Subky Abdul Latif

Friday, April 29, 2005

PERANG KECIL WARTAWAN DAN WAKIL RAKYAT

ENTAH apa yang terjadi, maka anggota Dewan Rakyat terdiri dari Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, Ketua Penyokong Kerajaan (BBC) Dato Shahrir Samad dan pengikut masing-masing melenting atas satu dua rencana yang mempertikai wibawa dan prestasi anggota parlimen.

Pihak yang paling terasa dalam komen wartawan itu ialah wakil rakyat Barisan Nasional. Pada pandangan wartawan itu peranan wakil rakyat BN lemah dan mungkin juga tidak mencapai tahap yang diharapkannya.

Yang menariknya ialah perkara itu mula dibangkitkan oleh Lim Kit Siang yang menuntut supaya wartawan tersebut dipanggil untuk disoal oleh pihak Parlimen bagi memastikan nama baik wakil rakyat terpelihara. Suara Ketua Pembangkang itu menyebabkan wakil rakyat BN bangkit mengambil isu itu untuk menyesali laporan wartawan dalam akhbar Inggeris itu.

Sebenarnya dalam beberapa dekat ini tiada laporan yang pernah mempersoal wibawa dan penambilan wakil rakyat membisu seperti batu atau tunggul reput atau cakap-cakap yang tidak bernilai. Segala laporan dan komen khususnya terhadap penyokong kerajaan lazimnya baik belaka.

Kalaupun ada yang tidak baik atau tidak sampai standard adalah anggota pembangkang saja.

Hanya barulah sekali dua, entah apa sebabnya maka wartawan yang tak pun terkenal, menegur nilai wakit rakyat.

Apakah tegurannya betul atau direka-reka atau tidak tepat, maka belum dapat dipastikan lagi. Kadang-kadang wartawan pun membuat silap juga dan sama sseperti wakil rakyat, mereka pun ada juga yang lemah. Bagaimana wartawan seperti wakil rakyat membuat kerjanya. Bernilai atau mengarut terletak kepada kekuatan dan nilai kerja masing-masing. Dan ia akan dinilai oleh masyarakat.

Satu dua wartawan sudah menilai wakil rakyat. Pembaca yang berotak akan menilai dan mengambil daya usaha bagi memastikan apa yang dilaporkan itu betul atau mengarut. Kalau wartawan boleh memberi pandangan bahawa ada wakil rakyat yang mengarut, maka juga wartawan yang mengatakan wakil rakyat tidak mengarut.

Akhirnya rakyat yang berdalat dan bermaruah membuat kesimpulan yang mana satu yang betul.

Justeru itu tidaklah wajar bagi wakil rakyat, menggunakan masa yang berharga di parlimen untuk berperang dengan wartawan sedang wartawan yang terbabit adalah satu orang atau dua orang saja.

Jika tulisan wartawan itu dapat mempengaruhi pembaca, ia disebabkan oleh dua perkara. Pertama memang wartawan itu berwibawa dan dia dapat mendedahkan apa yang sebenarnya. Maka ia meyakinkan pembaca.

Dan kedua, laporannya mengarut, tetapi ia diyakini juga oleh pembaca. Jika ini keadaannya, maka itulah bentuk pembaca dalam masyarakat kita, yang mengarutpun berupaya mempengaruhi mereka. Ia adalah tanda rakyat yang membaca itu bodoh dan tidak berdaulat.

Islam sudah mengingatkan umat yang merdeka, jika datang berita dari orang fasik, maka pastikan kebenarannya.

Menteri Dato Nazri Aziz adalah seorang budak yang berotak. Dia tidak mahu bertindak dan menyalahkan wartawan berkenaan. Dia tidak mahu mengajar wartawan sama seperti dia tidak wartawan mengajar wakil rakyat.

