Subky Abdul Latif

Friday, June 10, 2005

ISLAM HADHARI, KHUTBAH JUMAAT ATAU PROPAGANDA?

DI RUANGAN Agama, Berita Harian Jumaat 10 Jun, 2005 menyiarkan petikan khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor, 03 Jun, 2005 dengan tajuk Islam Hadhari kembalikan umat kepada al-Quran, sunnah.

Khutbah Jumaat adalah rukun solat Jamaat, justeru itu ia adalah ibadat dalam ibadat solat Jumaat. Tanpanya Jumaat itu tidak menjadi.

Petikan khutbah yang disiarkan dengan tajuknya adalah untuk menjelaskan satu program kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi yang diberi nama Islam Hadhari. Ia dikatakan bukan mazhab baru dan bukan ajaran baru.

Ia dikatakan satu pendekatan memajukan Islam dan umat mengikut panduan al-Quran dan sunnah.

Sebagai program kemajuan saja ia adalah satu teori. Apabila ia disebut mengikut panduan yang ditetapkan mengikut al-Quran dan sunnah, maka ia adalah satu program Islam sewajarnya seperti yang ditentukan oleh Allah dan yang disampaikan oleh rasulNya SAW. Ia mesti menepati kehendak amar makruf dan bersih dari munkar atau membersihkan munkar.

Persoalannya adakah khutbah itu menerangkan isu dan hakikat Islam Hadhari itu yang sebenarnya atau ia satu teks propaganda dan tajuk propaganda yang semata-mata untuk menarik sokongan orang awam?

Kedutaan Soviet Union di Kuala Lumpur pernah mengedarkan kenyataan akhbar kepada media mengenai kononnya pemerintahan Soviet Union menjalankan pentadbiran mengikut ajaran al-Quran dan sunnah.

Setiausaha Politik Tun Dr. Ismail, Menteri Dalam Negeri, Haji Ikhwan Nasir cepat-cepat memberi tahu saya, ia adalah siaran propaganda. Apabila komunis mendakwa ia mahu melaksanakan Islam, ia jelas propaganda kerana komunis anti agama.

Beberapa tahun kemudian siaran yang sama diedarkan lagi. Mingguan Watan tersiar berita itu. Saya menelifon pengarang Watan menanyakan, mengapa siaran propaganda itu disiarkan? Entah kerana itu, beberapa kemudian pengarang itu dikenakan tahanan ISA.

Al-Marhum Tunku Abdul Abdul Rahman Putra, pengasas Negara dan kerajaan Malaysia menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia adalah berasaskan secular. Ia tidak dibantah oleh dua Perdana Menteri selepasnya. Sekalipun Tun Dr. Mahathir mendakwa Malaysia sudah Negara Islam, tetapi dia tidak pernah mendakwa program pentadbirannya berasaskan al-Quran dan sunnah, malah beliau mahu Quran ditafsir semula.

Perdana Menteri Abdullah Badawi belum diketahui pernah menyebut bahawa program Islam Hadhari berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Kerajaan Kelantan sekarang dan kerajaan Terengganu di bawah PAS itu terkial-kial untuk menjadikan al-Quran dan sunnah ssebagai panduan, tidak mendapat laluan dari kerajaan pusat.

Jika Islam Hadhari sudah di atas landasan al-Quran dan sunnah, maka membuka laluan kepada enakman yang Kelantan dan Terengganu luluskan untuk pelaksanaan.

Adakah Jabatan Agama Islam Selangor dan Berita Harian lebih sudu dari senduk?

Adalah dibimbang sdutan khutbah itu dan tajuk yang digunakan oleh Berita Harian adalah satu bahan propaganda.

Islam bukan teori dan bukan propaganda. Ia adalah agama dan syariat yang tidak dapat tiada, mesti dilaksanakan. Islam Hadhari mungkin sudah menyesuaikan sepuluh prinsipnya dengan ajaran Islam. TEtapi apakah ia akan terlaksana seperti ajaran al-Quran dan sunnah menjadi tanda Tanya.

Bagaimana prinsip pertama keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi hendak dilaksanakan mengikut al-Quran dan sunnah tanpa melaksanakan hukum dan ajaran yang di bawa oleh dua sumber ajaran Islam itu?

Tanda beriman dan takwa secara lahiriyah seseorang ialah menutup aurat. Tiga orang anggota kabinet wanita Islam dalam kerajaan Islam Hadhari tidak menutup aurat. Jika Islam Hadhari berlandaskan al-Quran dan sunnah. Ketiga-tiga menteri wanita itu mesti berkepala lingkup.

Apabila mereka berkepala bogel, mereka adalah pendukung program Islam Hadhari, maka sah Islam Hadhari tidak berlandaskan al-quran dan sunnah, maka jelaslah khutbah dan tanjuk yang digunakan oleh Berita Harian itu satu gejala propaganda.

Sejak bila khutbah dan akhbar menjadi tempat saluran propaganda?

Propganda adalah satu penyataan yang bukan dasar dan ia bukan satu pakta. Ssuatu dasar adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dan boleh diketahui benarnya. Tetapi propaganda adalah suatu penyataan yang tidak dapat diketahui sah dan benarnya, ada dan ketiadaannya.

Dan apabila khutbah itu mengaitkan pula program itu dengan maqasid syariyah, satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh pemimpin dan pentadbiran Islam, maka Islam Hadhari tadi tidak lagi sekadar satu program kemajuan dan pembangunan biasa, tetapi ia sudah menjadi satu gerak revulusi pembangunan Islam, jiwa dan raga.

Sebuah program oleh campur aduk sekular dan segala macam keduniaan, tidak terdaya memikul tanggungjawab maqasid syariyah. Maqasid Syariyah tidak berfungsi di tengah masyarakat yang punya 150 cenel TV yang tak terkawal, karnival heboh dari desa ke desa, kehidupan malam hingga larut malam.

Setakat ini program kemajuan itu sudah dilihat sebagai satu propangada berhubung Islam. Dan petikan khutbah serta tajuknya yang cuba mengaitkannya dengan al-Quran dan sunah, apabila cuba memberi gambaran yang lebih indah dari yang difikirkan oleh pencetusnya, maka ia boleh dilihat sebagai satu propgtanda pula klepada Islam Hadhari itu.

Majlis Fatwa sepatutnya dalam keadaan yang mengelirukan ini wajar cepat bersidang, supaya di mana duduknya Islam Hadhari dalam Islam dapat ditentukan. Umat Islam dibimbangi sesuatu yang bukan dari Islam tetapi dikaitkan dengan pelaksanaan Islam Hadhari, lala ia disangka Islam.

Majlis Fatwa wajar menfatwakan apakah Islam Hadhari adalah satu kaedah menuju takwa dan keimanan kepada Ilahi atau ia tidak lebih dari satu propaganda.


SeTAPAK
10/06/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home