Subky Abdul Latif

Monday, April 18, 2005

AKHIRNYA SINGAPURA SUKA KASINO

SELAMA setahun masyarakat Singapura di luar parlimen dan di dalam parlimen membahaskan patut atau tidak pulau republik sekangkang kera itu meniru Malaysia membangunkan kasino.

Sudah tentu masyarakat tidak sependapat. Setuju atau tidak, suka atau tidak, akhirnya terserah kepada sikap pemimpin utamanya Lee Kuan Yew yang sangat diyakini mahu menjadi seorang purist. Dan beliau telah menunjukkan akhlak yang dilihat sebagai purist selama menjadi pemerintah.

Dia bukan sekadar mahu mewujudkan sebuah pemerintahan yang bersih dan Singapura yang bersih, malah dia mahu sebuah masyarakat yang bersih.

Sebuah pemerintahan yang bersih itu yang biasa difahami ialah sebuah pentadbiran yang bebas dari rasuah. Imej itu ada pada pentadbirannya dan dirinya. Tetapi yang dikatakan purist itu lazimnya seorang yang tidak berjudi, tidak kaki betina, tidak merokok dan tidak alkoholik.

Tokoh dunia yang diketahui tidak berjudi, tidak kaki betina, tidak merokok dan tidak alkoholik setakat ini ialah mendiang Nehru, Perdana Menteri pertama India dan mendiang Dag Hammarsjold, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terbunuh dalam krisis Konggo tahun 60an dulu.

Dan Lee Kuan Yew dipastikan setakat ini tidak berjudi, tidak kaki betina dan tidak merokok. Adapun tidak alkoholik itu tidak diketahui sangat. Bagi masyarakat sekular tidak dilihat tidak bermoral kalau sekadar meneguk secawan kecil arak sepertu bir sekali sekala.

Di bawah pimpinan Lee, Singapura tidak menghalang orang minum arak tetapi ia memastikan tidak kemudahan berjudi dan tidak kemudahan merokok di tempat-tempat awam. Justeru itu pusat judi yang ada hanya Toto dan Turf Club. Malah budaya pop tidak digalakkan. Itulah sebabnya Singapura melepaskan sukan hiburan seperti Formula One.

Run Run Show, saudagar wayang yang terkenal di Singapura, Malaysia dan Hong Kong pernah mencadangkan pembinaan kasino di Singapura di awal pemerintahan Lee, maka ia ditolak walaupun Lee tahu ia boleh memberi pulangan pendapatan yang besar kepada negara itu.

Tetapi dalam perdebatan oleh angkatan baru yang cenderung untuk membenarkan kewujudan ibu judi itu sejak setahun lalu Lee tidak membantah walaupun dia menyatakan perkara itu adalah tidak sihat.

Apabila beliau tidak membantah, maka ialah menggalakkan angkatan baru dalam pentadbiran yang cenderung kearah itu untuk membahas dan malah menyetujuinya.

Dalam keadaan apapun judi adalah satu budaya tidak bermoral, malah itulah juga kepercayaan Lee Kuan Yew. Dalam istilah Islam ia tetap berdosa dalam apa keadaan. Tidak ada helah yang dapat melepaskan judi dari dosa.

Dalam Islam makan babi adalah berdosa kerana ia diharamkan. Tetapi dalam keadaan tidak ada makanan lain, jika ia tidak dimakan menyebabkan maut, maka ia boleh dimakan sekadar alas perut. Ia tidak berdosa tetapi hukumnya tetap haram.

Bagi judi tidak ada isu darurat yang membolehkannya.

Ia adalah satu maksiat yang dicegah oleh pemerintahan Singapura sejak PETIR berkuasa dalam tahun 1959. Sikap Lee sejak itu ia bukan sekadar ditentang dalam hati dan fikiran, malah ia dilarang dengan kata-kata dan tindakan tidak mengeluarkan lesen.

Tetap dengan ajaran hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, sebarang maksiat hendak dicegah dengan angan. Kalau tidak terdaya, cegah dengan mulut, dan kalau itupun tidak terdaya, cegahlah dengan hati. Yang demikian adalah selemah-lemah iman.

Dari segi perasaan hati dan fikiran Lee Kuan Yew tetap menolak kasino kerana ia adalah budaya tidak bermoral dan merosakkan. Mulutnya juga sudah menyarakan yang dia tetap tidak suka kepada judi tetapi mulutnya juga tidak mengeluarkan kata ‘jangan.’ Menakala tangan pula tidak bergerak.

Kiranya beliau beriman dalam Islam, dia masih dikira seorang yang beriman, tetapi adalah selemah-lemah iman.

Dalam ajaran Islam juga seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ada orang yang sepanjang hidupnya beramal dengan amalan syurga, sehingga sehasta dari syurga, lalu dia beramal dengan amalan Negara, maka ia ke neraka. Menakala ada pula orangnya, beramal dengan amalan neraka sepanjang hidupnya, maka setelah sehasta lagi untuk sampai ke neraka lalu dia beramal dengan amalan syurga, maka ia ke syurga.

Sepanjang pentadbiran Lee KuanYew adalah mengharamkan judi kasino dan masyarakat Singapura berbahagia dengan pendirian itu. Di hujung pimpinannya, sekalipun tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tetapi adalah seorang anggota kabinet yang cukup berpengaruh yang masih dapat menentukan suasana, dia mengambil sikap tidak membantah.

Sikap itu berubah ialah kerana zaman ini adalah zaman orang lain. Zamannya sudah berlalu. Dia mungkin tidak mahu mengganggu kebebasan pentadbiran baru menentukan apa yang sebaik-baiknya untuk zaman baru ini, dan beliau juga mendengar teori pulangan yang akan diperolehi oleh Singapura.

Negara itu akan memperolehi berbilon-bilion cukai setiap tahun. Ratusan ribu akan dapat pekerjaan. Ia akan mengatasi masalah pengangguran yang mula menjadi isu.

Lee tetap tidak menapikan akan harga yang terpaksa ditanggung oleh Singapura dengan wujudnya kasino. Lee bertanya, apakah Singapura tidak ada masalah dengan adanya kasino? Jawabnya, ia tetap ada masalah.

Tetapi apakah Singaura tidak ada masalah kalau tidak ada kasino? Jawabnya, ia lebih banyak masalah. Jiran Singapura sudah memiliki kasino yang canggih. Kalau Singapura mahu mengadakan kasino, ia tidak boleh kurang dari kasino yang ada di rantau ini, kerana dunia yang berubah sudahpun meninggalkan Singapura.

Singapura dengan ini boleh ketinggalan dalam industeri pelancoangan. Singapura seolah-olah menjadi kota yang membosankan.

Bagaimanapun beliau tetap menolak judi sebagai cara untuk menjadi kaya. Dia mmpunyai pengetahun tentang bapanya dikatakan terlibat dalam perjudian hingga menggadaikan barang kemas keluarga. Semuanya lesap di meja perjudan.

Monaco sebuah kota kecil di Eropah. Ia membangun sebagai kota pelancongan dunia yang mengkagumkan. Pimpinan baru Singapura cenderang untuk memangunkan masa depannya seperti itu. Lee tidak lagi membantahnya baik secara emosi mahupun secara inteletual seperti dulu.

SeTAPAK
18/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home