Subky Abdul Latif

Wednesday, May 04, 2005

SYOR KHENG YAIK AKAN MATIKAN UMNO

DR. LIM Kheng Yaik, pemimpin Gerakan dipercayai mewakili pandangan semua masyarakat bukan Melayu kiranya mahukan anak-anak bukan Melayu belajar di Sekolah Kebangsaan, gugurkan saja mata pelajaran agama.

Sesiapa yang hendak belajar agama, belajarlah di rumah masing-masing atau di rumah ibadat agama masing-masing.

Jika syor Dr. Lim itu diterima dan jika itulah kemahuan sekalian masyarakat bukan Melayu, nescaya akan penuhlah sekolah-sekolah kebangsaan dengan murid-murid bukan Melayu.

Tetapi akan kosonglah sekolah kebangsaan dengan murid-murid Islam. Hanya anak-anak Islam baka yang tinggal di sekolah kebangsaan. Anak-anak orang Islam akan mencari sekolah lain yang ada pelajaran agama. Jika ketika itu ada sekolah jenis kebangsaan (Cina) mengajar mata pelajaran agama Islam, nescaya penuh pula sekolah itu dengan murid-murid Islam.

Semasa Datuk Seri Abdullah Badawi masih Timbalan Perdana Menteri dulu beliau melawat Afrika Selatan. Dia terkejut melihat kanak-kanak Melayu dari Malasia berusia 10 tahun dan 11 tahun belajar di sana.

Beliau bertanya kanak-kanak itu, ‘Apa sebab datang belajar ke Afrika Selatan?’

Jawab mereka, ‘Ayah mahu kami belajar agama…’

Sungut orang tua itu, ‘Apa tak kenanya pelajaran agama Islam di Malaysia?’

Bukan sekolah-sekolah di Malaysia tidak ada pelajaran agama, tetapi ada ibu bapa di Malaysia yang tidak yakin dengan pengajarannya, maka mereka mencari hingga ke Afrika atau menghantar anak-anak kecil mereka ke mana-mana saja yang mereka yakin.

Antara ibu bapa itu mencari yang lebih baik. Pelajaran agama di Malaysia ada, tetapi di tempat lain lebih baik.

Itu pandangan mereka. Apa kita nak kata.

Dalam keadaan kerajaan menunjukkan kesungguhan untuk mengadakan pelajaran agama yang terbaik, pun ada ibu bapa Islam yang tidak yakin, apa yang dapat diduga apabila pelajaran agama diajar di rumah-rumah dan di surau-surau saja?

Kheng Yaik kena faham, berbuih mulut Pak Lah menerangkan Islam Hadhari hingga ke Pakistan, ke Mesir, hanya ke kutub utara saja yang belum, tetapi masih ramai orang yang tidak dapat menerimanya. Kalau syor Kheng Yaik itu diterima, maka ia akan dikira sebagai kehendak sebenar Islam Hadhari.

Kerajaan Pak Lah berusaha memperkenalkan J-KAF sebagai usaha membaiki lagi pengajaran Islam di sekolah-sekolah, tetapi itu ada orang Melayu memilih untuk keluar negeri atau menghidupkan terus Sekolah Agama Rakyat.

Kerajaan hentikan bantuan SAR, kerajaan beri gaji tinggi kepada lulusan tinggi agama menjadi guru j-KAF supaya guru SAR lari dari SAR, itu pun sjkar menarik setengah ibu bapa. Mereka melihat luar negeri juga.

Kerajaan minta kedutaan-kedutaan asing jangan mengeluarkan visa kepada anak-anak Melayu yang hendak belajar agama keluar Negara. Pun ada juga yang terlepas. Nasib baik keselamatan tidak terjamin di Selatan Thailand, maka orang Melayu menangguhkan penghantaran anak ke Pattani dan Yala.

Kalau keamanan pulih di Selatan Thailand, nescaya ramai orang Melayu menyeberangkan anak-anak ke sana pula. Akan ada orang yang sanggup membantu mendirikan sekolah agama di sana dan meberi derma, kerana ia bakal jadi pilihan kepada anak-anak orang Melayu belajar agama.

Kalau sekolah kebangsaan pula mentiadakan pelajaran agama, ia akan menghidupkan semula sekolah agama rakyat, dan jika krisis di Selatan Thailand selesai, orang akan ke sana kerana perbelanjaan murah dan sebagainya.

