Subky Abdul Latif

Friday, June 17, 2005

KONSEP KEPIMPINAN ULAMA, BUKAN SEMUA AHLI PAS ULAMA, BUKAN SEMUA AHLI ILMU ULAMA

SEMUA kenyataan oleh sebarang orang dari warga PAS, baik pimpinan, ahli biasa dan penyokong, perlu cermat mentakrifkan konsep kepimpinan ulama yang dipelopori oleh PAS sejak tahun 1982.

Sebarang kenyataan yang dibuat kepada media yang tidak simpati kepada PAS, kononnya sebarang pengiat PAS di baris depan dan orang-orangnya yang terkemuka adalah ulama, dan setiap ahli ilmu tidak kira apa bidang adalah ulama, hanya mengelirukan orang ramai terutama ahli-ahli PAS dan menyukarkan orang-orang PAS untuk memberikan penjelasan apabila ditanya.

Secara ijmak belum ada sebarang perbincangan PAS secara rasmi mahu pun tidak rasmi membuat keputusan seperti itu. Sebarang perkara besar yang tidak pernah diputus dan tidak pernah dibincangkan oleh badan tertinggi PAS, hendaklah berhati-hati sekalipun sesuatu pandangan itu adalah bersifat peribadi.

Almarhum Dato Fadzil Noor, sekurang-kurangnya dua kali mengingatkan pimpinan tinggi PAS supaya cermat membuat kenyataan terutama mengenai isu yang belum dibincangkan. Ingatan itu beliau buat perhubung dengan beberapa kenyataan pimpinan mengenai hak istimewa orang Melayu, mengenai satu isu yang melibatkan kaum buruh yang disalah laporkan oleh media dan lain-lain.

Sebagai seorang yang bertanggungjawab mencetus, merangka dan mengemukakan usul mempelopori usul kepimpinan ulama dalam muktamar Dewan Pemuda PAS tahun 1982 di Madrasah Masriah, Bukit Mertajam, saya tidak pernah memikir dan menyebut bahasa sekalian ahli PAS dan pimpinannya adalah ulama, dan tidak pernah memborong setiap ahli ilmu dalam apa bidang jua adalah ulama.

Maka kami juga tidak membincangkan kepimpinan ulama itu bukan orangnya tetapi institusi.

Segala-galanya bermula apabila Dewan Pemuda PAS tidak menerima sebarang usul dari negeri-negeri untuk dikemukakan dalam muktamar. Sebagai Setiausaha DEwan Pemuda PAS Pusat ketika itu saya bersama Ketua Dewan, sdr. Mustafa Ali dan Wan Abdul Mutalilb Embong membincangkan tentang usul yang perlu dikemukakan atas nama Dewan Pemuda PAS Pusat.

Perbincangan itu diadakan di Bukit Mertajam di rumah Almarhum Syaikh Ahmad Masri, ninda Haji Hasan Salehuddin, ahli Eksko DEwan Pemuda PAS Pusat.

Rangka usul yang saya kemukakan ialah bahawa Muktamar Dewan Pemuda PAS hendaklah mempelopori konsep kepimpinan ulama. Muktamar menerima sebulat suara untuk dibawa ke Muktamar PAS muka dua minggu kemudian di Kuala Lumpur. DAlam muktamar itulah Dato Asri menyerahkan semula mandatnya sebagai Yang Di Pertua Agung PAS kepada muktamar dan diterima.

Muktamar PAS Pusat itu juga tidak menerima ssebarang usul dari perwakilan kecuali usul-usul yang diluluskan oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di Bukit Mertajam. Ia diluluskan sebulat suara.

Lebih lima tahun sebelum usul itu dikemukakan, saya tinggal serumah dengan abang saya, Almarhum Ustaz Baharuddin Abdul Latif, ahli Jawatankuasa PAS Pusat sejak zaman Dr. Burhanuddin al-Hilmi hingga ke zaman Haji Yusof Rawa.
Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PAS.

