Subky Abdul Latif

Thursday, April 07, 2005

MENGAPA ISLAM JADI AGAMA TIDAK BOLEH?

DALAM seminar Mengkaji Pemikiran Datuk Seri Abdullah Badawi Terhadap Pembinaan Insan dan Pembangunan Sosial di Kuala Lumpur 05 April lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam dalam kertas kerjanya menyarankan kira-kira:

‘Islam tidak harus dilihat sebagai agama ‘tidak boleh’ kerana kepercayaan dan kefahaman itu boleh menyekat kemajuan umatnya, termasuk orang Melayu yang dianggap masih ketinggalan di negara ini.’

Media sekadar memberikan laporan sambil lalu. Pandangan Tan Sri Musa justesru itu tidak dapat diikut sepenuhnya. Cuma yang dapat disimpulkan bahawa beliau menekankan bahawa tanggapan demikian adalah ‘fahaman yang salah terhadap agama itu.’

Bagi membetulkan tanggapan itu maka Perdana Menteri memperkenalkan Islam Hadhari sebagai usaha pemimpin kearah membentuk masyarakat yang mempunyai personaliti memuncak tinggi, kata Tan Sri Musa.

Apakah langkah yang diambil itu tepat terus menjadi perbincangan dan perhatian. Dan apakah ia akan berjaya, sama-samalah tunggu.

Bagaimanapun Tan Sri Musa menyarankan suatu yang tepat supaya Islam tidak dilihat sebagai agama ‘tidak boleh.’ Tanggapan demikian bukan sekadar tidak betul, tetapi menyeleweng dari ajaran Islam yang selama-lamanya tidak pernah nagatif.

Islam itu positif. Ia bermula dengan boleh. Bagi menjamin yang boleh itu terus positif, maka Islam menggariskan apa yang tidak boleh. Yang tidak boleh iaitu haram disebut secara jelas supaya agama itu tidak dilihat negatif.

Yang boleh dalam Islam disebutkan dalam al Quran dan yang tidak boleh disebut dalam al Quran. Yang tiada dalam al Quran, ada dalam Hadis. Jika dalam hadispun tiada, apa pula kata ijmak ulama? Sesudah itu berpandulah kepada qias.

Bagi orang yang mengaji Islam secara berguru, ia tahu yang boleh dan yang tidak boleh. Bila kekeliruan, guru akan jelaskan. Yang menjadikan ia negatif iaitu yang mengaji tidak berguru. Bila ada kekeliruan dan salah faham, kepada siapa hendak minta penjelasan.

Mengaji tidak berguru, bergurukan syaitan. Mana yang keliru dalam kajiannya, ia membuat kesimpulan sendiri. Inilah yang menyebabkan yang boleh jadi tidak boleh dan yang tidak boleh dibolehkan.

Islam adalah agama samawi iaitu agama langit. Agama Yahudi dan Kristian juga agama langit, tetapi ditolak. Mula-mulanya Islam adalah agama para malaikat termasuk iblis dari kalangan jin. Ia agama yang boleh. Hanya yang tidak boleh ialah engkar kepada apa jua arahan Allah. Allah mencipta Adam dan wajib para malaikat tundak kepadanya. Iblis engkar. Engkar kepada arahan Allah tidak boleh. Justeru itu iblis dilaknat.

Apabila Adam dan Hawa dicipta, mereka ditempatkan di langit. Mereka bebas dan semua dibolehkan. Yang tidak boleh hanya satu iaitu jangan mendekati pohon khaldi. Satu yang tidak boleh itulah yang dilanggar oleh Adam dan Hawa. Lalu mereka dihalau ke bumi.

Dalam semua yang boleh untuk malaikat, yang tidak boleh hanya satu yaitu engkar kepada arahan Allah. Dalam semua yang boleh untuk Adam dan Hawa di syhurga, hanya satu yang tidak boleh iaitu mendekati pohon khaldi.

Ini bererti Islam bermula dari boleh, yang tidak boleh hanya satu. Oleh itu sebarang yang tidak boleh dalam Islam adalah satu dari yang serba boleh. Jika yang tidak boleh didaftar, mungkin menggunung banyaknya, tetapi ia sama seperti satu dari banyaknya yang boleh.

Bagi mengetahui Islam itu boleh, maka manusia kena mengaji. Apabila mengaja, maka terangkatlah ia dari status jahil. Seorang yang mengaji hingga alim, nescaya ia tahu banyak yang boleh dan banyak juga yang tidak boleh, tetapi boleh lebih banyak dari yang tidak boleh. Bagi yang jahil pula ada yang tidak nampak yang boleh. Ada juga yang nampak sama ada semua boleh atau semua bidak boleh.

