Subky Abdul Latif

Monday, April 04, 2005

KECOH SOSEJ USUS DAN BAJA TAHI BABI

PERNIAGAAN sosej dan apa jua makanan yang membabitkan sosej diharapkan akan pulih setelah kajian DNA mendapati sosej yang dikeluarkan dari kilang di Selayang bebas dari zat usus babi.

Pelabor dari Jerman yang merasa lapang dengan hasil kajian DNA itu dan barulah dapat pulang ke Jerman dengan senang hati setelah cemas dan lemas beberapa minggu. Dengan lapang dada dia tidak akan mendakwa sesiapa yang menimbulkan fitnah itu.

Juga selesai ialah dakwaan kononnya baja organic tahi babi telah digunakan oleh para pesawah di utara dan Timbalan Menteri Perusahaan Berasas Tani, Dato Sharif Omar segera menjelaskan, tiada baja seperti itu digunakan.

Yang paling kartun dalam kejadian ini ialah tentang isu baja tahi babi yang ditimbulkan Anggota Parlimen Arau yang juga adinda Yang Di Pertuan Agong, Dato Syed Razlan Jamalulail. Tidak berapa diketahui penampilannya dalam siding Dewan Rakyat sejak setahun lalu. Tiba-tiba TV dan akhbar menyiarkan dakwaannya kononnya baja organik yang digunakan di sawah di sebelah utara yang diimpot dari China adalah dari tahi babi.

Jika yang dilaporkan oleh media itu tepat, kononnya wakil rakyat itu telah terserempak dengan baja itu dua tahun lalu apabila beliau melawat kawasan pertanian itu. Seorang petugas Cina yang bersamanya yang membaca tulisan di sampul baja itu memberi tahu ia adalah baji tahi babi.

Siapa yang tidak terperanjat kerana masing-masing yang pernah turun ke sawah terbabit dengan air sawah dan tanaman bercampur tahi babi. Masing-masing terpaksa terjun ke tempat air bersih untuk bersamak. Dan bagi pesawah sendiri, bayangkan betapa keciwanya mereka kerana bergelumang dengan najis itu setiap hari.

Bagaimana dengan amalan mereka selama ini? Ada kaedah fikah yang melepaskan mereka selama mereka tidak tahu. Tetapi apabila mereka tahu, mereka tentulah keciwa kerana entah sudah berapa lama mereka sudah najis.

Anak raja itu dikatakan menemui perkara itu dua tahun dulu atau setahun sebelum beliau menjadi wakil rakyat. Mengapa selepas dua tahun atau selepas setahun selepas menjadi wakil rakyat baru membangkitkannya di Parlimen?

Perkara seperti itu tidak boleh dilambatkan sehingga dua tahun. Ia mesti dibangkitkan serta merta. Dengan kedudukannya sendiri, walaupun belum menjadi wakil rakyat, boleh mengadu atau membantah kepada pihak yang berkenaan. Atau telifon saja pada Dato Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis, nescaya serta merta perkara itu meletup.

Ditakdirkan betul baja itu dari tahi babi, kiranya ketika itu dihebahkan, maka dua tahun sudah para petani menyamak diri mereka dan sejak itu ibadat masing-masing tidak tercemar.

Syukurlah ia tidak pernah berlaku. Dakwaan itu tidak betul. Wakil rakyat berkenaan boleh berasa malu. Tetapi sebagai wakil rakyat beliau wajar membangkitkan perkara yang meragukannya. Kartunnya, bukan kerana membankitkan perkara yang tidak berasas, tetapi menunggu begitu lama untuk membangkitkannya.

Bagi kes prodak sosej di Selayang, masalahnya ia tidak menggunakan permit halal yang sah. Atas kelemahan itu tindakan wajar dikenakan. Kiranya disyaki prodok itu tidak halal, bolehlah tindakan menghentikan oprasinya sehingga permit yang sah diperolehinya.

Sebelum permit dikeluarkan bolehlah kejadian DNA dibuat bagi memastikan produk itu halal atau haram. Pekilang tidak boleh membantah kerana logo halal yang digunakan tidak sah.

Haramnya sesuatu produk makanan, bukan sekadar ia mengandungi zat babi atau mana-mana binatang haram, tetapi ia terletak juga cara-cara ia diproses. Sekalipun sarung sosej itu dari bahan ayam atau rusa atau angsa atau unta, tetapi cara itu diproses akan menentukan ia bangkai atau halal.

Dengan terus menuduh salut sosej itu babi dan kemudian DNA mengesahkan ia bukan bukan babi, maka maruah dan wibasa institusi yang membuat dakwaan diragui dan dengan mudah ia boleh dipersalahkan.

Sebagai mana mudahnya isu usus babi itu diketengahkan, maka begitu mudah pula kementerian terbabit menghalalkan sosej tersebut sebaik saja DNA mengesahkan ia bersih dari babi. Tidak dipastikan bagaimana bibi-biri dan ayam berkenaan diproses dan salut tadi diproses?

Setakat ini, pihak yang membangkitkan isu babi baik pada sosej berkeaan mahu baja tadi berada di pihak yang tidak cermat dan sukar untuk mempertahankan tindakannya. Mereka boleh dikatakan saja.

Pada hal tugas tadi asalnya baik dan diperlukan bagi memastikan institusi loga halal itu dihormati dan peraturan halal dan haram dipatuhi. Tindakan pemeriksaan mengejut diperlukan untuk menentukan peraturan dipatuhi. Ia sama perlunya dengan peraturan odit bagi setiap syarikat dan perniagaan.

Kalau setiap syarikat perlu ada odit dalam dan odit luar, maka setiap syarikat perlukan odit halal dalam dan luar. Kilang sosej yang bermodal besar dan membuat keuntungan, wajib mengadakan pegawai khas yang mahir fikh bagi memastikan setiap produk adalah halal.

Pegawai ini bertanggungjawab memastikan pejalanan dalam kilang itu halal, bahan yang dipesan halal dan urusannya juga halal.

Jika syarikat-syarikat kecil tidak mempu mengadakan pegawai akuan khas, tetapi ia terpaksa menggunakan khidmat akaun luar untuk mengesahkan kelicinan pentadbiran kewangannya, maka khidmat penentuan halal itu diperlukan sekarang supaya sesiapa juga tidak waswas tentang barang yang dimakan.

SeTAPAK
04/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home