Subky Abdul Latif

Thursday, June 09, 2005

DATUK BANDAR KL TIDAK SEGAGAH MANA

SEJAUH mana gagahnya Datuk Bandar Kuala Lumpur seperti yang didakwa UMNO Wilayah Persekutuan tidak begitu jelas.

UMNO tidak memperincikan kuasa-kuasa yang ada pada Datuk Bandar apabila ia mahu mengurangkan kuasa ketua pentadbir bandaya di Lembah Kelang itu. Apa yang terselit di belakang cadangan UMNO itu ialah ia hendak mentadbirkan sama ibu kota komersil itu.

Jika diteliti dari lahiriyahnya, Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah seorang Datuk Bandar yang tidak sehebat mana dari segi kebebasan bertindak kerana ia bukanlah orang yang paling otoritatif dari segi kuasa semata-mata wujud seorang menteri yang menaunginya yang menentukan segala dasar dan halatuju bandaraya itu.

Mungkin Datuk Bandar Ipoh, Datuk Bandar Kuching dan lain-lain di Malaysia lebih selesa dari Datuk Bandar Kuala Lumpur, kerana sekalian Datuk Bandar itu tiada ketua lain selain dari Menteri Besar/Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tetapi seorang Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dilantik terus oleh Perdana Menteri, adalah seorang Datuk Bandar yang terpaksa patuh kepada Menteri Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan ikut mentadbir wilayahnya di Labuan dan Putrajaya. Sebelum wilayah tambahan itu wujud, kementerian itu tertumpu kepada urusan Bandar Raya Kuala Lumpur saja.

DAlam lain perkataan Wilayah Persekutuan seolah-oleh ada dua Datuk Bandar. Satu ialah Datuk Bandar yang dilembagakan jawatannya dan satu lagi Datuk Bandar tidak rasmi iaitu Menteri Wilayah Persekutuan.

Jika dilihat dari sudut Wilayah Persekutuan sebagai satu kementerian sama seperti kementerian-kementerian lain, maka Datuk Bandar sebagai ketua pentadbir adalah sama seperti Ketua Setiausaha Kementerian.

Ia tidak bertanggungjawab kepada Parlimen. Ia bertanggungjawab kepada menterinya saja.

Kedudukan seperti ini Datuk Bandar KL tidak sehebat Datuk Bandar Istanbul, Datuk Bandar London dan lain-lain.

Tetapi bagi Bandar Raya Kuala Lumpur, ada pula ketua pengarah di bawahnya. Sebelum Ruslin menjadi Datuk Bandar sekarang, beliau menjadi Ketaua Pengarah itu.

Jika Datuk Bandar dilihat sebagai ketua pentadbiran sebuah Bandar raya, maka Datuk Bandar adalah boss dan ketua pengarah adalah ketua eksikutifnya. Tetapi apabila ia dilihat sebagai satu unit dalam kementerian wilayah persekutuan, Datuk Bandar bukan lagi boss. Dia adalah ketua eksikutif dan menteri adalah boss.

Ketika Kuala Lumpur mula-mula menjadi Bandar Raya dulu, Datuk Bandarnya, Tan Sri Lokman Yusof dan Tan Sri Yaakub Latif adalah Datuk Bandar yang berkuasa penuh. Mereka tertakluk kepada menteri kerajaan tempatan saja.

Tetapi setelah diwujudkan kementerian wilayah persekutuan yang mulanya berketuakan seorang Timbalan Menteri, maka Datuk Bandar dari segi pengaruh sudah tidak lagi dilihat sebagai orang tunggal yang berkuasa penuh.

Ia hanya berkuasa kerana belanjwan Bandar raya disedia dan dibentangkan leh Datuk Bandar.

Jika Labuan dan Putrajaya tidak ada, sekadar Kuala Lumpur saja, jawatan Datuk Bandar itu adalah bertindan dengan Menteri Wilayah Persekutuan. Satu kerja dibuat oleh dua orang. Apa perlunya menteri wilayah persekutuan sesudah ada Datuk Bandar?

Jika Bandar Raya Kuala Lumpur perlu ditabdirkan oleh seorang menteri, mengapa dikekalkan jawatan Datuk Bandar? Mengapa diperlukan lagi seorang Datuk Bandar yang bertanggungjawab atas belanjawan dan lain-lain?

Jika gelaran Datuk Bandar itu perlu dikekalkan sebagai status ketua sebuah Bandar raya, maka jadikan DAtuk Bandar itu satu jawatan dalam cabinet bertaraf menteri.

Salah seorang anggota parlimen baik yang memenangi pilihan raya atau yang terlantik menjadi senator dinamakan sebagai Datuk Bandar bertaraf menteri kerajaan pusat. ADapun tugas Datuk Bandar itu samalah dengan tugas menteri-menteri lain dengan urusan Bandar raya itu sebagai portfolionya.

Urusan pentadbiran hariannya dijalankan oleh ketua setiausaha kementerian.

Apabila jelas urusan pentadbirannya adalah urusan sebuah kementerian, maka tiada siapa yang diluar kerajaan boleh meminta kuasa untuk mentadbirkan sama seperti yang dituntut oleh UMNO.

Adalah sangat bahaya bagi Bandaraya itu jika ia ditadbirkan sama oleh UMNO terutama yang terpilih duduk dalam badan itu nanti adalah ketua UMNO yang terlibat dengan politik wang. Yang bukan ketua UMNO tentu tidak akan diberi tempat dalam pentadbiran, Tetapi yang menjadi ketua UMNO lazimnya adalah yang naik atas politik wang.

Ia dengan sendirinya akan melibatkan Bandar raya dalam kancah politik wang. Dan apabila campur tangan, ia akan mengetuk pintu hati MCA, MiC dan lain-lain minta kuasa sama dalam urusan kota itu.

Dalam keadaan JKKK yang dengan kuasa yang ada menjadi orang yang sangat berkuasa di kampong, mendiskriminasi anggota pembangkang khususnya PAS, maka dengan UMNO campur tangan di Bandar Raya Kuala Lumpur, ia akan menjadikan Dewan Bandaraya sebagai sarang politik UMNO, MCA, MIC dan lain-lain. Ia akan menjadikan Datuk Bandar sekecil seorang budak pejabat.

Yang terbayang di belakang hasrat UMNO mengkaji semula kuasa Datuk Bandar mungkin dipengaruhi oleh rancangan membangunkan Kampung Baru yang rancak dibincangkan sekarang.

Seorang pembesar negeri Selangor dan Orang Besar Gombak pernah mencadangkan supaya pembangunan Kampung Baru diserahkan kepada UMNO. Mungkin ini mendorong UMNO mahu mengecilkan kuasa Datuk Bandar.

Yang penting bukan mengecilkan kuasa Datuk Bandar, tetapi bagaimana Datuk Bandar boleh menjadi sseorang pentadbir tunggal yang dinamik, sama hebat dengan Jakarta di bawah walikotanya Ali Sadikin satu masa dulu, atau Istanbul di bawah Recep Tayyip Erdogan (sebutan Rejab Taib Erdoghan) sebelum beliau menjadi Perdana Menteri Turki.

SeTAPAK
09/06/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home