Apabila penjajah barat menakluki bumi orang Islam, ia membuat peraturan menjadikan yang boleh pada Islam jadi tidak boleh. Undang-undang Islam yang sempurna yang berkuat kuasa dulu, tidak boleh digunakan.

Belajar Islam tidak dilarang tetapi tidak digalakkan. Sekolah pondok tidak di semua tempat kerana ia tidak dapat bantuan kerajaan penjajah, tetapi penjajah mendirikan sekolahnya di merata tempat. Maka sekitar 90 anak orang Islam belajar di sekolah yang dinina penjajah baik dalam apa aliran bahasa jua.

Hanya sepuluh peratus saja anak orang Islam belajar Islam secara formal dan 90 peratus lagi belajar mengaji Quran. Selepas merdeka pun nisbah belajar Islam secara formal dengan yang tidak, lebih kurang sama.

Selama sekitar 400 tahun 90 orang Islam belajar Islam secara patuk ayam saja, maka mereka pun melihat agama Islam sebagai agama tidak boleh.

Nasib mereka lebih dari saudara-saudara mereka di Filipina. Sejak penjajah Sepanyol datang ke wilayah itu majoriti rakyat tidak boleh jadi orang Islam lagi. Sekarang umat Islam sudah jadi minoriti, dan yang sempat belajar Islam secara formal dipercayai kurang dari 10 peratus.

Dan kalau majoriti besar melihat Islam sebagai agama tidak boleh, bukan kerana agama itu tidak positif, tetapi adalah disebabkan mereka belajar Islam secara patuk ayam.

Sejak merdeka kerajaan membuat peruntukan untuk setiap kepala murid. Duit itu akan ikut ke sekolah mana saja murid belajar, tidak kira ke sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan Cina atau India. Tetapi peruntukan itu tidak ikut kalau murid sekolah agama rakyat.

Bagaimana pun sekolah-sekolah agama rakyat dapat bantuan dari jabatan agama negeri-negeri. Tetapi sejak lima tahun lalu jabatan-jabatan agama negeri dilarang memberi bantuan. Jika sekolah kebangsaan tidak berupaya memberikan pendidikan Islam secara formal seperti di sekolah agama rakyat dulu, maka peratus anak orang Islam mendapat pendidikan Islam secara formal akan kurang dari sepuluh peratus.

Sejak di zaman penajah guru-guru agama tidak bebas mengajar Islam. Mereka kena ambil tauliah dulu. Graduan usuluddin al-Azhar, Mesir, Mekah, Madinah dan lain-lain yang sudah alim kalau hendak mengajar kena ada tauliah. Tauliah lebih berharga dari ijazah universiti Islam.

Penindasan terhadap umat Islam yang berterusan sejak empat kurun lalu menyebabkan orang Islam yang jahil tadi melihat nagatif kepada agama mereka. Teguran terhadap maksiat dan kemunkaran serta larangan yang disampaikan para ulama diangkap sebagai sekatan oleh orang awam yang jahil.

Orang yang mengaji tahu bahawa Islam itu bukan sekadar amar makruf atau menyeru kepada kebaikan. Tetapi diregukan dengan nahi munkar iaitu mencegah kejahatan. Sabda Nabi SAW bermaksu, kiranya terjumpa perbuatan muukar, hendaklah dicegah dengan tangan, tidak lalu dengan tangan cegah dengan mulud. Tak boleh dengan mulut, cegahlah dengan hati tetapi ia adalah selemah-lemah iman.

Begitulah yang para nabi lakukan sejak dulu mencegah maksiat dalam kontek nahi munkar. Dan apa reaksi orang ramai terhadap seruan para nabi itu? Mereka menentangnya kerana antaranya nabi-nabi memberi tahu itu tidak boleh dan ini tidak boleh. Bagi mereka apa yang disampaikan itu adalah ajaran ‘tidak boleh.’

Maka tiba masanya para pemikir Islam tidak lagi menghukum dan menyalah ulama dan umat tentang cara menyampaikan ajaran Islam, tetapi tampil bersama membantu mereka menyampaikannya supaya Islam diterima sebagai agama yang serba boleh. Pada ketika yang sama nisbah 90 peratus anak orang Islam yang tidak mengikuti pendidikan Islam secara formal mesti jangan keciciran lagi!

SeTAPAK
07/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home