Subky Abdul Latif

Monday, May 02, 2005

DAPATKAH PAK LAH DILIHAT ANTI RASUAH?

IMEJ yang cuba dipupuk oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi sejak sebelum menjadi Perdana Menteri ialah untuk membentuk sebuah kerajaan yang bebas rasuah.

Mula-mula diketengahkannya ketika masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam satu seminar pegawai-pegawai tinggi dari seluruh negara di Kuching. Tan Sri Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipercayai penasihat utama Perdana Menteri menjadi pemidato penting seminar itu.

Tan Sri Musa adalah seorang yang dari mula terlibat dalam kerajaan cuba muncul sebagai seorang anti rasuah. Pak Lah dipercayai mahu berkongsi dengan ketuanya satu masa dulu.

Selepas bertindak ke atas Tan Sri Kasitah Ghadam, menteri ketika ditahan PBP, Tan Sri Eric Chea, bekas raja Perwaja yang pernah menjadi sahabat rapat Tun Dr. Mahathir sebelum dan selepas menjadi Perdana Menteri, serta beberapa tindakan menahan dan menyoal ke atas pegawai tinggi kerajaan, gerakan anti rasuahnya dilihat senyap dan rasuah dilihat tidak senyap.

Hanya selepas 18 menjadi Perdana Menteri beliau mengulangi lagi azamnya yang dikira dasar kerajaannya untuk mengekang rasuah. Dasar anti rasuah, dakwahnya, tidak terhenti, tetapi mengekangnya bukan suatu yang senang.

Lee Kuan Yew, pemimpin tua Singapura mencadangkan suatu yang sangat disenangi para pegawai kerajaan iaitu meninggikan gaji mereka sebagai satu langkah mencegah rasuah.

Pak Lah tidak melihat cadangan itu mampu membersihkan negara dari amalan itu kerana perangai buruk itu juga dilakukan oleh orang kaya sekalipun mereka jutawan.

Dunia seluruhnya simpati dengan Pak Lah. Cita-cita dan azamnya tinggi untuk mewujudkan kerajaan bebas rasuah di tengah kerajaan yang berbalut rasuah. Cuma balut rasuah kerajaan yang beliau warisi tidak setebal balut yang membelenggu kerajaan-kerajaan ASEAN selain Singapura dan tidak dipastikan Brunei Darussalam.

Rasuah di Malaysia bagaimanapun lebih ketara dibandingkan ketika menerima kemerdekaan. Gejala itu terbiar di zaman Tunku, bertambah selepasnya. Geraf itu tidak pernah terhenti selepas itu.

Dasar yang cuba dibawa oleh Pak Lah adalah suatu tidak diberi perhatian sangat oleh Dr. Mahathir. Itulah tanggapan umum terhadap pemimpin dulu dan sekarang dan kerajaan dulu dan sekarang.

Mungkin Pak Lah bersungguh dan azamnya kuat. Tetapi dasar beliau baru dirasakan suatu azam yang belum bermula atau terhenti selepas dilancarkan. Dasar yang diketahui umum itu mulai dilihat seperti yang dulu juga.

Tidak wajar untuk tidak memberi kepercayaan kepada beliau atas serba kepayan yang dihadapinya dalam perkara kronik itu, tetapi tidak ramai yang berani mengatakan kerajaan ini lain dari yang dulu dalam menghadai isu rasuah.

Kerana semuanya mahu menyokong dasar itu, maka harapan masing-masing ialah kejayaannya berlaku seperti cencaru makan petang. Pemancing yang tidak sabar nascaya meninggalkan kolam kerana keciwa dengan ikan tak makan kail.

Imej rasuah sebuah kerajaan tidak sekadar kerana rasuah dilakukan oleh seramai-ramai orang, tetapi dikira rasuah kerana ia dilihat rasuah dan disebut-sebut rasuah oleh ramai orang.

Sebuah kerajaan yang tegas memulakan pembersihan rasuah itu dengan mengelakkan orang-orang yang dirasakan rasuah duduk dalam kerajaan. Tidak adil menghukum seseorang rasuah kerana dia belum didapati rasuah oleh mahkamah dan malah belum dibawa ke mahkamah.

