Subky Abdul Latif

Tuesday, May 31, 2005

APAKAH ADA TUAH HASAN SHUKRI YANG SELALU MALANG?

WALAUPUN kecamuk isu mencabar kedudukan Senator Hassan Shukri sebagai Timbalan Presiden PAS tidak sama dibandingkan dengan krisis pimpinan Dato Asri hujung 70an dan awal 80an, tetapi yang malang dan menjadi sasaran utama para penyokong pimpinan PAS ketika itu ialah Ustaz Hassan Shukri.

Ketika itu beliau Setiausaha Agung. Dia baik dengan semua, tetapi kerana dia tidak dimasukkan dalam golongan Dato Asri, maka sekalian yang tidak sekata dengan Dato Asri berkumpul di depan mejanya dan di rumahnya baik dari Terengganu, Kedah malah Kelantan.

Dia digugurkan dari jawatannya digantikan oleh Ustaz Nakhaie dan kemudian Dato Abu Bakar Omar. Dia terus menjadi pegawai di Pejabat Agung PAS. Tetapi orang-orang tadi berkumpul di mejanya juga.

Akhirnya pimpinan bertukar kepada Haji Yusof Rawa. Ustaz Hasan dijadikan Setiausaha Agung semula.

Dari segi populariti dan kemasyhuran dari semasa ke semasa dia di tempat ke belakang. Antara Haji Yusof Rawa, Dato Fadzil Noor, Ustaz Nik Abdul Aziz dan Ustaz Abdul Hadi Awang, dia jauh ke belakang. Antara Mustafa Ali, Muhamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayubpun, beliau ke belakang juga.

Tetapi dia naik setapak ke setapak. Seorang pemimpin mati, Hassan Shukri naik ke takut dalam hiraki pimpinan. Ada yang keluar parti dan bersara, dia naik setakuk juga hatta menjadi Timbalan Presiden.

Mungkin jawatan itu terlalu tinggi untuknya, dan ada yang merasakan ia patut dibagi kepada orang lain. Tetapi hujah dan perasaan saja tidak dapat menghalangnya kejawatan yang amat penting itu.

Kalau berlaku sesuatu kepada Presidsen parti, maka beliau pula menjadi pemangku dan mungkin menjadi Presiden pula. Agaknya inilah menjadikan beliau sasaran.

Tiba-tiba orang jumpa kelemahannya. Kohilal yang memuncak di bawah pimpinannya bersama Haji Ismail Abdullah, merudum di bawah pimpinannya. Tetapi setiap pimpinan yang terlibat dalam perniagaan pernah bermasalah belaka.

Ada yang 17 syarikat peniagaannya merudum kononnya kerana masuk PAS, Ada yang krisis itu dan krisis ini. Tawkey UMNO yang dibantu oleh kerajaan lebih kurang sama saja. Lebih Ustaz Hassan tiada hutang peribadi yang diketahui.

Satu lagi kelemahan atau kekuatannya ialah suka menegur dan menghujah setiap pemimpin baik yang tinggi mahupun yang rendah daripadanya. Dato Asri ditegurnya. Hassan Adli ditegurnya. Dato Muhamad Nasir ditegur. Wan Ismail bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan ditegurnya.

Haji Yusof Rawa, Ustaz Nik Aziz, Ustaz Fadzil Noor dan Dato Seri Abdul Hadi Awang pun ditegurnya. Setakat Dr. Lo Lo dan Mahfuz Omar itu apa lagilah. Ada yang melihat sikap itu satu dan ada pula satu kelemahan.

Justeru itu sekali lagi beliau menjadi sasaran. Zaman Dato Asri dulu tiada surat layang. Tetapi kini macam-macm ada. Tidak sampai macam kempen UMNO. Bezanya ialah UMNO bertukus lumus untuk menghapuskan kempen kotor itu, PAS baru nak belajar.

‘Semua sampai kepada kami,’ kata Dato Najib tumpang membakar percikan api dalam PAS itu.

Yang ketara ialah pencabar Senator Hassan itu tercari-cari orang yang hendak melawannya. Sampai sepuluh nama dikemukakan untuk mencabarnya. Ini membawa erti pencabarnya tidak ada satu calon yang jelas.

Bukan PAS kekurangan orang untuk menjadi pemimpin, tetapi tiada orang mahu dijadikan peluru. Biasanya PAS berkelahi kerana tidak mahu menjadi pemimpin, sedang orang lain berkelahi kerana hendak menjadi pemimpin.

Calon yang baik dari semua ialah Dato Dr. Haron Din bukan saja uzur tetapi dipercayai mengelak dari bunga politicking yang boleh melarikan dari akhlak politik Islam.

Biasanya Ustaz Hassan digunakan oleh parti dan oleh pemimpin-pemimpin dulu dan sekarang untuk menyelesaikan semua masalah baik untuk pentadbiran parti dan kewangan.

Sesiapa yang mengadu masalah kepada pemimpin PAS, semuanya diarahkan kepada Hassan Shukri. Kadang-kadang yang YM 50 pun diserahkan kepadanya juga. Hatta anak Patrice Lumumba, Perdana Menteri Konggo yang terbunuh dalam krisis 40 tahun datang minta bantuan tambang pulang.

Beliau tidak suka bercakap dengan akhbar termasuk akhbar parti. Publitinya tidak banyak, tetapi sebagai senator, sekurang-kurangnya dua rang yang dilulu kan oleh DEwan Rakyat ditolak oleh Dewan Negara. Satu mengenai penggunaan racun yang boleh membayakan serangga dan setiap makluk bernyawa. Nama-nama binatang disebut dalam rang. Perkataan manusia tidak disebut. Pada manusialah makluk bernyawa yang paling penting.

Kedua rang mengenai kawalan keselamatan lapangan terbang awam antarabangsa dari acaman pengganas. Lapangan terbang domistik tidak disebut, sedang pengganas tidak mengira lapangan terbang. Atas teguran itu menteri berkenaan menarik balik rang itu untuk dikemukakan semua ke dewan rakyat.

Jarang rang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat ditolak oleh Dewan Negara.

Bila berbangkit persoalan agama Islam di Dewan Negara, semua senator UMNO,MICA dan MIC berkerumun di kantin dan di lobi minta pandangan Ustaz Hassan. Baru-baru ini beliau mengedarkan terjemahan Quran dalam bahasa Inggeris kepada semua senator termasuk Yang Dipertua DEwan Negara Tan Sri Hamid Pakwan Teh.

‘Dakwah ke?’ Tanya Tan Sri Hamid. Jawabnya, ‘Begitulah!’

Dia selalu setuju dengan saya. Yang dia tidak setuju ialah bila saya nasihat supaya berundur kerana peribadinya habis dicerca.

‘Zaman Dato Asri dulu, ana kena lebih teruk,’ jawabnya.

Tuahnya belum nampak, tetapi beliaulah antara khadam PAS yang sentiasa dirundung malang. Dia sudah lama belajar jadi orang bawah. Menebas rumput, menyapu sampah di sekeliling Markaz Tarbiyah supaya tidak canggung bila tidak lagi menjadi pemimpin parti.

SeTAPAK
31/05/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home