Subky Abdul Latif

Saturday, April 16, 2005

UJI RASYID BERDAKWAH DALAM SENI

TEKAD Uji Rasyid menceburi dunia seni demi dakwah seperti yang dinyatakannya dalam media selepas terpilih menjadi juara popular seniwati veteran anjuran Berita Harian boleh diterima sebagai satu cita-cita yang indah.

Tetapi jika apa yang didakwa itu suatu yang benar-benar berlaku, nyatalah ia suatu yang ajaib pada diri para pendakwah secara umum.

Sekalipun kegiatan dakwah tidak terhad di tempat-tempat tertentu, berdakwah di lubuk maksiat berhadapan dengan risiko yang tinggi.

Tidak diketahui apa niat Almarhum Haji Mahadi, seorang yang mendapat didikan Islam di Mekah menceburkan diri dalam dunia hiburan seni lakunan, dan demikian juga apa niat M. Rajoli, bekas pelajar Mesir menceburkan diri dalam bindng yang sama, tetapi yang jelas mereka dilihat sebagai pengiat seni hiburan seperti P.Ramlee dan A.R. Tompel.

Pengaruh seni dan hiburan itu dilihat lebih berjaya menguasai mereka dari pengaruh ilmu yang mereka tuntut. Sekalipun ilmu yang dipelajari tadi dapat digunakan dalam babak-babak mengenai agama dan dakwah, tetapi pada keseluruhannya penonjolan hiburan lebih ketara dari penonjolan keagamaan.

Filem Semerah Padi arahan P. Ramlee dan filem Bernoda lakunan Haji Mahadi, Ahmad Mahmud dan Saadiah mengandungi unsur dakwah, tetapi filem itu tetap dinilai sebagai karya seni hiburan.

Kelahiran kumpulan nasyid dalam arus perdana hiburan mempunyai niat dan matlamat yang besar untuk menyampaikan dakwah. Pendekatan seperti itu tidak dibantah oleh para dai. Malah Hamka mengira berdakwah melalui bidang seperti itu adalah penting.

Tetapi penampilan para penggiat nasyid itu dalam majlis-majlis besar hiburan yang disiarkan secara langsung melalui TV tidak berbeza dengan anak-anak wayang yang lain. Bezanya mereka berkopiah dan berpakaian menutup aurat.

Malah dalam babak yang terpaksa menari dan berkinja, mereka juga berkinja di tengah anak-anak seni laki-laki dan perempuan yang mendedahkan aurat. Bezanya mereka tidak berdakap dengan pasangan yang tidak sejenis. Pada ketika itu mereka adalah ahli seni hiburan seperti yang lain-lain.

Dakwah mereka terkandung dalam keset dan video yang beradap. Tidak dinafikan ia berpaya menyampaikan mesej dakwah yang berkesan. Tetapi dalam penampilan di pentas mereka dilihat seperti pengbiuran biasa. Paranan dakwahnya tenggelam.

Atas faktor itu, maka dunia seni dan hiburan, pada teorinya ia wajar didekati, tetapi pada hakikatnya sangat sukar didekati oleh para pendakwah yang terdidik untuk menyampaikan dakwah.

Bagaimanapun tidak mustahil penggiat-penggiat seni menerima seruan lalu mereka rasa terpanggil untuk menyampaikan dakwah lalu mereka menggunakan kesempatan menyapaikan dakwah sama ada terus kepada para seniman dan seniwati, biduan dan biduwanita serta penonton dan pendengar sekalian.

Penglibatan seperti lebih tepat bagi penglibatan Uji Rasyid dalam kegiatan dakwah dan menyampaikan dakwah melalui hiburan. Sangat payah untuk difikirkan bagaimana para pendakwah sendiri memilih kegiatan seni untuk berdakwah, kerana hiburan adalah lapangan yang berupaya menipiskan amalan dakwah seseorang.

Mengapa ajaran dari kitab melarang supaya jangan mendekati zina? Inti kepada maksiat itu ialah zina itu sendiri. Ialah kegiatan yang terkutuk. Mendekati zina bukan pengiat zina. TEtapi mendekati zina mendorong seseorang untuk terperangkap dalam perbuatn zina dan kalau ia terlepas dari terperangkap, ia akan terlibat dalam bermacam-macam karinah fitnah.

Penglibatan dakwah dan komitmennya dalam bidang yang mulia itu lebih tepat dan lebih mudah diterima, dia rasa terpanggil untuk berdakwah setelah datang kesedaran semasa menjadi penggiat seni, bukan menceburkan bidang itu kerana hendak berdakwah.

Jika benar Uji dating kesedaran berdakwah sesudah menjadi penggiat hiburan, ia sama dengan yang dialami oleh Cat Stiven yang menjadi Yusuf Islam. Dia asalnya penggiat hiburan pop. Kini dia menjadi pandakwah yang sangat berkesan.

Dia terus berlagu, lebih tepat bernasyid. Tetapi Yusuf Islam memutuskan dirinya dari lapangan hiburan yang orang ramai tahu. Pemikiran, pergaulan dan penampilannya tidak lagi seperti ahli hiburan biasa.

Mungkin Dato Sarimah yang mencebur diri semula dalam filem datang dengan semangat membawa ruh Islam dengan tidak bersedia berlakun tanpa tudung. Tetapi lakunannya tidak realistik lagi apabila nak tinur pun bertudung. Lakunan macam itu menggelikan.

Ahli-ahli seni yang mendapat seruan dakwah lazimnya hilang dari dunia seni. Ahli dakwah boleh mendekati dunia seni, tetapi binasa peranan dakwahnya jika dia sendiri terlanjur menjadi penghibur. Pendakwah boleh pergi berdakwah kepada penghibur, lepas itu dia mesti pulang atau kembali ke surau.

Tarikan seni dan hiburan itu lebih bergetah dari tarikah dakwah. Macam Fauziah Ahmad Daud yang berjaya mengubah pendirian selepas menerima seruan dakwah. Tetapi kini mendekati semula bidang itu. Mula-mulanya meraikan pelawaan konsert Siti Nurhaliza dan kemudian sekadar jadi pengacara tokoh hiburan anjuran Berita Harian. Ia mungkin sukar untuk mempertahankan hijrahnya lagi.

Kesimpulannya, Uji Rasyid lebih diterima menjadi orang yang memilih cara dakwah selepas menceburi bidang seni, bukan menceburi seni hiburan untuk berdakwah.

SeTAPAK
16/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home