Beliau sering menimbulkan dalam perbincangan bahawa kelemahan yang melanda PAS ketika itu adalah natijah PAS tidak dipimpin oleh ulama dan yang berpengaruh di sekeliling pimpinan atasan PAS terdiri dari bukan ulama. Pendiriannya ialah PAS sebagai gerakan Islam mesti dipimpin oleh ulama. Ketika itu Ayatullah Khomeini, pimimpin besar Iran dan revulusi Islam Iran belum dikenali.

Saya adalah wartawan yang tidak berparti ketika itu dan mengikuti perkembangan PAS dari dekat. Dalam keadaan PAS yang kalut itulah saya menyertai PAS.

Kebetulan saya adalah orang PAS yang pertama melawat Iran selepas Khomeini berkuasa. Bersama saya ialah Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Suhaimi Ahmad dari Kedah dan Dato Abdul Halim Kadir yang kemudiannya menjadi Mufti Terengganu.

Rahsia kejayaan revolusi Islam Iran mengikut tinjauan saya ialah wujud satu pasukan pimpinan terdiri dari para ulama yang diketuai oleh Ayatullah Khomeini, rakyat Iran berdiri teguh di belakang ulama dan mereka mendengar kata-kata ulama.

Saya terasa apa yang disebutkan oleh pemuda-pemuda Iran itu sama dengan apa yang acap dibincangkan oleh abang saya dengan saya dan kawan-kawannya sejak beberapa tahun sebelumnya.

Dalam ceramah ke seluruh negara selepas itu saya cetuskan pandangan itu. Antaranya saya berucap bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Exco DEwan Pemuda PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika itu di sebuah masjid di sekitar Paya Jaras, Selangor. Beliau tidak membantah pandangan saya.

Antara perkara yang saya ketengahkan ialah perlunya PAS ssebagai sebuah gerakan Islam dipimpin oleh para ulama dan mempelopori konsep kempinan ulama di negara ini. Ia akan membawa barakah dan mudah mencapai keredaan Allah.

Allah telah menentukan bahawa yang berhak menjadi pimpinan di muka bumi ini adalah ulama justeru ia adalah manusia yang paling takutkan Allah dan orang yang paling kegetahui ilmu-ilmu yang diturunkan oleh Allah.

Allah menjadikan makluk manusia bermula dengan Adam adalah untuk menjadi khalifah di bumi setelah bukit bukau dan gunung ganang menolak tawaran dan amanah dari Allah. Maklum manusia dan jin dicipta Allah untuk beribadat kepadaNya, tetapi peranan khalifah tidak diberi kepada jin, hanya diberi kepada manusia.

Adam sebagai khalifah dibekalkan oleh Allah dengan ilmu Allah sebagai bekalan dan panduan mentadbir. Para malaikat dan jin belajar dari baginda.

Antara makluk yang banyak itu, Allah tetapkan kanusia sebagai pimpinan bumi dan alam. Di antara makluk manusia itu pula yang paling layak menjadi pmimpin ialah Islam. Di kalangan orang Islam itu yang layak menjadi pemimpin ialah orang yang paling berilmu dan taqwa.

Yang paling bertakwa dan berilmu di kalangan manusia ialah para nabi. Selepas ketiadaan nabi, yang paling taqwa dan mukmin ialah para ulama yang dipanggil sebagai waris para nabi.

Dunia dan alam ini akan penuh barakah jika ia diletakkan di bawah pimpinan para ulama. Bukan sekadar gerakan Islam wajar dipimpin ulama, bahkan persatuan bola dan sukan juga wajar diketuai oleh ulama atau orang-orang mempunyai imej dan akhlak ulama.

Jika pasukan sukan dipimpin oleh ulama, nescaya mereka memastikan ahli sukan menutup aurat dan mengelakkan waktu sukan pada ketika waktu semua orang mesti beribadat. Sukan nanti nescaya bersih dari gejala maksiat.

