Subky Abdul Latif

Saturday, April 02, 2005

ISU HALANG MYANMAR PIMPIN ASEAN MALAYSIA PATUT SABAR

PARLIMEN Malaysia sedang menimbang untuk menghalang Myanmar mengambil giliran sebagai pengerusi ASEAN bagi penggal tahun akan datang justeru republik itu tidak mengambil langkah membebaskan Suu Kyi dan membenarkan Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinannya bergerak secara bebas.

Amerika sudahpun mengambil langkah menggesa Kesatuan Eropah supaya bersama-samanya memulaukan Sidang ASEAN kiranya kesatuan serantau Asia Tenggara itu dipengerusikan oleh Myanmar. Dalam tindakan itu Amerika dan EU tidak akan menghadiri sidang menteri luar ASEAN tahun 2007 di Myanmar.

Kesatuan Eropah dipercayai akan bersetuju dengan cadangan Amerika itu.

Filipina dan Singapura sudang menjelaskan menghalang giligan Myanmar itu kiranya ia tidak mengambil langkah membebaskan pemimpin pembangkang.

Thailand dan Kampuchea pula sudah membuat penegasan mempertahankan hak Myanmar untuk mengambil gilirannya. Laos dan Vietnam dipercayai akan bersama Thailand dan Kampuchea.

Tidak dipastikan apakah sikap Indonesia dan Brunei Darussalam? Biasanya Brunei yang mempuyai hubugan dagang yang rapat dengan Singaura lazimnya banyak berkongsi sikap dengan Malaysia.

Jika Indonesia yang akan merayakan genap 50 tahun Persidangan Badung tidak lagi berpegang dengan semangat Piagam Bandung untuk tidak campur tangan dalam negara orang lain, maka ia akan membenarkan Myanmar menentukan pendiriannya sendiri.

Jelaslah ASEAN akan berhadapan dengan krisis jika Myanmar bertegas dengan sikapnya sekarang.

Amerika sekarang hendak memulangkan paku buah keras kepada Malaysia yang menjadi juara membawa Myanmar ke dalam ASEAN walaupun Amerika berusaha menghalang inisiatif Malaysia dulu.

Amerika memang dari awal bersikap anti regim tentera Myanmar. Malah ada pendapat Amerika pada mulanya berhajat untuk menyerang Myanmar atas alasan rekod hak kemanusiaannya yang buruk. Oleh kerana Amerika menemui Afghanistan boleh membuka peluang kepadanya untuk tiba ke Asia Tengah, maka melanda Myanmar itu ditangguh atau dilupakan.

Myanmar sendiri mengasingkan dirinya di Asia TEnggara. Ia enggan menyertai sebarang muafakat di rantau itu kecuali Sukan SEA.

Malaysia menjadi juara membawa Myanmar ke dalam masyarakat ASEAN walaupun ia telah maklum semua pandangan dunia terhadap negara itu. Malaysia tidak menghiraukan amaran Amerika. Thailand memberi sokongan yang kuat kepada Malaysia.

Apakah kejatuhan mata wang Bhat, Ringgit dan Rupiah selepas itu ada hungannya dengan sikap membawa Myanmar ke dalam ASEAN tidak diketahui, tetapi Negara-negara ASEAN berbangga dan tidak pernah menyesal apabila Myanmar dalam dibawa ke tengah kegiatan serantau ASEAN.

Sejak kemasukannya ke dalam ASEAN Suu Kyi mendapat banyak peluang bertemu dengan perwkilan asing terutama dari kalangan ASEAN sendiri. Wakil PBB berpeluang menemuinya dari semasa ke semasa, tetapi Myanmar tidak banyak membuat perubahan. Sebelumnya tidak siapa dapat menemui pemimpin pembangkang itu.

Tetapi Myanmar masih seperti sebelum menyertai ASEAN juga. Dan paling mengejutnya ialah Malaysia antara yang awal untuk menyesali sikap Myanmar yang belum dapat membebaskan Suu Kyi hingga bercadang untuk mengemukakan perkara itu ke Parlimen.

Adakah Malaysia yang wajar menjadi juara untuk menghalang Myanmar menjadi Pengerusi ASEAN bila gilirannya tiba?

Malaysia wajar berduka cita atas kegagalannya untuk mengubah Myanmar, tetapi sebagai pihak yang banyak mendekati Myanmar dan matawangnya binasa selepas itu, Malaysia patut bersabar, kerana dasar tidak memencilkan negara itu dapat memberi sedikit kelonggaran kepada rakyatnya.

Britain dan Amerika pada satu masa mengaku bersama dengan masyarakat antarabangsa menentang dasar apartheid di Afrika Selatan tetapi mereka enggan bertindak memulaukan ekonomi wilayah itu kerana tindakan seperti itu lebih menyulitkan rakyatnya. Tidak dinafikan kerajaan akan sulit, tetapi rakyat lebih sulit.

Apa yang British dan Amerika buat untuk membebaskan Nelson Mendela tidak dipastikan, tetapi regim kulit putih bersetuju membebaskan Mandela dan Afrika Selatan ditadbirkan oleh rakyat kulit hitam.

Membenarkan Myanmar menjadi pengerusi ASEAN tidak bererti Malaysia setuju dengan dasar dalam negerinya, tetapi dengan peluang Malaysia sentiasa bersama rapat dengan regim tentera itu, banyak yang boleh dibisikkan, dan kadang-kadang perubahan terpaksa mengambil masa.

Kiranya Malaysia bersedia bersabar, tidak sukar menghadapi serangan diplomasi Amerika dan Kesatuan Eropah yang anti regim tentera Myanmar. Katakan kepada mereka, “Malaysia dan ASEAN mengambil langkah bersabar sama seperti sikap Britain dan Amerika di Afrika Selatan dulu. Mengapa Amerika dan Britian tidak terburu-buru untuk memulaukan regim rasis di Afrika Selatan, maka begitulah ASEAN menghadapi regim tentera Myanmar.

SeTAPAK
02/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home