boleh dijawat oleh sesiapa saja asal menjadi anggota Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti.

Begitulah ruh perlembagaan negara mengenai perkara itu dan dalam kontrak sosial perlabagai kaum semasa menuntut kemerdekaan dulupun tidak ditentukan bahawa jawatan-jawatan yang dibangkit itu diperuntukkan kepada kaum tertentu.

Dan apabila ia dibangkitkan di Parlimen, sekalipun menaikkan darah dan menyeramkan bulu roma, ia belum melanggar undang-undang dan peraturan dan tidak boleh dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Kalau ada undang-undang yang hendak digunakan ialah ISA, tetapi ia adalah satu undang-undang zalim, dan sebarang tindakan di bawah peruntukan itu adalah terkutuk dan dikutuk.

Isu yang dibangkitkan dan hujah Kit Siang yang menyentuh benak dan dhamir pihak tertentu juah lebih reda dari yang buat oleh Dato Lee Kuan Yew semasa menjadi rakyat Malaysia sebelum tahun 1965 dulu. Tetapi ada persamaannya.

Perdana Menteri Singapura masa itu dalam kenyataan-kenyataan terbukanya memberi tempoh 20 tahun pertama selepas pembentukan Malaysia untuk orang Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Lepas itu ia terbuka kepada sesiapa saja.

Pandangannya itu kira-kira sama dengan apa yang pernah diamalkannya di Singapura. Tiada ditentukan rupa kaum tertentu untuk menjadi Presiden Singapura. Tetapi Lee Kuan Yew memberi kepada orang Melayu untuk menjadi presidennya yang pertama. Walaupun ia digilir-gilirkan tetapi belum adalah orang Melayu yang dari al Marhum Yusof Ishak merasa menjadi Presiden Singapura selepas itu.

Padanya Malaysia juga logiknya mesti begitu. 20 tahun selepas kelahiran Malaysia, biarlah orang Melayu menjadi Perdana Menteri, dan lepas itu bergilir-gilir mengikut keadaan. Dan ditakhdirkan Singapura terus berada dilam Malaysia, Lee Kuan Yew ttidak semestinya menjadi Perdana Menteri selepas itu, tetapi beliau layak menjadi calon ke jawatan itu.

Perlembagaan Malaysia tidak melarang dan kontrak sosial yang dikatakan ada itupun tidak melarang. Dan jika selama-lamanya selepas itu orang Melayu tidak lagi menjadi Perdana Menteri pun tidak bercanggah dengan undang-undang.

Kalaupun ada masalah bagi orang selain dari Melayu untuk menjadi Perdana Menteri ialah jawatan itu seskali gus adalah penasihat kepada Yang Di Pertuan Agong. Takhta tidak dipertikai adalah Raja-Raja Melayu yang bertakhta. Dan mereka mesti Melayu Islam.

Ikut setengah negeri zaman dulu, sekalipun Sultan seorang Melayu Islam, tetapi baginda misti bermazhab Syafie. Zaman ini ketua negara Malaysia tidak semesti bermazhab Syafie. Memadai seorang Islam.

Kerana Perdana Menteri adalah penasihat pertama kepada Yang Di Pertuan Agong yang terdiri dari seorang Islam dan menjadi Ketua Agama Islam pula, maka tidak masuk akal bagaimana panasihat yang tidak beragama Islam hendak menasihatkan Yang Di Pertuan Agung tentang urusan agama rasmi negara.

Kerana Nasrani Inggeris pernah menjadi penasihat kepada Sultan-Sultan di zaman penjajah dulu, maka itulah sebabnya agama Islam menjadi agama yang liberal dan tidak mendalatkan ulama.

Boleh Ong Ka Ting, Samy Vellu atau Lee Lam Thye menjadi Perdana Menteri, tetapi bagaimana mereka hendak mempengerusikan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam dan bagaimana hendak mengiringkan Yang Di Pertuan Agung solat Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji? Dan bagaiamana hendak menasihatkan Yang Di Pertuan Agong dalam perkara agama Islam?

Mungkin caranya mengikut zaman Sultan yang dinasihatkan penjajah Inggeris dulu. Ia mungkin boleh tetapi ia menjadi haban senda gurauan.

Bagaimana pun Lim Kit Siang tentu ada hujah juga dalam soal ini. Sama-samalah kita tunggu perkembangannya.

Oleh kerana perkauman menjadi masalah politik besar di negara ini, hujah-hujah Kit Siang dan dulunya Lee Kuan Yew, sekalipun tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang, maka ia sangat mudah menyuburkan perkauman. Oleh itu natijah dari hujah-hujah Kit Siang tadi memberi tambahan suhu kepada perkauman yang tidak pernah lenyap.

Perkauman adalah soal naluri dan lahir bersama dengan kelahiran seseorang bergatnung kepada apa dia dilahirkan dan kepada bangsa apa pula dipelihara. Seorang bayi Cina dan seorang bayi Tamil yang diserahkan menjadi anak angkat kepda keluarga Melayu seperti yang banyak terjadi sebelum merdeka, apabila membesar dan hidup sebagai orang Melayu, tetap bersentimen hingga ke mati walaupun tidak dilahirkan sebagai orang Melayu.

Yang boleh membenamkan rasa perkauman itu ialah Islam. Dalam keadaan demikian, apabila Islam tidak dihayati sepenuhnya masih sempat perkauman menguasai mereka. Itulah sebabnya isu Kurdis dan Turki atau Arab dan Kurdis dan sebabgainya berbangkit sekalipun sesama Islam.

Apatah lagi masing-masing membangga masyarakat majmuk sebagai sifat unik Malaysia, maka perkauaman itu bila-bila boleh datang dan boleh pergi.

Apabila ucapan Kit Siang itu membangkit marah pihak lain, maka perkauman datang bersama dengan kemarahan itu. Di situ saja tidak relevennya wisdom tokoh politik berpengalaman itu.

Lee Kuan Yew dulu mungkin bebas dari pemikiran perkauman, tetapi kepercayaannya dulu telah menjadi sumber perkauman. Kenyataannya yang tidak melanggar undang-undang telah membakar arang dan kayu api perkauman masa itu. Seruan supaya dia dikenakan ISA bergema dari orang-orang yang marah. Alex Josey, penasihatnya berbangsa Yahudi diusir dari Malaysia.

Sebagai seorang politikus, Lee dilihat sebagai seorang purist – bebas dari rasuah, tidak berpeleser dan tidak merambu, tidak pilih kasih, tiada itu dan tiada ini. Tetapi orang sangat marah kerana bercakap tentang orang Melayu boleh jadi Perdana Menteri 20 tahun saja.

Tidak semestinya mereka jadi Perdana Menteri tahun saja. Mungkin 100 tahun dan mungkin 1,000 tahun. Cakap-cakap Lee Kuan Yew itu mungkin tak menjadi kenyataan. Tetapi cakap seperti ‘sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa.’

Dan kerana hujah itulah maka Singapura dipisahkan dari Malaysia, justeru Tunku Abdul Rahman Putra tidak sedia menumbatkan beliau dalam ISA.

Reaksi terhadap Kit Siang tidak sepanas terhadap Lee Kuan Yew dulu, dan kalau tidak dilayan, maka boleh senyap begitu saja. Tetapi jelaslah bahawa Kit Siang telah menyambung lidah tok gurunya dan ia boleh dilihat sebagai kanak-kanak bermain bunga api. Hadapilah dia sebagai Kulup Kecil menghadai masalahnya, bukan seperti reaksi Kulup Besar.

25/06/04

0 Comments:

Post a Comment

<< Home