Subky Abdul Latif

Friday, April 08, 2005

SEMINAR PEMIKIRAN ABDULLAH BADAWI TERLALU AWAL

PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi mungkin antara tokoh yang bertuah justeru belum sempat dua tahun jadi Perdana, pemikirannya telah diseminarkan.

Pemikiran Tunku Abdul Rahman Putra, Bapa Malaysia dan perdana menteri pertama Malaysia tidak melihat pemikirannya diseminarkan semasa hidupnya, bahkan hingga ini ia belum pernah diseminarkan. Yayasan Tun Abdul Razak sekadar mengenang dan memperingati peranan Perdana Menteri Kedua itu.

Mungkin tidak banyak yang boleh diseminarkan.

Hatta Tun Dr. Mahathir yang terlalu banyak idea itupun hanya menjelang persaraannya dari politik setelah diumumkannya, baru dicadangkan supaya pemikirannya dijadikan kajian di sekolah-sekolah dan universiti. Itupun belum lagi diseminarkan.

Rancangan dan cadangan Perdana Menteri mengenai pembinaan insan dan pembangunan sosial wajar diseminarkan tetapi bukan seminar mengenai pemikirannya atas perkara tadi.

Tetapi itulah yang dianjur dan terlanjur diadakan oleh Institut Sosial Malaysia di Kuala Lumpur pada 5 April lalu iaitu Seminar Kebangsaan Mengkaji Pemikiran Datuk Seri Abdullah Badawi Terhadap Pembinaan Insan dan Pembangunan Sosial.

Kata Dato Shahrizat Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merasmikan seminar itu, pembangunan pesat dibawah Dr. Mahathir dulu kira-kira ibarat penyediakan ‘perkakasan’ tetapi di bawah Pak Lah ini adalah ‘perisian’nya.

Maka program perisian yang cuba diketengahkan oleh Perdana Menteri itu patut dibincangkan. Bagaimana ia hendak dirancang dan cara pelaksaannya supaya ia berjaya dan berkesan.

Oleh kerana ia tidak dikemukakan oleh Perdana Menteri sebelum ini, maka wajarlah perkara itu dihuraikan. Tetapi untuk dinamakan pemikiran beliau dan seminar pemikirannya terlalu awal dan mengenai pembinaan insan itupula mungkin tidak original.

Dalam pentadbiran PAS di Terengganu (1999-2003) ia telah mewujudkan Unit Pembinaan Insan. Dato Seri Abdul Hadi Awang dan Dato Harun Taib telah banyak bercakap tentang perkara itu dan banyak kertas mengenainya.

Perbincangan mengenainya tidak akan lengkap jika Dato Harun Taib dan programnya tidak diajar serta atau dibincangkan, sekurangnya untuk perbandingan.

Oleh kerana itu seminar tadi sepatutnya mengenai program Datuk Seri Abdullah mengenai perkara itu, tidak boleh didakwa sebagai pemikirannya kerana ia telah dijalankan di Terengganu lebih dulu. Para pengkaji seratus tahun datang jika mereka membuat kajian, mereka akan terjumpa perkara itu telah didahului oleh kerajaan PAS di Terengganu.

Dan untuk membincangkan pemikiran Perdana Menteri pada keseluruhannya pula, maka masanya terlalu awal kerana macam-macam boleh terjadi. Dr. Mahathir ketika mula-mula menjadi Menteri Pelajaran tidak berssetuju dengan cadangan menamakan sekolah dengan namanya. Malah bila beliau menjadi Perdana Menteri menolak amalan menamakan nama menteri-menteri yang masih berkhidmat untuk nama sekolah, jalan raya dan sebagainya.

Di bucu Jalan Tun RAzak dan Jalan Raja Muda di Kuala Lumpur pernah ada Balai Dato Harun Idris. Tiba-tiba Dato Harun didakwa dan dipenjara. Masing-masing tak tahu nak buat apa dengan balai itu. Kini ia sudah hilang.

Rakyat Indonesia sangat rancak membincangkan ajaran dan pemikiran Sukarno yang dipelopori oleh Dr. Roslan Abdul Ghani. Tiba-tiba presiden itu digulingkan dan namya dilenyapkan. RAkyat keliru dengan sejarahnya.

Menjelang pilihan raya 1999 DAP merayakan 30 tahun pimpinan Lim Kit Siang dalam parti itu. Ucapan pemujaan cukup hebat. Ucapan seperti itu lazimnya untuk semalat perpisahan. Bukan bagi seorang yang sedang segar memimpin. Dalam pilihan raya itu DAP dan Kit Siang kalah. Dia tidak lagi mempertahankan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung DAP selepas itu.

Lazimnya seminar pemikiran itu dibuat setelah tokoh itu selesai khidmatnya jika hendak diadakan semasa hidupnya. Tetapi yang terbaik ialah setalah matinya. Selagi hidup, adakan acara ‘jasamu dikenang’ saja.

Sesudah jadi macam Mahatma Gandhi, Iqbal, al Ghazali dan as Syafie, maka baru perbicangan mengenai pemikiran masing-masing dilihat kukuh. Setakat kehebatan Dr. Mahathir yang hari-hari di angkasa dulu, baru setahun lebih saja tidak menjadi Perdana Menteri orang mulai menilai jasanya ibarat ‘perkakasan’ yang tidak berisi.

Ada periuk tetapi tidak bernasi.

SeTAPAK
08/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home