Subky Abdul Latif

Tuesday, June 28, 2005

ISA SAMAD WAJAR BERUNDUR

DALAM apa keadaan jua Tan Sri Isa Samad wajar berundur dari sebarang jawatan UMNO dan kerajaan setelah lembaga disiplin partinya menggantung keahliannya selama enam tahun kerana disabitkan dalam amalan politik wang.

Soal beliau disabitkan dengan lima dari tujuh tuduhan melanggar tata etika pemilihan pimpinan UMNO adalah satu hal, tetapi jika belum disabitkan pun seseorang pemimpin wajar berundur apabila namanya sudah dicemari.

Dalam amalan mana-mana politik yang bermaruah, apabila saja seseorang pemimpin dibabitkan atau terbabit dengan apa jua yang dikira sekendal, maka tidak teragak-agak lagi ia wajar berundur.

Contoh terbaik ialah apa yang berlaku terhadap Naib Presiden Filipina Imanual Palaez di zaman pentadbiran Disdadu Macapagal. Padan anti rasuah mengeluarkan senarai orang-orang yang disyaki terbabit rasuah yang namanya ikut dimasukkan.

Dia membantah namanya disenaraikan dan tidak puas hati dengan Presiden Macaagal kerana membiarkan senarai yang memasukkan namanya diterbitkan.
Lalu dia meletakkan jawatan sedang dia tidak pernah didakwa selepas itu.

Dia tidak perlu menunggu didakwa dan disabitkan untuk berhenti. Dia berhenti dulu apabila nama baiknya telah tercemar. Dia berbuat demikian ialah kerana mahu menjadi ahli politik yang bermaruah.

Tan Sri Isa wajar menimbangkan untuk berundur dulu apabila namanya tersebar untuk didakwa. Soal beliau akan disabitkan adalah perkara kedua. Yang pertama dia wajar meletakkan jawatan dulu dalam parti dan kerajaan bagi menghadapi tohmah terhadapnya.

Berundur adalah lebih baik dari dikenakan tindakan. Berundur bagi memberi laluan kepada penyiasatan dan dakwaan akan memberikan satu impak kepada maruah politiknya. Dia boleh dikira sebagai orang yang berani menghadapi kenyataan atau kalau dia mahu membela diri, dia akan dilihat gagah.

Tetapi apabila digantung atau dipecat, maka dia keluar dari pejabat sebagai orang bersalah. Selepas itu meletakkan diri dalam keadaan tertekan apa pula akan datang selepas itu?

Apaila digantung dari jawatan dalam UMNO, beliau tidak segera meletakkan jawatan menteri, maka berbagai ramalan timbul dan ini mendedahkan diri dengan berbagai spekulasi.

Adakah dia akan digugurkan dari menteri dan bila? Berbagai-bagai komen luar tentang kedudukannya. Tetapi jika dari awal dia berhenti, nilai komen luar itu berbeza dan rasa simpati ikut mempengaruhi keadaan.

Keadaan yang ada, beliau tidak lagi ada kekuatan untuk mempertahankan kedudukan sebagai menteri. Tidak lagi logik bagi orang yang tidak kedudukan dalam parti untuk duduk dalam kerajaan. Kerajaan akan dilihat tidak bermaruah mengekalkan menteri yang dikenakan tindakan dalam parti.

Sekalipun beliau diberi peluang membuat rayuan, tetapi ia tidak akan berupaya menjadikan beliau sama sseperti sebelum dikenakan tindakan.

Malah sekarang, sama ada berundur dari menjadi menteri atau diberhentikan, piminan Datuk Seri Abdullah Badawi menghadapi satu kemelut tentang dari mana datangnya wang yang diagih-agihkan itu?

Jika kes beliau tidak diserahkan kepada BPR, kerajajan yang ada tidak dikira serius untuk membendung rasuah.

Dari pertuduhan yang disambitkan itu telah memberi gambaran kepada umum betapa besarnya jumlah yang diagihkan dalam skendal politik wang itu. Dari mana wang itu datang dan berapa jumlahnya?

Adakah ia wang peribadi? Kalau wang peribadi adakah ia dari gaji Menteri Besar Negeri Sembilan dulu?

Kalau jumlahnya nanti lebih besar dari gaji Menteri Besar, maka akan ada pula soalan, dari mana diperolehi bakinya?

Semua kerja ini boleh diselesaikan oleh PBR saja.

Tiada jalan patah ke belakang bagi UMNO. Ia mesti meneruskan kewujudan lembaga disiplin yang bebas kerana ia sudah diterima oleh UMNO sebagai kaedah yang terbaik untuk mencegah rasuah politik.

UMNO akan dilihat tidak bersungguh kiranya pendekatan yang ada akan dirombak. Kecuali jika berubah pimpinan. Selagi Abdullah Badawi menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, maka dasar yang ada itu akan kekal.

Tiada pilihan melainkan membenarkan BPR menyelesaikan urusan seterusnya dalam kes Tan Sri Isa ini.

Jika semua ekoran kes penggantungan itu berperanan, maka mungkin tempoh penggantngan enam tahun itu tidak cukup bagi menyelesaikan skendal Isa ini.

SeTAPAK
28/06/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home