Subky Abdul Latif

Wednesday, April 06, 2005

LAZIMNYA KHAIRI RASIONAL

MENANTU Perdana Menteri yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairi Jamaluddin lazimnya seorang yang rasional. Orang yang mengikuti wawancara dalam Bahasa Inggeris yang dikelolakan oleh Dr. Munir Majid di TV1 beberapa bulan dulu kagum melihat Khairi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

Dia dilihat tenang dan rasional. Seolah-olah lebih berwibawa dari Ketua Pemudanya, Dato Hishamuddin Hussein. Boleh disama seperti Tan Sri Musa Hitam semasa menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO kepada Dato Idris dulu.

Entah mengapa Khairi campur isu budak perempuan artis yang ditangkap oleh penguatkuasa Jawi kerana dikatakan berkeadaan tidak senonoh di kelab malam di Kuala Lumpur.

Budak perempuan itu sudah dibela oleh Menteri Shahrizat Jalil. Masyarakat kurang kisah penglibatan Shahrizat kerana rasionalitinya tidak setanding dengan Khairi. Tetapi Khairi sepatutnya tidak sedarjat itu.

Atas penglibatan Pemuda UMNO dan Wanita UMNO itu, maka tindakan Jawi tadi tergencat.

Secara jelas campur tangan itu menghalang Jawi menjalankan tugas. Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahkamah mensabitkan dakwaan rasuah ke atasnya kerana menghalang polis menjalanan tugas.

Antara hujah Khairi membantah tangkapan Jawi itu ialah mengapa Jawi tidak bertindak ke atas MAS yang menghidangkan arak kepada penumbang di angkasa sana?

Logiknya, justeru MAS tidak dikenakan tindakan, maka budak-budak betina itu juga tidak wajar dikenakan tindakan.

Khairi sebenarnya tidak membela budak-budak perempuan itu. Salah atau tidak salah budak-budak itu tidak jadi pertimbangan. Khairi hanya menempelak Jawi bertindak demikian dan tidak pula dia membuktikan Jawi telah bertindak di luar bidang kuasanya.

Jauh sangat larinya dari pendirian Rasulullah SAW dalam menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang. Maksud sabda baginda: Kiranya Fatimah binti Muhammad (puterinya) mencuri, nescaya aku potong tangannya.

Siapa budak-budak itu tidak penting, tetapi Jawi sudah bertindak mengkut kuasanya. Jawi adalah badan kerajaan dan undang-undangnya diluluskan oleh Parlimen. Undang-undang itu sama dengan lain undang-undang di negara ini.

Khairi dan Pemuda UMNO jika terasa, budak-budak itu terinaya, belalah melalui mahkamah. Biarlah mahkamah menentukan mereka bersalah atau tidak dan apakah Jawi menjalankan tugas dengan betul atau tidak.

Jikapun peruntukan yang ada pada Jawi itu tidak menasabah, maka bolehlah Wanita UMNO dan Pemuda UMNO mengusulkan supaya dipinda enakmen itu.

Kenyataan Khairi yang boleh dikira campur tangannya, tidak membersihkan budak-budak itu dan tidak pula menguntungkan MAS yang menghidangkan arak itu.

Sekarang Khairi sudah mengheret MAS kerana menghidangkan arak kepada penumpang. Dari maksiatnya amalan maksiat MAS itu lebih besar. Pelanggan arak, pembuat arak dan penghidangnya sama-sama dilaknat Allah.

Ke kelab malam sekadar satu kesalahan berdosa, tetapi menjamu arak adalah dilaknat dan satu dosa besar malah ia adalah raja segala maksiat.

Khairi sudah mendedahkan mengapa Jawi tidak bertindak ke atas MAS? Ini bererti Khairi menyedari MAS tidak senonoh.

Apabila Khairi sudah tahu, dan dia ada pengaruh, serta sebagai menentu Perdana Menteri yang juga boleh dilihat sebagai sesoang penasihat Perdana Menteri, maka apa sikap Khairi terhadap MAS yang mengedar arak percuma kepada pelanggannya yang kaki botol?

SeTAPAK
06/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home