Subky Abdul Latif

Friday, April 08, 2005

DIPLOMAT AUSTRALIA DEDAH RAHSIA KONFRANTASI

BERTAHUN-tahun penyelidik mencari jawapan, gerangan apa sebenarnya, maka Sukarno melancarkan konfrantasi terhadap pembentukan Malaysia?

Ada yang menyebut dia dengki terhadap kejayaan pembangunan Tanah Melayu dan ada yang menduga Sukarno mahu membentuk Indonesia Raya, kalaupun tidak Semenanjung Tanah Melayu, tetapi Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripadanya.

Tom Critchley, Duta Australia di Kuala Lumpur 1955-1965 dijangka dapat memberikan jawapan yang dicari-cari itu.

Dalam wawancara Berita Harian dengannya pada 7 April lalu diplomat veteran itu memberi tahu sepintas lalu tentang pertemuannya dengan Sukarno di Jakarta mengenai hal itu tetapi tidak melaporkannya kepada Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu.

Kata Tom Critchley, Sukarno memberi alasan isu Singapura dan kebimbangan Indonesia pulau itu akan menjadi sebuah Negara China.

Critchley tidak memberi keterangan lebih lanjut. Malah Berita Harian pula menyungkil lebih dalam. Mungkin ia ada dimuatkan dalam buku Crichley bertanjuk Australia and The Formation of Malaysia yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.

Hampir 20 tahun lalu seorang penyelidik sejarah ulama di Nusantara berketurunan Patani dan pernah tinggal di Indonesia dan Malaysia pernah mengajukan soalan kepada kawan-kawannya, apakah sebab sebenar Sukarno melancnarkan konfrantasi terhadap Malaysia?

Dia tidak dapat menerima alasan kononnya Sukarno bimbangkan pembangunan pesat Tanah Melayu dan pembangunan Malaysia nanti memngkinkan rakyat Indonesia mempersoalkan mengapa dia tidak membangun Indonesia, dan dia juga tidak percaya Indonesia mahu meluaskan wilayahnya selepas ia berjaya menuntut Irian Barat dari Belanda.

Dia cuba mendapatkan kepastian kalau-kalau orang-orang di Kuala Lumpur ada maklumat bahawa yang dibimangkan oleh Sukarno ialah kalahiran Singapura sebagai sebuah wilayah yang merdeka dari British dan kemunculan Lee Kuan Yew sebagai pemimpinnya yang berkawan rapat dengan Amerika dan Israel?

Dia ada mendengar maklumat bahawa kalangan yang rapat dengan Sukarno sangat curiga dengan keselamatan rantau Asia Tenggara khususnya Indonesia yang mahu maju sebagai rantau yang berkecuali, bukan rantau yang berkiblat ke barat dan berketuakan Lee Kuan Yew.

Apa yang didengar oleh penyelidik itu ada persamaannya dengan maklumat yang disebut oleh Sukarno kepada Tom Critchley tadi.

Sukarno yang dilihat berkawan dengan Mao Zedung adalah seorang yang mempelopori perjuangan dunia ketiga yang berkecuali khususnya bagai rantau Asia Tenggara. Ia suatu yang tidak disukai oleh John Foster Dulles, Setiausaha Negara Amerika di zaman Presiden Aisenhower. Dulles mahukan sebuah Asia TEnggara yang pro Amerika.

Wilayah pro Amerika di Asia TEnggara iaitu Thailand, Filipina dan Vietnam Selatan tidak terdaya menghadapi pengaruh Sukarno. Sukarno juga tidak mengitiraf Taiwan sebagai China dan Israel.

Hubungan Sukarno dan Tunku Abdul Rahman Putra atau Indonesia dengan Persekutuan Tanah Melayu tidak erat tetapi tidak renggang. Tunku adalah seorang anti komunis dan dilihat pro barat. Tanah Melayu menjadi pengkalan tentera British, Australia dan New Zealand menjadi isu di Indonesia. Sukarno tidak anti Brisith sangat kerana beliau tahu British akan meninggalkan rantau itu.

Justeru itu dipercayai Sukarno yang anti penjajah itu tidak tertarik Singapura dimerdekakan terutama apabila ia dipimpin oleh Lee Kwan Yew. Lee berupaya untuk menjadi seorang pemimpin Cina di tengah alam Melayu kiranya ia beroleh sebuah negara. Lee Kuan Yew akan jadi seorang Cina biasa kiranya Singapura terus ditadbir oleh British.

Jakarta melihat Lee yang lincah dan menjadi masalah kepada pentadbiran British di Singapura boleh berkawan baik dengan Amerika dan Israel. Projek Malaysia dilihat sebagai tajaan British mahu melepaskan Singapura dan pemimpin Melayu di Semenanjung tidak terdaya mengawal Lee Kuan Yew.

Sama ada Lee Kuan Yew memerintah Singapura saja atau memerintah Malaysia akhirnya, dilihat oleh Sukarno sebagai satu masalah bagi Indonesia. Sama ada rantau Asia TEnggara jatuh ke tangan komunis atau tidak, Singapura yang terlepas dari Inggeris akan dijadikan oleh Lee Kuan Yew sebagai sbuah lagi negra China selepas tanah besar China dan Taiwan.

Seorang cicit Yap Ah Loy yang pernah menjadi Setiausaha Politik Tunku Abdul Rahman pernah berkata, antara sebab Tunku memerdekakan Singaura dari Malaysia ialah bimbang pemimpin Melayu selepasnya tidak terdaya mengawal Lee Kuan Yew. Selama beliau menjadi pemimpin Lee Kuan Yew tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia, tetapi tidak dijamin selepas itu.

Lee sendiri bercakap bahawa beliau memberi peluang kepada orang Melayu menjadi Perdana Menteri selama 20 tahun selepas pembentukan Malaysia. Ini bererti selepas itu akan menjadi calon untuk merebut jawatan itu.

Kenyataan Lee, analisis cicit Yap Ah Loy, maklumat yang cuba disahkan oleh penyelidik keturnan Patani serta kenyataan mulut yang didengar oleh Tom Critchely dari Sukarno, ada jawapan sebenar mengapa konfrantasi atau ganyang Malaysia dilancarkan oleh Sukarno.

Dan apa yang Sukarno bagi tahu Critchley menjadi kenyataan sekarang.

SeTAPAK
08/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home