Subky Abdul Latif

Friday, May 27, 2005

MURSYIDUL AM DAN TIMBALAN PULA JADI PERHATIAN

SIAPA gandingan Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Timbalan Presiden PAS akan diketahui dan selesai selepas muktamarnya ke 51 di Putih, Kata Bharu pada 5 Jun ini kiranya ada pertandingan.

Tetapi perhatian umum dan ia mungkin difikirkan oleh ahli-ahli parti ialah siapakah pula yang akan menerajui Majlis Shura Ulama sebagai pengerusinya yang berpangkat Mursyidul Am dan Timbalannya?

Mursidul Am kini disandang oleh Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nikmat menakala timbalannya ialah Dato Dr. Haron Din.

Sekalipun urusan politik harian PAS dikendalikan oleh Presiden, tetapi jawatan yang paling berpegaruh adalah Mursyidul Am. Muryidul Am boleh memanggil Presiden bagi meminta sesuatu penjelasan dan boleh memanggil Majlis Syura bagi membatalkan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat.

Keuzuran Mursyidul Am yang pertama Almarhum Haji Yusof RAwa, sekali itu tenat, tetapi ia tidak dijadi persoalan besar kepada jamaah kerana disampingnya terdapat tiga tokoh ulama yang gagah iaitu Ustaz Nik Aziz, Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang.

Keuzuran Mursyidul Am menjelang muktamar ke 50 dulu membangkitkan soal penggantian atau gandingan.

Dalam muktamar ke 50 itu isu besar yang berbangkit ialah tuntutan memperkasakan kepimpinan ulama yang bererti mengaktifkan Majlis Syura Ulama. Bagi tujuan itu Mursyidul Am wajar diapit oleh seorang tokoh yang dilihat boleh menggantikan Mursyidul Am kira beliau berundur atau apa-apa keadaan yang menyebabkan beliau tidak dapat menjalankan tugas.

Nama besar yang dinampak boleh membantu Ustaz Nik Aziz dan boleh menggantikannya ialah Dato Dr. Haron Din yang ketika itu adalah ahli Majlis Syura calon Timbalan Presiden yang menarik diri.

Semua jawatan tinggi dalam PAS itu layak disandang oleh Dr. Haron. Bukan saja kerana imejnya yang besar dalam masyarakat tetapi beliau adalah orang yang bertanggungjawab menyempurna naskah Dokumen Negara Islam yang dibentangkan oleh PAS dalam bulan Ramadhan sebelum pilihan raya umum dulu.

Rangka dokumen itu dibuat oleh para pemikir PAS dalam berbgai bidang dan yang menyempurnakannya sebagai sebuah dokuman rojokan ialah Dr. Harun Din sesuai dengan ilmu ijazah kedoktorannya adalah dalam bidang tersebut.

Tetapi dengan keadaan Dr. Haron pula sejak April 2005 menghadapi masalah sakit jantung semula, menyebabkan beliau dinasihat oleh pakar IJN supaya bercuti, malah dilarang terus berfikir tentang perkara berat, maka dengan sendirinya ia menjadikan Majlis Syura kemabali kepada keadaan sebelum beliau dipilih menjadi Timbalan Mursyidul Am.

Malah ia menjadikan kedudukannya sudah sama seperti Mursyidul Am juga. Penyakitnya kira-kira sama dengan keadaannya yang pertama enam tahun lalu. Beliau mesti menjalani rawatan segera.

Selepas rawatan yang pertama dulu, doktor yang merawatnya mengucap syabas untuk menikmati kesihatan selama lima tahun. ‘Sekarang sudah enam tahun,’ kata Dr. Haron.

‘Saya tidak perasan apa maksudnya dengan kata-kata itu dulu. Sesudah kena serang semula baru teringat, rupanya tempoh jaminannya lima tahun,’ ujarnya lagi.

Dari segi semangat keuzuran yang dihadapi oleh sesiapa juga tidak menghalang meneruskan perjungan atau apa-apa juga kerja ibadat. Malah keuzuran mendorong seseorang lebih bersemangat beribadat.

Tetapi politik adalah kerja berat. Sekalipun tiada sistem pencen dalam Islam dan ibadat, tetapi ibadat itu sendiri bergantung kepada keupayaan. Tidak boleh solat berdiri, solat duduk. Tidak boleh duduk, baring. Tetapi yang tidak boleh solat berdiri, tidak pula wajar menjadi imam. Tetapi tetap jua solat.

Mungkin politik tidak solat, tetapi politik dalam sebuah Negara yang tidak semua rakyat Islam dan Islam pula tidak pula berpolitik Islam, para pelanggan politik adalah bebas memilih dan mereka mahukan sesuatu yang menarik perhatian mereka.

Uzur dan tua tidak menghalang perkhidmatan dan berkhidmat. Tetapi imam mesti sihat dan boleh berdiri sendiri. Jika ditakdirkan kedua-dua tokoh utama Majlis Syura itu memerlukan ganti, maka sudah tentu kekosongan terpaksa diisi.

Bila ganti diperlukan tidak diketahui. Mungkin sebulan lagi, mungkin setahun atau liama tahun lagi. Tetapi dalam keadaan tidak ada apa-apa parti-parti politik terpaksa menyediakan calon gentian supaya peralihan pimpinan berjalan lancer.

Dalam keadaan yang ada ia mungkin boleh diatasi kekosongan itu dipenuhkan oleh Presiden sendiri. Almarhum Haji Yusof Rawa menjadi kedua-dua Mursyidul Am dan Presiden.

Jika ditakdirkan Mursyidul Am itu nanti disandang oleh Ustaz Hadi, tetapi akan diperhatikan pula siapa bakal menjadi Presiden selepas itu dan siapa pula jadi Mursyidul Am?

Lazimnya ganti itu akan berlaku sendiri. Seperti orang menanyakan siapakah yang bakal menggantikan Dato Asri Muda sebagai pemimpin PAS? Orang tercari-cara. Masing-masing tidak nampak. Tetapi apabila berlaku, serentak muncul empat orang sekali iaitu Haji Yusof Rawa, Ustaz Nik Aziz, Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi. Yang pergi satu, yang datang ramai.

Moga-moga biarlah begitu.

SeTAPAK
27/05/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home