Subky Abdul Latif

Wednesday, May 04, 2005

BAHASA MELAYU BERGELUT DI LUBUK SENDIRI

DITAKDIRKAN Cikgu Mohamad Nor Ahmad dihidupkan kembali sekarang, lebih awal dari waktu manusia yang mati akan dibangkitkan semula, apakah gerangan komennya tentang perkembangan penggunaan Bahasa Melayu yang dikatakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan itu?

Nescaya dia terduduk dan tak berkata-kata!

Dia akan melihat keadaan dasar bahasa yang berselerak dan dalam proses nasi nak jadi bubur. Jika sumbu semawar tidak dipadamkan, sah nasi menjadi bubur.

Malangnya, tiada lagi di kalangan rakyat kini seorang yang bernama Cikgu Mohd. Nor Ahmad, pejuang bahasa Melayu yang pernah menjadi pemimpin Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung sejurus seelum dan selepas merdeka.

Rakan kharib Ibrahim Yaakub semasa di Maktab Perguruan Tanjung Malim, adalah antara anggota Majlis Tertinggi UMNO yang bersama Tunku Abdul Rahman Putra memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Cikgu Mohd. Nor mengambil sikap keras memperjuangkan supaya bahasa Melayu dijadikan bahawa kebangsaan dan menjadi bahasa penghantar tunggal di sekolah-sekolah. Melalui sokongan rakannya dalam Majlis Tertnggi UMNO seperti Syed Nasir Ismail dan Syed Jaafar Albar, beliau mahu UMNO mengistiharkan bahasa Melayu bakal menjadi bahasa kebangsan dan bahasa penghantar tunggal di sekolah.

Syed Nasir dan Syed Albar gagal memujuk Tunku untuk menerima dasar itu. Keduanya meminta supaya Cikgu Mohd. Nor tidak mendesak sangat supaya Tunku menyetujuinya kerana Tunku mengugut untuk meletak jawatan jika dasar bahasa Cikgu Mohd. Nor itu hendak diteruskan juga.

Tiada patah ke belakang bagi Cikgu Mohd. Nor. Menjelang Perhimpunan Agung UMNO di Pulau Pinang Cikgu Mohd. Nor menemui Tunku bertanyakan benarkan Tunku akan meletakkan jawatan jika UMNO bertegas dengan perjuangan bahasa. Tunku menjawab, ‘Ya!’

Kata dua dari Cikgu Mohd. Nor, ‘Sebelum Tunku meletak jawatan, patik akan gunakan peruntukan undang-undang sebelum Perhimpunan Agung UMNO dimulakan untuk mengemukakan usul tergempar, menuntut supaya Tunku meletakkan jawatan dari pimpinan UMNO kerana tidak setuju’ dengan cadangan menjadikan bahasa sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan bahasa penghantar di sekolah-sekolah.

Tunkupun berlembut dan setuju untuk membincangkan dalam Majlis Tertinggi. Cikgu Mohd. Nor meneruskan lobinya dalam MT UMNO. Tun Razak lebih awal menyatakan sokongannya. Setelah berbahas panjang di kediaman Tunku di tapak Bangunan Wisma Putra sebelah DBP, apabila diundi hanya Dr. Ismail dikatakan mengangkat tangan menentang.

Kerana perjuangan bahasa dan memertabatkan guru-guru Melayu, Cikgu Mohd. Nor membawa guru-guru Melayu keluar UMNO beramai-ramai. Itulah Cikgu Mohd. Nor, orang yang meletakkan songkok Pendita ke kepala Za’ba dalam Kongres Bahasa ke 111 di Johor Bahru.

Malaysia yang merdeka melihat bahasa kebangsaan itu didaulatkan hingga ke mahkamah dan dalam pertuturan harian. Dalam kemuncak kedaulatan bahasa itu Presiden MIC Dato Seri Samu Vellu berbangga ‘mewajibkan’ Perhimpunan Agung MIC berbahasa dalam Bahasa Malaysia. Dia tidak melayan mana-mana perwakilan yang bercakap dan menyoalnya dalam bahasa Tamil.

Sekonyong-konyong hampir setengah abad merdeka, didapati rakyat khususnya orang Melayu tidak lagi dapat menguasai bahasa Inggeris. Tetapi orang Melayu yang ketinggalan dalam pelajaran selama terjajah dan selepas terjajah, mulai ramai menjadi saintis dan serjana melalui pengajian dan penggunaan bahasa Melayu. Cuma mereka tidak menguasai bahasa Inggeris seperti orang Inggeris.

