Subky Abdul Latif

Saturday, April 02, 2005

PEMBEBASAN PALESTIN BERMULA DI PUTRAJAYA

KEAMANAN di Palestin sudah tidak lagi di gembeling Baitul Maqdis, di Amman, di Washington, di New York atau di Oslo, tetapi ia sudah beralih ke Putrajaya, Malaysia.

Kini Keamanan di Palestin bermula pula di Malaysia dengan Aman Malaysia membawa berpuluh-puluh NGO dari seluruh dunia termasuk dari Israel untuk memulakan perjuangan seperti Mandela membebaskan Afrika Selatan dari regim apartheid kulit putih.

Pemuda UMNO membidas PAS sebagai berpandangan cetek kerana enggan menyertai Persidangan Aman hujung bulan Mac lalu di Putrajaya.

Aman yang menjadi NGO Pemuda UMNO mempunyai alasan dan hujah membawa NGO Israel untuk memastikan wujud wilayah Palasten di Ghaza dan Tebing Barat Sungai Jordan, sebuah Palestin yang jauh lebih kecil dari Palestin asal sebelum menjadi Israel 50 tahun dulu.

Ia dapat menggerakkan lidah dan mulut orang Yahudi warga Israel mengecam zionis dan kekejaman regim Israel ke atas rakyat Palestin sejak 50 tahun dulu.

PAS pula mempunyai hujah yang kuat juga mengapa ia enggan menyertai Persidangan yang disertai oleh NGO Israel. Sikap tegas PAS terhadap Israel dan warganya itu selama inilah yang menghalang UMNO belum mengiktiraf Israel. Pemimpin Pemuda PAS sanggup masuk penjara kerana penyeludupan pemaian kriket Israel ke Malaysia, maka tidak logiknya duduk sedewan dalam persidangan yang dihadiri oleh Yahudi.

Bukan tidak ada di dunia warga Israel yang baik dan semua Yahudi ada zionis, tetapi setiap warga Israel – yang baik dan yang tidak baik - adalah tentera. Rakyat Malaysia pun bukan semuanya benci kepada Israel, ada juga yang berulang alik ke wilayah itu dan berkawan dengan orang Israel.

Perwakilan Israel yang dikira baik itu tidak menyalahkan rakyat Malaysia termasuk PAS kerana curiganya kepada warga Israel, tetapi ia adalah didorong oleh kekejaman regim zionis itu.

Rasulullah SAW sendiri membuat perjanjian dengan orang-orang Yahudi untuk mewujudkan keamanan di Madinah tetapi perjanjian itu batal kerana tidak dipatuhi. Itulah sebabnya mereka terusir dari semenanjung Arab.

Sekalipun al-Quran merekamkan betapa Bani Israel itu adalah bangsa yang dilaknat, tetapi Rasulullah SAW juga ada beristerikan orang Yahudi, malah baginda menjenguk rumah jiran Yahudinya yang memusuhinya. Kejadian baginda menjenguk rumah Yahudi itu menyebabkan Yahudi itu beriman dengan baginda.

Serajah bangsa Aceh tidak pernah kalah kepada tentera Belanda hinggalah datang seorang warga Belanda bernama Senog Hergrondji yang memakai nama Islam Abdul Ghafur, dilihat oleh Aceh sebagai Belanda yang baik. Dari hubungan baiknya dengan masyarakat Aceh membuka jalan bagi penaklukan Aceh oleh Belanda.

Aman Malaysia memulakan satu percubaan yang kini menjadi harapan semua pihak yang simpati kepada Palestin. Ia akan mengadakan sidang tahunan seperti itu dan bebeapa pelan tindakan untuk mengembalikan kedaulatan Palastin untuk setakat ini adalah di kawasan Ghaza dan Tebing Barat. Kalau bangsa Palestin tidak dapat semula semua wilayahnya, ia tidak hilang semua wilayahnya.

Tetapi Aman Malaysia berjaya menonjolkan Dato Mukhriz Mahathir sebagai tokoh Pemuda UMNO yang penting di masa akan datang. Pemuda UMNO kini tidak sekadar punya satu dua orang tokoh. Ia sudah ada bebeapa orang tokoh yang boleh mengambil alih parti itu.

SeTAPAK
02/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home