Subky Abdul Latif

Sunday, June 19, 2005

AKHIRNYA PENAGIH DIBEKAL KONDOM, JARUM

PERDAMA Menteri dan kerajaan seolah-olah sudahpun dipengaruhi oleh menteri Dr. Chua Soi Lek untuk membekalkan kondom dan jarum kepada penagih dadah yang disahkan mengidap aids.

Cadangan membekalkan kondom pernah disuarakan lama dulu oleh Marina Mahathir tetapi ketika itu ia tidak disertakan dengan keuntungan yang akan diperolehi oleh Negara jika ia dilaksanakan.

Tetapi kehebatan menteri MCA dari Johor itu berjaya menarik para pembuat belanjawan, justeru itu tindakan itu jika dilaksanakan akan menyelamatkan wang Negara begitu benyak.

Kerajaan dianggar berbelanja sekitar RM500 juta setahun atas pencegahan aids. Tetapi jika penagih dibekalkan jarum dan kondom, kerajaan berbelanja RM145 juta saja. Banyak mana wang pembayar cukai dapat diselamatkan?

Dan banyak mana pula pengilang dan pembekal jarum dan kondom beroleh keuntungan dari langkah itu? Saudagar mana yang mendapat tendernya nanti? Saudagar MCA atau saudagar UMNO?

Biasalah pembekalan besar seperti itu dicetuskan oleh para peniaga. Contohnya, lama sebelum tali pinggang keledar diwajibkan, saudagar-saudagar melobi para menteri supaya membuat undang-undang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar. Tidak dinafikan pentingnya alat itu untuk keselamatan, tetapi motivasinya didahului oleh faktor keuntungan para saudagar. Keselamatan jadi faktor tambahan.

Dadah dan aids adalah bala kepada semua tetapi ia adalah nikmat dan kekayaan bagi setengah orang. Banyak yang untung bila jarum dan kondom itu lulus nanti.
Tidakkah ia juga menyumbang kepada perkembangan ekonomi?

Halal haram, bala dan keburukan sudah menjadi perkara kedua. Bukan haram dan salah yang difikirkan dulu. Sesudah semua cadangan diterima, maka baru Majlis Fatwa diminta bersidang bagi membolehkan atau mengharamkan. Maka serba salahlah ahli-ahli Majlis Fatwa yang lemah lembut itu untuk membuat keputusan. Lazimnya kerana lembah lembut mereka itu, jarang permintaan kerajajan itu dihampakan.

Sepatutnya, hukum itu ditanya dulu. Kerajaan sedang memerangi dadah dan yang ramai menjadi mangsa ssekarang orang Islam. Dadah barang yang diharamkan. Penggunaan jarum dan kondom kepada penagih dadah adalah perkara salah dan bermula dengan tidak diharuskan kalaupun tidak diharamkan.

Memberi jarum dan membekalkan kondom adalah perbuatan menggalakkan penagih dadah. Di situ letaknya hukum asal perkara itu. Justeru jarum dan kondom itu menjadi penggalak kepada penagih dan maksiat yang lain, pembinaan kilang jarum dan kilang kondom itu sendiri pun menjadi perkara yang dilarang.

Sesudah didahului oleh banyak keburukan dan maksiat kondom, maka di hujung-hujungnya barulah ada keharusannya. Ertinya keharusan itu sangat sikit dan keburukanlah yang lebihnya.

Pendek kata apa jua yang ada kaitannya dengan pengembangan penularan dadah adalah salah dan maksiat. Negara dan dunia sedang berperang dengan penyalahan guna dadah.

Tiba-tiba sekarang kerajaan pertama di dunia mengenakan hukum mati atas pendedar dadah adalah Malaysia. Tiba-tiba Malaysia pula mahu bertindak membasmikan maksiat dengan menggunakan barang teknikal maksiat. SAmalah ia dengan menggunakan najis bagi membasuh najis.

