Subky Abdul Latif

Friday, April 01, 2005

HASSAN SHUKRI DUDUK DI KERUSI PANAS

TIDAK pernah sejak di bawah kepimpinan ulama, pemilihan pimpinan PAS pusat menjadi isu panas bagi muktamarnya berbanding dengan muktamar yang akan berlangsung di Kota Bharu awalk Jun nanti.

Peri hal pemilihan pimpinan dan muktamar itu tidak atau belum menjadi perhatian media perdana seperti lazimnya parti Islam itu seolah-olah tidak wujud di negara ini. Tetapi ia terus menjadi bahan menarik bagi media berasas komputer.

Malah untuk pertama kali muncul tukang kempen yang bergerak ke beberapa negeri memperkenalkan amalan lobi. Lobi itu sekadar untuk beberapa kerusi panas seperti Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Media berasas komputer hampir setiap minggu membangkitkan kedudukan kerusi Timbalan Presiden parti supaya digantikan dengan seorang tokoh baru bagi menggantikan Senator Hassan Shukri. Media jenis ini juga menggugat pimpinan Muslimat di Selangor kerana dikatakan kroni Timbalan Presiden PAS itu.

Perkembangan itu tidak serancak mana jika dibandingkan rebutan kuasa dalam UMNO. Dalam UMNO perang surat laying dan pembelian undi adalah perkara biasa. Membawa penyokong berkelah ke Medan, Jakarta dan Bangkok berlaku setiap kali ada pemilihan.

Politik adalah suatu yang asing dalam PAS. Dalam sidang-sidang media Presiden PAS Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang acap menyebut, amalan melobi tidak berlaku dalam PAS.

Demokrasi dalam PAS membenarkan pertandingan dan membenarkan calon memperkenalkan dirinya tetapi tidak wajar memburukkan calon lain. Brpakat-pakat menyokong calon tertentu pun tidak begitu digalakkan justeru ia membuka ruang kepada amalan berkomplot.

Kata orang-orang yang rapat dengan PAS, pertandingan dalam jawatan-jawatan dalam PAS adalah biasa, tetapi pertandingan itu berlaku semasa pengundian dan ia berakhir selepas pengundian.

Jawatankuasa pemilihan, kata orang-orang dalam pejabat PAS, hanya mengumumkan calon yang bertanding sebelum pengundian. Sebelum tidak siapa tahu secara sah siapa yang bertanding. Perwakilan tidak sempat berbincang dan berpakat. Masing-masing bangun dari kerusi mengikut giliran terus mengundi.

Sejak ia di bawah era kepimpinan ulama, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Antara sebabnya ialah kemasyhuran Haji Yusof Rawa, Dato Fadzil Noor dan Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang adalah begitu tinggi. Dan mereka adalah pemidato menarik ribuan pendengar.

Senator Hassan Shukri tidak pernah mendapat kedudukan itu, malah hanya menjadi penceramah gentian kiranya tokoh-tokoh tadi berhalangan. Lazim beliau menjadi petugas dalam pejabat sejak di zaman Dato Asri, yang dihantar untuk menyelesaikan krisis dan kekeliruan mengenai perlembagaan di daerah-daerah.

Orang-orang yang rapat dengannya berkata, Hassan Shukri tidak pernah terlintas untuk menjadi pimpinan PAS setinggi itu tetapi keadaan telah meletakkannya begitu tinggi.

Oleh kerana tidak ada calon yang jelas untuk jawatan itu dalam pemilihan lalu, maka Hassan Shukri yang menjadi Naib Presiden sejak pertengahan tahun 80an menjadi calon popular oleh kebanyakan kawasan. Dato Haron Din juga dicalonkan dan beliau boleh menjadi calon yang popular, tetapi beliau sedia menjadi calon kiranya tiada calon lain.

Ia memberi laluan mudah kepada Senator Hassan Shukri untuk menduduki kerusi yang sejak didudukinya menjadi panas.

Para pencari calon lain menggunakan alas an pucuk pimpinan telah mensyurokan supaya Dato Haron menjadi calon pilihan, calon-calon lain tidak sedia menarik diri.

Ahli-ahli Majlis Syuro Ulama menafikan bahawa perkara itu ada dibincangkan.

Kagiatan lobi itu sangat kecil jika dibandingkan dengan UMNO. Tetapi kerana ia suatu yang tidak pernah berlaku dalam PAS maka ia dirasakan sebagai suatu yang mengeruhkan parti itu.

Ada yang merasakan PAS sudah dijangkiti penyakit UMNO walaupun ia tidak menggunakan wang.

Setakat ini rebut dan ribut dalam pemilihan PAS banyak diikuti oleh orang-orang ada kemudahan komputer dan yang tahu menggunakan komuputer. Yang hanya mendengar reaksi orang yang mengikuti media komputer.

Bagaimanapun belum dipastikan apakah Senator Hassan Shukri akan mempertahankan kerusinya yang panas itu. Dari penyiasan itu saksiahnya sudah banyak tercabar. Tetapi PAS belum mendapat calon yang bersedia untuk mencabarnya.

Dato Haron Din yang cuba dicalon telah menyatakan beliau kekal dengan sikapnya yang dulu, tidak sedia bertanding, malah lebih selesa dengan kedudukannya sebagai Timbalan Mursyidul Am. Dalam keadaan Mursyidul Amnya, Dato Nik Abdul Aziz Nikmat masih dalam perhatian doktor, maka Timbalan Mursyidul Am menjalankan tugas-tugas Mursyidul Am. Malah beliau dipercayai akan menjadi calon tunggal untuk jawatan Mursyidul Am jika penjawatnya melepaskan jawatan itu.

Kawasan Kota Bharu bercadang untuk mencalon Dato Mustafa Ali. Tetapi akhbar the Star menyebut beliau menolak dan hanya akan mempertahankan kerusi Naib Presiden saja.

Setakat ini belum ada calon yang bersedia. Senator Hassan pula tidak menyatakan beliau akan mempertahankan kerusinya. Tetapi dengan kedudukannya itu sukar baginya untuk menerima pencalonan yang lebih rendah. Ia adalah disebabkan PAS telah meletakkannya di tempat yang tinggi.

Ada dua jawatan saja yang beliau boleh bertanding iaitu mempertahankan kerusinya sebagai Timbalan Presiden atau bertanding mencabar Presiden. Hassan Shukri tidak akan sedia mencabar Dato Seri Haji Abdul Hadi. Kalau beliau tidak mempertahankan kerusinya, maka ini bererti melepaskan semua kedudukan dalam Jawatankuasa PAS Pusat.

Tempat yang ada baginya jika ada kekosongan ialah di Majlis Syuro Ulama.

SeTAPAK
01/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home