Subky Abdul Latif

Sunday, May 08, 2005

IMAM MESTILAH LAKI2 ISLAM YANG MERDEKA

TIADA berbangkit dalam masyarakat isu memberi kepercayaan kepada imam muda tau mengekalkan imam tua. Amalan dari dulu di masjid dan surau di mana-manapun ada imam tua dan imam muda.

Imam bukan satu jawatan yang diminta, seperti memohon jawatan kosong di pejabat dan firma sebagai pegawai eksikutif, kerana, mandor dan sebagainya. Tetapi imam adalah jawatan yang dianugerah masyarakat kepada orang yang berkelayakan dari kalangan penduduk yang telah mereka perhatikan sejak beberapa ketika.

Apabila terdapat kampong dan mukim yang malang, tiada yang layak menjadi imam, maka masyarakat tradisional dulu mencari orang-orang yang layak dari luar bagi menjadi imam.

Apabila Turki moden di bawah sistem pemerintahan warisan Ataturk yang terkutuk mendapati pupus imam dan guru, maka diwujudkan sekolah imam hatib bagi melahirkan imam dan khatib. Anak-anak muda keluaran sekolah itu dapat memenuhi pasaran imam hingga sekarang.

Lalzimnya masyarakat akan memerhatikan bakal imam terdiri dari seorang yang sempurna anggota badan – tidak cacat - yang baik bacaannya. Kalau terdapat dua atau lebih yang baik bacaannya, siapa pula yang lebih ilmu dan lebih waraknya. Kalau itupun sama juga, siapa yang lebih tua.

Penghormatan kepada yang tua tetap ada. Tetapi apabila anggota masyarakat mendapati ada antara anggota khariahnya anak muda yang berpengetahuan agama yang tinggi, maka anak muda yang bergigi penuh itu ditolak ke depan untuk mengimamkan solat, orang tua yang tidak bergigi penuh dan berdiri pun sudah tidak kuat, secara sukarela memberi laluan kepada yang muda bergigi penuh itu.

Pada masa bilangan hafiz bertambah sekarang, masjid dan surau berlumba mendapatkan imam hafiz. Tidak pelik lagi ada remaja awal belasan tahun yang hafiz atau separuh hafiz menjadi imam solat tarawikh walaupun ada imam-imam senior.

Jika imam rasmi atau imam tetap diinstitusikan sebagai pegawai yang bergaji tetap, maka yang utama bukan lagi sekadar kelayakan ilmu – addin dan akadamik – tetapi kefahaman dan pegangannya yang jelas tentang Islam.

Imam yang bergaji bukanlah sama seperi orang makan gaji yang lain yang mesti patuh kepada majikan – betul atau tidak betul.

Imam adalah orang yang menjadi ikutan dalam serba serbi, tentulah yang membawa kepada kebaikan. Dengan segala kelayakannya tadi, imam adalah guru, pengulu, pemandu, pendakwah dan tauladan. Imam adalah pendakwah ulung di tempat masing-masing.

Ada peraturan dan garis panduan yang mesti diikut dan menjadi pegangan pegangannya. Ia itu tidak melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil. Imam mesti diredai oleh makmum dan masyarakat. Seorang yang ada kelayakan tetapi tidak diperkenan oleh masyarakat yang takutkan Allah tidak boleh menjadi imam.

Imam mesti menjaga dan peka supaya jangan ada makmumnya mufarakah iaitu mengelak berimam kepadanya. Jika ini berlaku, dan yang mufarakah itu mempunyai hujah, pada ketika itu imam itu wajar berundur dan memberi laluan kepada yang lain.

Dengan demikian terhindar kejadian dua imam dalam masyarakat.

Kini imam mulai dijadikan satu jawatan bergaji dan ia imam adalah pegawai yang tertakluk kepada peraturan am. Kedudukannya samalah dengan lain-lain pegawai.

Dalam keadaan seperti ini tugas imam adalah untuk memimpin orang awam dan tertakluk kepada budi bicara jamaah atau jawatankuasa masjid/surau. Lazimnya imam bukan orang yang paling penting dalam jamaah masjid. Dia hanya orang penting dalam solat saja.

Yang paling penting dalam jamaah itu ialah pengerusinya. Imam tidak semestinya menjadi pengerusi. Urusan khariah ditentukan oleh pengerusi jawatankuasa masjid/surau tidak ditentukan oleh imam. Justeru itu imam tidak lebih dari seorang yang makan gaji saja.

Tugas imam makan gaji yang tidak punya kuasa aksikutif menjalankan dakwah amar makruf, dan dakwah nahi munkar bergantung kepada keadaan. Bukan budi bicaranya menentukan pelaksanaan nahi munkar. Oleh kerana itu kerja imam di luar solat dalam masyarakat ialah berdoa, mengepalai tahlil di rumah anak khariah, solat jenazah dan talkin.

Dalam suasana masjid dan imam ditentukan oleh JKKK, kuasa menentukan khutbah yang sesuai dengan keperluan tempatan pun tidak ada pada imam. Imam sebagai Khatib hanya membacakan khutbah yang dipusatkan.

Cabaran bagi imam sekarang bagaimana mahu menjadi pendakwah utama bagi tempatnya dan penentu keputusankeputusan besar dalam masyarakat masing-masing.

Kalaupun tidak menjadi pengerusi masjid/surau tetapi kehadirannya menjadi orang yang didengar dan patuhi oleh pengerusi dan jawatankuasa masjid. Imam adalah orang yang mendengar pandangan semua orang termasuk pengerusi dan anggota jamaah masjid, tetapi semua pandangan itu sebagai panduannya untuk membuat keputasan dan menentukan urusan masjid dan khariah.

Kalau imam itu ibarat ketua iksikutif IKIM, ia tidak sekadar menguruskan kefahaman Islam orang ramai, tetapi yang utama ia mesti menguruskan kefahaman pengerusi dan lembaga pengurusan IKIM itu dulu.

Sesudah kefahaman mereka dapat diurus, dengan sendirinya kefahaman kerajaan tentang Islam juga terurus, maka barulah pentadbiran kefahaman Islam masyarakat diuruskan secara licin dan berkesan.

Kalau imam tidak dapat melakukan peranan ini, maka maslah yang akan dihadapi oleh ketua eksikutif yang sedemikian, ialah orang ramai terasa kefahaman Islamnya lebih terurus dari pihak yang hendak menguruskan kefahaman mereka.

Dilema yang dihadapi oleh ketua eksikutif masjid, IKIM, YADIM dan lain-lain ialah orang ramai terasa urusan kefahaman mereka lebih terurus, maka bagaimana semua institusi ini boleh menurunkan pengaruhnya ke akar umbi.

Imam muda dan imam tua mesti dilihat sebagai tenaga yang dapat didengar oleh lembaga pengurusan masjid yang terdiri dari kebanyakannya anggota JKKK. Kalau JKKK itu sendiri merasakan imam adalah kecil daripada kuasa dan pengaruhnya, maka bagaimana JKKK itu dapat menghormatinya dan bagaimana pula imam itu dapat diterima sebagai orang yang berkesan dalam masyarakatnya?

Oleh kerana yang berkelayakan untuk menjadi imam akan mengelak dari menjadi imam. Mereka akan lebih tertarik untuk menjadi guru J-KAF walaupun di situ juga makan gaji.

SeTAPAK
08/05/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home