Kerajaan yang ada memang telah lama membenarkan rawatan penyakit social dengan menggunakan wang dari sumber yang tidak betul. Hasil keuntungan konsert, laba loteri dan judi, duit bunga digunakan untuk menyara dan merawat orang rosak akhlak dan ssebagainya. Bagaimana sumber kotor itu boleh membersihkan mangsa kekotoran itu?

Dalam kontek menghadapi mangsa dadah dan aids ini, yang belum dicadangkan oleh kerajaan ialah memberi dadah kepada penagih dadah. Ini saja yang belum dimasukkan ke dalam pekej yang dicadangkan oleh menteri kesihatan.

Alasan yang diberikan ialah antara pengidap itu masih bersyahwat. Mereka tidak wajar dicegah melepaskan kehendak syahwatnya. Antaranya beristeri dan bersuami. Maka kegiatan kelamin mereka menyebabkan pasangan dan zuriat mereka menjadi pengidap aids pula. Demikian juga yang berzina. Pasangannya akan dijangkiti.

Pertimbangan lebih banyak terhadap berperi kemanusiaan kepada penzina, bukan bagaimana hendak mencegah dan menghukum orang berzina.

Kasihan kepada penzina, pasangannya, dan orang yang bersubahat dengannya, maka kerajaan beercadang untuk membekal jarum dan kondom kepada mereka.

Ia sama dengan logic yang digunakan di barat, justeru pelacuran dan sundal tidak dapat dicegah, maka dimansuhkan hukuman zina dan dibenarkan amalan seks liberal. Justeru kajdian liwat tidak dapat dicegah, maka banyak parlimen menghalalkan perbuatan lewat, malah dibolehkan kahwin ssejenis.

Bekalan jarum haram dan kondom ini hendak dilaksanakan segera. Kerajaan tidak mahu ia dibincangkan meluas dalam masyarakat. Kerajaan pun meminta majlis fatwa bersidang segera untuk membuat keputusan seberapa segara. Itulah kerajaan Islam Hadhari. Tiada banyak masa diberi untuk mengkaji.

Ia perkara besar. Ia mesti dibincangkan dulu oleh anggota masyarakat. Sesudah ia dibincang dengan meluas, barulah kerajaan membuat keputusan.

Kerajaan yang bertanggungjawab biasa berhati-hati. Sekalipun nanti Majlis Fatwa mengharuskannya, kerajaan masih terus menimbangkannya. Sebarang keharusan yang dibuat oleh sebarang fatwa tidak s emesti dilaksanakan. Kerajaan yang berhati-hati masih berhak menimbangkan untuk menangguh walaupun sudah diberi laluan.

Sesudah ada hukum yang mengharuskan sesuatu masa, maka ketika itulah kerajaan boleh memikirkan sebarang cadangan. Jika ada cadangan alternative, maka dulukan perkara itu. Membekalkan kondom dan jarum adalah permulaan untuk membekalkan dadah itu sendiri. Ia wajar dijadikan pertimbangan terakhir.

Nampaknya kerajaan era Islam Hadhari sudah tidak terdapat menghadapi ancam dadah dan aids. Ia cuba hendak menghalalkannya. Jika kerajaan sudah tidak berupaya memikul amanah, jalan terbuka baginya ialah memberi laluan kepada pihak lain mengambil alih pemerintahan.

Dunia seluruhnya mengkeji pentadbiran Taliban di Afghanistan. Tetapi pimpinan para Mullah itu dulu berjaya melenyap benih pokok bunga popi. Malangnya apabila penjajahan Amerika berkuasa, bunga popi subur semula malah menjadi hasil penting tanah jajahan itu.

Bukan kerajaan Malaysia ini misti digantikan dengan kerajaan Taliban, tetapi pendekatan Taliban yang sangat berkesan dalam isu dadah dan aids wajar dipelajari. Jangan mudah sangat mendengar nasihat saudagar MCA yang mahu berniaga jarum dan kondom melalui tindakan kemenerian kesihatan.

SeTAPAK
19/06/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home