Ulama adalah orang yang paling berilmu. Dia paling tahu kandungan Quran dan mampu mentafsirkannya. Paling takut sunnah dan mudah memandu umat denan sunnahnya. Paling takut kepada Allah. Juseru itu ia akan menjadi ketua yang paling kurang melanggar perintahan Allah. Melalui nilai ini, pimpinannya membawa barakah dan paling mudah mencapai keredaan Allah.

Oleh kerana roda dunia ini berputar. Serangan penjajahan barat selama lebih 400 tahun, telah menyerang ulama dan umat Islam, hingga para ulama terasa rendah diri dan umat Islam hilang kepecayaan diri. Dalam banyak hal, ulama telah dipencil dan dipinggirkan dalam pimpinan masyarakat. Hatta di setengah negara masyarakat Islam sukar untuk mendapatkan ulama untuk menjadi pemimpin, justeru mereka dijadikan imam masjid dan tukang berdoa saja oleh penjajah.

Hal ini disedari oleh Dewan Pemuda PAS ketika itu. Justeru itu Dewan Pemuda PAS mengambil tanggungjawab untuk mendaulatkan ulama sebagai orang dan sebagai institusi; menolak para ulama ke depan bagi mengepalai perjuangan dan jihad masyarakat, dan PAS mesti berdiri di belakang, membantu ulama mara mencapai kedaulatan.

Para profesional, cerdik pandai, saudagar, pekerja mahir dan sebagai yang mendapat taribiyah dan yang belum ditarbiyah, bersedia duduk di bawah ulama, demi keyakinan kepada keberkatan berpemimpinkan ulama.

Golongan yang bukan ulama, sedar akan keterbatasan dirinya, tidak memiliki martabat keulamaan, betapa payahnya untuk memenuhi kehendak dan keupayaan seorang ulama, rela menjadi pembantu ulama memimpin PAS. Orang yang bukan ulama yang mempunyai cirri-ciri kepimpinan yang baik tidak pernah terpinggir dalam lingkungan kepimpinan parti, dan berbangga menjadi pembantu ulama, menjadi kawan ulama dan perbeluang bersama ulama siang dan malam.

PAS di negeri-negeri dan kawasan-kawasan tidak semestinya berpesuruhjayakan ulama dan berketuakan ulama, memandangkan kesesuaian dan keadaan setempat, tetapi pesuruhaya dan ketua yang tidak ulama ini, bersedia dibantu oleh orang-orang yang berilmu, bagi memastikan pimpinan itu sentiasa terikat dengan konsep kepimpinan ulama.

Dalam apa keadaan pun jika wujud mereka yang berilmu, wajar digalakkan mereka ke hadapan, supaya satu saf pimpinan yang terancang dapat dibentuk.
Dalam apa keadaan, PAS tidak panatik supaya semua ketua kawasan dan semua ketua cawangan misti ulama, kerana yang lebih penting bagi ssesbuah gerakan ialah pimpinan yang dinamik di bawah payung ulama yang lebih besar bersama Mursyidul Am dan ahli Majlis Syura serta Presiden bersama Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

PAS tidak mengharapkan semua pemimpinnya dalam tahun 1951 ketika ia dibentuk terdiri dari para ulama. Ia juga tidak mengharapkan sekalian yang memimpin PAS dalam tahun 1982 selepas usul kepimpinan ulama diluluskan terdiri dari ulama.

Yang tidak ulama tetapi berwibawa telah menjadi pemimpin tetapi mereka tetap bukan ulama kerana mereka tidak mendapat pendidikan agama secara formal sekalipun mereka ahli ekonomi, professor, jurutera, saintis dan sebagainya. Merka sendiri tidak bersedia dipanggil ulama, malah untuk digelar ustaz pun mereka tidak senang, kerana beratnya mahkota ulama untuk dijunjung oleh kepala yang tidak ulama.