Biasanya Dato Nazri, kalau tidak puas hati, dia buat penjelasan atau dia ajak orang yang berkenaan berdebat. Setakat ini yang dia tidak ajak berdebat ialah Eksko TErengganu di bawah pentadbiran PAS dulu atas isu penutupan MRSM Dungun dan Besut.

Wartawan yang dilawan berperang oleh anak buah Dato Shahrir Samad itu telah membuat kerja-kerja awalnya. Dia sudah melaporkan mutu wakil rakyat BN. Dia tidak takut dan dia melaporkan secara bebas. Pengarang akhbarnya pula berani menyiarkannya. Ada keberaniannya sekali itu menyiarkan apa yang dirasa patut disiarkan, bukan apa yang wakil rakyat rasa patut siar.

Di negeri-negeri yang maju dan demokratik serta rakyatnya berdaulat, wakil rakyat tidak berperang dengan satu rencana wartawan. Mereka baca dan mereka atasi kiranya ada kelemahan. Malah mereka takut kepada wartawan. Kerana wartawanlah Presiden Nixon meletak jawatan dan kerana wartawanlah Perdana Menteri Jepun Tanaka berundur.

Di Malaysia, para wakil rakyatnya manja. Sejak merdeka wartawan tidak menegur sebarang kelemahan pemimpin disebabkan wartawan tidak mahu pemimpin serba salah hendak melakukan kerja dan membuat tindakan. Akhbar-akhbar menyokong menteri dan wakil rakyat sebagai kerjasama membantu mereka membangunkan negara.

Kalau akhbar bebas menegur mereka, ditakuti mereka takut membuat keputusan. Selepas hampir 50 tahun mereka tidak ditegur, maka mereka merasa mereka betul saja. Sekali wartawan mengata mereka lemah, maka mereka gelabah, dan menggunakan kedudukan sebagai anggota Parlimen mengajak wartawan berperang.

Malah wartawan yang selama-lamanya menyokong kerajaan seperti Dato Nazri Abdullah, Dato Johan Jaafar, Dato Zainuddin Maidin, Dr. Munir Majid dan terakhir Tan Sri Abdullah Ahmad, sekali sekala menyentuh kerajaan dan pemimpinnya, maka serta merta mereka dibuang kerja.

Kalau orentasi yang diterima itu seperti layanan akhbar kepada para pembangkang, maka semua keji dan kutukan diterima dengan sabar. Sekali sekala saja mereka melenting dengan akhbar.

Dengan reaksi demikian rupa dari wakil rakyat, dan jika dilihat nanti para wartawan rasa terancam, maka dalam tahun 2030 pula baru ada teguran sseperti itu terhadap wakil rakyat dari wartawan.

Wakil rakyat tidak akan tahu presasinya baik atau tidak kiranya tidak ada pihak yang berani menegurnya. Menteri-meneri tidak berani menegur wakil rakyat kerana merekapun ada kelemahan. Rakyat tidak ada saluran untuk menegur.

Kiranya diberi peluang kepada wartawan menegur, maka ada peluang baginya meningkarkan prestasinya sebagai wartawan berwibawa, tidaklah mereka menjadi tukang tulis atau petition writer menulis apa yang disuruh saja.

Wakil rakyat sepatutnya memanggil seminar, meminta wakil-wakil masyarakat termasuk wartawan yang berani itu membincangkan prestasi wakil rakyat, supaya dia tahu apa orang kata tentang diri mereka. Dan menggalakkan wartawan terus menulis dan jika tulisan itu tidak benar mereka boleh menafi dan mebuat penjelasan hatta boleh juga menyamannya.

Tapi dengan berperang dalam parlimen yang waratwan tidak boleh jawab dan lepas ini mereka pun tidak berani menulis, maka ia tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada wakil rakyat. Tetapi yang oleh lihat ialah wakil rakyat tidak boleh ditegur. Pada hal wartawan itu belum semestinya betul. Tetapi mereka tidak boleh digertak.

SeTAPAK
29/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home