Demi menguasai semula bahasa Inggeris pernah Perdana Menteri ketika itu Dr. Mahathir bersuara supaya dibuka semula sekolah Inggeris seperti dulu. Ia bukan pandangan yang popular. Justeru itu kerajaannya membuat dasar menginggeriskan mata pelajaran sains dan matematik. Ia juga tidak popular.

Malangnya di alaf baru ini tiada lagi Cikgu Mohd. Nor Ahmad. Yang ada hanya Abdullah Ahmad, Hassan Ahmad dan Musa Mohamad.

Kesan awalnya industeri Bahasa Malaysia terancam. Pengarang Melayu yang tidak ramai itu yang mencari makan melalui tulisannya, tidak lagi dapat cari makan apabila bukunya tidak dicetak lagi. Kaum yang menguasai Bahasa Inggeris lebih beruntung.

Kongres Pendidikan Melayu mendapati pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris setakat ini menyebabkan pelajar lemah dalam mata pelajaran itu malah mereka juga lemah dalam mata pelajaran bahasa. Kesan jangka panjangnya, bilangan orang Melayu yang menjadi doktor, saintis, jurutera dan lain-lain akan merosot.

Kerajaan tidak menyangkal saranan dan kajian para pendidik Melayu itu. Kerajaan tidak mahu berpatah ke belakang kerana tidak mahu dilihat terburu-buru dan kerana yang ada sekarang adalah dasar kerajaan. Kerajaan mahu mempertahankan dasar kerajaan sekalipun ia berkemungkinan memperlemah kedudukan orang Melayu dalam pelajaran.

Kerajaan hanya berjanji untuk mengkaji kaedah pengajaran bahasa Inggeris yang terbaik. Berapa lama kajian itu dibuat?

Dalam kempen mengukuhan bahasa Inggeris ini, kedaulatan Bahasa Malaysia sudah dilihat berselerak. Siaran TV dalam bahasa Malaysia tidak lagi perlu alih bahasa dari Inggeris. Cuma ada terjemahan. Orang Melayu yang buta yang tidak tahu Inggeris tentu melihat terjemahan itu.

Semasa bahasa kita berdaulat dulu siaran La tour de Langkawi dalam dikuti dalam Bahasa Melayu. Sekarang Inggeris belaka. Dulu wartawan TV terpaksa buat dua interbiu. Soalan jawab dalam bahasa Malaysia untuk siaran dalam bahasa itu dan versi Inggeris pula untuk siaran Inggeris. Sekarang pakai satu saja biasanya yang digunakan ialah Inggeris.

Menonton berita TV sekarang mesti bersedia seperti menonton filem Hindustan, mengiktui kandungannya melalui terjemahan bertulis.

Yang yang bukan Melayu sudah tidak perlu lagi diinterbiu dalam bahasa Melayu dan apa lagi dalam perasmian majlis-majlis. Sudah ada bas memakai kalimah BUS di dindingnya. Mungkin akhirnya kalimah BAS tidak terepakai lagi.

Sampul tentang setem sudah berbayar masih dalam Bahasa Malaysia, tetapi lazimnya sampul surat yang beredar penuh dengan Inggeris saja.

Jabatan-jabatan kerajaan tidak lagi perlu menerima surat dalam bahasa Malaysia saja. Dalam apa saja hantarlah. Ia tidak akan dipulangkan semula. Samy Vellu pun mungkin tidak perlu lagi berucap dalam Bahasa Malaysia dalam perhimpunan partinya. Dalam siaran TV pun dia cuba mengekalkan penguasaan bahasa Inggerisnya.

Dan lebih menjolok mata dalam siaran TV mengenai laporan Parlimen, seorang Ahli Dewan Rakyat ketika membahaskan isu kenaikan tambang ferri Pulau Pinang menggunakan bahasa Inggeris. Mungkin bahagian itu saja dia berbahasa Inggeris, tetapi TV menyiarkan dia berbahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris itu penting, tetapi apakah untuk mengatasinya, membiarkan dasar bahasa Malaysia berselerak seperti sampah yang tidak dipungut Alam Flora?

Ia adalah peninggalan Tun Dr M.

Kalau Cikgu Mohd. Nor Ahmad dihidupkan kembali, dia mungkin berkata, ‘Lebih baik dia kekal di kuburnya.’

SeTAPAK
25/04/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home