Adalah benar seorang yang belum didapati bersalah oleh mahkamah adalah orang belum salah. Memang payah menggantung jawatan seorang pegawai yang tidak didapati bersalah oleh mahkamah atau orang yang belum disahkan bersalah.

Tetapi dalam sebuah masyarakat politik yang sihat, kerajaan perlu bersih. Orang-orang yang belum disahkan salah oleh mahkamah, tetapi diragukan kebersihannya oleh masyarakat, tidak wajar disertakan dalam senarai kabinet.

Tiada sesiapa selain dari Dato Seri Anwar Ibrahim didakwa atas kesalahan rasuah. Tuduhan rasuah ke atas beliau diterima oleh umum sebagai rasuah silap mata, kerana ada dalam kamus rasuah di Malaysia, menghalang seseorang menjalankan tugasnya adalah rasuah. Rasuah itu tidak termasuk dalam rasuah yang orang biasa faham.

Sekalipun tiada sesiapa di kalangan kerajaan sebelum ini didakwa rasuah, tetapi kerajaan itu dirasa dan dilihat rasuah. Peninggalan kerajaan terdahulu diwarisi oleh kerajaan yang ada. Peri adanya dakwaan ke atas Tan Sri Kasitah dan Tan Sri Eric mengesahkan anggapan imej buruk kerajaan lalu. Tetapi ia tidak cukup untuk menjadikan kerajaan dan pimpinan baru adalah bersih.

Fitnah yang dilontarkan kepada sebuah kerajaan, tidak bererti kerajaan itu salah dan benar-benar buruk. Tetapi fitnah itu sendiri cukup untuk menjadikan kerajaan itu tidak diyakini dan memungkinkan dasarnya tidak lebih dari satu propaganda.

Perdana Menteri tentu lebih tahu tentang rakan-rakannya. Rakan-rakan itu mungkin tidak seburuk yang digambarkan, tetapi gambaran buruk itu tidak dapat membantu mewujudkan gambaran baik kerajaan baru walaupun kerajaan membuat dasar yang baik seperti memerangi rasuah.

Justeru politik itu suatu seni pentadbiran dan pemerintahan, maka orang-orang yang terjun dalam politik tahu dan pasti sanggup menerima rasiko fitnah dan sebagainya. Jika dia mahu terus disenangi, maka dia mesti berusaha menjauhkan sebarangan tempias dan jangkitan fitnah.

Sifat baik sebuah kerajaan ialah ia tidak rasuah dan tidak dilihat rasuah. Yang tidak rasuah tetapi dilihat rasuah, adalah sama dengan sebuah kerajaan rasuah.

Justeru itu kerajaan-kerjaan yang bermaruah seperti di Jepun dan yang pernah dilakukan di India, menteri secara rela melepaskan jawatan apabila berlaku musibah dalam jabatannya. Kereta api berlanggar bukanlah kesilapan menteri, tetapi demi maruahnya menteri yang bertanggungjawab meletak jawatan.

Tiada orang politik patut kecil hati kalau imej buruknya menyebabkan dia tidak diseranaikan dalam kabinet. Seoang Perdana Menteri bertanggungjawab untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih. Orang-orang yang boleh menyebabkan kerajaan dilihat tidak bersih, terpaksa dihindarkan.

Azam dan dasar kerajaan baru untuk mengekang rasuah adalah wajar dan patut dialu-alukan, tetapi ia terpaksa menghadapi soal keyakinan umum. Seelok mana dan sejujur manapun sebuah dasar dan azam, ia berdepan dengan masalah jika soal keyakinan tidak diberi perhatian.

Lee Kuan Yew adalah seorang manusia biasa dan tentunya tidak sempurna. Ada cacat celanya. Tetapi dalam isu memerangi rasuah, dia dapat meyakinkan umum. Walaupun dengan senjata itu dia telah melumpuhkan semua pencabarnya, dia berjaya mewujudkan keyakinan terhadap dasar rasuahnya.

SeTAPAK
02/05/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home