UMNO pernah ditinggalkan oleh orang Melayu atas sebab-sebab pendekatannya mengenai Islam kurang meyakinkan setengah orang. Sekarang kerajaan perkenalkan konsep Islam Hadhari, adakan J-KAF dan sebagainya, supaya UMNO dilihat bersungguh-sungguh mengambil berat tentang Islam dan pendidikannya.

Ia dipercayai boleh mengekalkan orang UMNO dalam UMNO dan boleh pula menarik generasi baru supaya bersama UMNO. Beberapa tahun dulu, ramai Pemuda UMNO malu hendak mengibarkan bendera UMNO dan tidak mahu kereta mereka menggunakan pelekat UMNO, tetapi sekarang berebut-rebut mahu jadi UMNO kerana ada kemampuan untuk memajukan Islam.

Kalau syor Kheng Yeik diterima, ia akan mengambalikan Malaysia sseperti Tanah Melayu sebelum Jepun datang. Akhir orang Melayu akan meninggalkan UMNO kerana agama dikembalikan ke rumah dan ke surau-surau.

Kheng Yaik dilihat mahu merasionalkan orang Melayu tentang cara memajukan sekolah kebangsaan, tetapi Kheng Yaik tidak pula berfikir bagaimana hendak merasionalkan orang bukan Melayu tentang mata pelajaran Islam.

Setiap penduduk di Malaysia patut memahami dan mengetahui semua aspek dan semangat yang ada dalam perlembagaan termasuk aspek agama rasmi iaitu Islam. Ia wajib bagi orang Islam kerana ia akidah, tetapi bagi yang bukan Islam ia ada kait dengan hubungan sesama manusia di Malaysia.

Sesuatu yang dirakamkan dalam perlembagaan seperti Islam sebagai agama Negara wajar diketahui. Bagi Islam ia wajib kerana akidah agamanya, dan bagi bukan Islam, ia ada kaitan Negara dan kehidupan di negara ini. Ia bukan akidah baginya.

Suasana di Malaysia, bukan saja orang bukan wajar mengetahui agama persekutuan, tetapi orang Islam juga wajar memahami dan mengatahui aspek lain-lain agama. Bagi bukan Islam agama mereka adalah aqidah mereka, tetapi bagi orang Islam ia adalah satu cara untuk memahami orang lain yang ada di Malaysia. Semuanya ini memandu hormati menghormati sesama sendiri.

Bagi orang Melayu memahami budaya dan agama lain itu satu sukarela yang penting. Bukan orang bukan Melayu memahami dan mengetahui Islam itu wajar dan tertalu penting kerana ia agama Negara. Melalui mata pelajaran di sekolah itulah ruang bagi mereka untuk mengetahui dan memahami aturan dan peraturan Islam.

Tidaklah perlu anak-anak mereka hendak ke surau dan ke masjid bagi mengetahui ajaran Islam. Sanggupkah setiap orang Melayu menerima orang bukan Melayu datang ke rumahnya setiap masa untuk memelajari Islam?

Kalau adalah perbincangan mengenai perbandingan agama di luar kuit, di luar pagoda dam di luar gereja, maka mudahlah orang secara sukarela menghadirinya. Orang Islam tentulah sukar untuk ke gereja dan ke kuil.

Oleh kerana itu orang-orang berpengaruh seperti Kheng Yaik patut mengadakan percambahan fikiran sesama sendiri supaya masing-masing tidak melihat agama rasmi itu sebagai suatu yang mesti dihindari. Datuk nenek mereka yang mula-mula datang ke rantau ini tidak dipaksa menukar agama dan tidak dihalau kerana beragama lain, sedang masing-masing pada masa itu tidak saling mengenali seama sendiri.

Sekarang semua kenal dan hak dan jaminan masing-masing sudah jelas, maka mengapa terlalu takjub untuk ke sekolah kebangsaan semata-mata kerana ada mata pelajaran Islam?

Malaysia memerlukan para pemimpin yang mampu memecahkan kegerunan itu bukan mempersoalkan tafsir dan mengapa faraid tidak sama antara anak laki-laki dan anak perempuan.

SeTAPAK
04/05/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home