Masyarakat mengira ulama adalah orang yang serba tahu dalam perkara ilmu, dan ia tempat masyarakat meminta pandangan dan tunjuk ajar. Jika yang tidak ulama dipaksakan dengan martabat ulama, ia hanya menimbulkan kekeliruan dalam banyak perkara. Tetapi rata-rata mereka yang bertahun-tahun dalam kepimpinan, berkat berkawan dan bergaul dengan ulama, mereka berupaya menjadi kawan ulama yang sebaik-baiknya sebagaimana Khalid al Walid yang hanya hafaz empat khul tetapi memilik akhlak dan martabad yang tinggi.

Tetapi ulama sendiri mesti berkembang mengikut proses. Jika dalam tahun 1982, setiap ulama layak berada di garis depan. Bilangan ulama mesti bertambah dari semasa ke semasa, dan nilai serta martabat ulama juga mesti dimeningkat dari semasa ke semasa. Dalam perkembangan selanjut, tidak semua ulama itu diletakkan di garis depan. Yang di depan ialah mereka yang berupaya muncul sebagai ulama haraki yang mahir, yang menguasai ilmu strategi, menguasai ilmuj kepimpinan.

Ulama yang tidak memiliki syarat yang dikehendaki oleh ulama haraki wajar memilih saf-saf yang sesuai dengan kedudukannya, memberi laluan kepada ulama haraki. Tidak dinafikan ada yang berilmu tetapi malas, ada yang berkelulusan tinggi tidak mencapai martabat pemimpin, maka mereka wajar berada di tempat yang layak untuk mereka.

Kelemahan ada pada individu ulama tertentu tidak wajar dijadikan hujah untuk menolak kepimpinan ulama. Kepimpinan ulama adalah releven untuk semua masa dan ketika. Keberkatan dan keredaan Allah terhadap kepimpinan ulama itu tidak pernah dicutikan. Semua pihak mesti berjiwa besar seperti Dewan Pemuda PAS dalam tahun 1982 iaitu terus menerus berusaha mendaulatkan ulama.

Kiranya setelah berpuluh tahun ulama didaulatkan, tiba-tiba berulang kepincangan dan kelemahan lama, ia adalah satu yang trajis bagi PAS dan ujian kepada orang-orang baru. Menjadi tanggungjawab semua orang muslim mengkaji mengapa terjadi demikian?

Orang-orang baru jika benar mereka berjuang kerana perjuangan PAS, mesti menyambung semula pendekatan memartabadkan ulama dan mengatasi kelemahan yang berlaku, supaya kepimpinan ulama dalam PAS tidak menjadi perkara bermusim.

PAS adalah gerakan Islam yang diasaskan oleh para ulama. Sesiapa yang menyertainya, tetapi tidak akur dengan matlamat dan tujuan PAS diasaskan, cuba menjadikan halatuju dan cara bertindaknya sama dengan lain-lian organisasi secular dalama dan luar negeri, Insya Allah tercicir dan gugur sebagai orang yang gagal.

PAS adalah warisan yang ditinggal oleh ulama, mesti dipelihara. Sekalipun Islam berdepan dengan penuh cabaran sejak merdeka, tetapi Islam masih bertunjang, segala-galanya adalah disebabkan wujudnya PAS dan masih wujud. Jika PAS hancur, maka tiada lagi benteng bagi Islam dan Melayu. Yang menjamin ketahanan PAS ialah ia berteraskan kepimpinan ulama.

Yang ulama dalam PAS mesti dikata ulama, yang tidak ulama mesti dikatakan bukan ulama. Jika pimpinan PAS tidak cermat, semua yang masuk PAS dikira ulama, semua yang berilmu adalah ulama, ia akan menyusahkan orang-orang PAS yang ke surau dan ke pasar. Mereka akan ditanya. Apa mereka patut jawab. PAS memerlukan waktu untuk membangunkan PAS, bukan mengabiskan masa untuk menjawab kekeliruan yang dibuat sendiri.

SeTAPAK
17/06/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home