Subky Abdul Latif

Saturday, June 18, 2005

NGAPA NAJIB CAKAP, TAK AKAN CABAR JAWATAN LEBIH TINGGI?

APA yang mendorong Datuk Seri Najib, Timbalan Perdana Menteri bercakap di Kuala Lipis Khamis 16 Jun, 2005 bahawa beliau mengikut jejak bapanya tidak akan bertindak mencabar jawatan yang lebih tinggi?

Jawatan yang lebih tinggi itu dari sudut kerajaan ialah Perdana Mentenri dan dari sudut UMNO ialah Presiden. Kedua-dua jawatan itu kini disandang oleh Datuk Seri Abdullah Badawi.

Kata Datuk Najib, ‘Kalau ada kekosongan saya boleh tawar diri. Kalau tidak, saya tidak akan lawan.’

Datuk Najib memadankan sikap itu dengan ayahnya, Almarhum Tun Razak, yang dipercayainya mewarisi pemerintahan dari Perdana Menteri Tunku Abdul Rahjman Putra, tanpa merebutnya.

Ada dua perkara yang perlu diperhatikan dari kenyataan Najib yang tidak diminta oleh sesiapa dan tidak diperlukan oleh sesiapa.

Pertama mengapa dan apa tujuan kenyataan itu dikeluarkan dan kedua, adakah betul sehingga Almarhum Tun Razak tidak merebut jawatan yang disandang oleh Tunku itu baik sebagai Perdana Menteri mahupun sebagai Presiden UMNO?

Najib mungkin terasa bahawa kedudukannya dan politiknya adalah sama dengan kedudukan ayahnya, Tun Razak ketika menjadi timbalan Presidsen UMNO dan Timbalan Perdana Menteri di bawah Al Marhum Tunku Abdul RAhman dulu.

Jika ayahnya, Tun Razak terpaksa bersabar dengan hujah-hujah yang lebih wajar untuk bersabar, tetapi Datuk Najib mungkin ada alasan untuk tidak sesabar bapanya jika perlu dengan alasan yang lebih menasabah jika perlu.

Adalah benar Tun Razak terpaksa menjadi Timbalan Presiden UMNO sejak awal 50an hinggalah tahun 1970 dan menjadi Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1957 hingga tahun 1970.

Sepanjang sejarah politiknya, Tun Razak tidak pernah mengatasi Tunku dalam UMNO, kerana Tunku sudah menjadi Yang Dipertua Agung (kemudiannya menjadi Presiden) UMNO sebelum Tun Razak datang sebagai Ketua Pemuda UMNO dan kemudiannya Timbalan Yang Dipertua Agung.

Tetapi tidak Najib dengan Datuk Seri Abdullah Badawi. Sekalipun Datuk Seri Abdullah lebih dulu jadi Naib Presiden UMNO, tetapi sebelum dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, Najib pernah menjadi Naib Presiden yang lebih kanan daripadanya.

Sekiranya Dr. Mahathir mengira Timbalan Perdana Menteri itu mesti mengikut undi terkanan dalam pemilihan pimpinan semasa, maka mengikut tertibnya, pilihan itu pergi kepada Najib. Lepas itu barulah Datuk Seri Abdullah. Tetapi Dr. Mahathir tidak mempuat pertimbangan itu, maka Najib terpaksa berpuas hati untuk berada setingkat di bawah Datuk Seri Abdullah hingga dia bersara atau dicabar.

Jika dalam sejarah tiada bukti Tun Razak lebih popular dari Tunku, tetapi berbeza dengan sejarah Najib, bahawa ada bukti dia lebih popular dari Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Abdullah tidak pernah membuktikan selepas itu beliau mendapat undi popular lebih dari Najib.

Atas fakta itu banyak yang menyangka bahawa Najib mungkin lebih gagah dari Presidennya dan ada pula yang percaya pada masa ini Najib memang lebih gagah. Belum tentu Pak Lah boleh mengalahkan Najib jika ada pertandingan.

Dalam sepak terajang politik sekarang inipun memang ramai yang terasa bahawa Datuk Najib adalah lebih menonjol dan lebih bertaring dari ketuanya. Malah ini juga keyakinan setengah pihak terhadap politik Tun Razak semasa menjadi timbalan kepada Tunku.

Ramai juga ketika itu orang yang tarasa bahawa pemimpin sebenarnya a dalah Tun Razak, bukan Tunku.

Malah sekarang perhatian setengah kalangan UMNO adalah kepada Najib, justeru beliau memang membuat persediaan untuk mendaki lebih tinggi, cuba terpaksa menunggu.

Oleh kerana politik biasanya dipenuhi oleh tukang nujuk dan tukang hasut, maka banyaklah ramalan meletakkan Najib itu kononnya lebih baik dan lebih gagah dari ketuanya.

Dan dengan keyakinan bahawa Najib adalah orang yang sentiasa mendapat sokongan dan harapan dari Dr. Mahathir yang dirasakan masih berpengaruh, maka Najib memang dilihat sentiasa gagah dan berkeyakinan.

Datuk Seri Abdullah juga adalah seorang yang berhati perut juga. Dia dapat membaca dan dapat mendengar pandangan politik umum dalam hubngan keduanya.

Sikapnya yang terlalu lambat mengumumkan Najib sebagai timbalannya adalah satu teka teki yang menggalakkan pertelagahan. Ia seolah-olah Najib itu bukan pilihan sepenuh hatinya, tetapi ia adalah satu paksaan. Berbagai-bagai kemungkin jika ada pilihan lain.

Oleh kerana politik ini tidak pernah sunyi dari syak dan sangka, maka mungkin Najib perlu untuk meluahkan sikapnya bagi menghilangkan sebarang waham orang ramai terutama Perdana Menteri.

Tetapi kalau pernyataan Najib di Kuala Lipis itu untuk menyatakan kesetiaannya kepada Perdana Menteri, apakah ia boleh meredakan sebarang kebimbangan Perdana Menteri? Apakah tindak mungkin ia dikira sebagai isyarat untuk memberi tahu sesuatu?

Yang jelas ialah Najib memang menunggu jawatan yang diatasnya itu kosong. Dia sudah pun menawarkan diri dan ia tidak boleh ditukar kepada orang lain?

Kesetiaan kepada ketua itu bukan sekadar sedia menunggu lama untuk menggantikannya, tetapi mesti bersedia juga menerima jika ketua menentukan kedudukan itu diberi kepada orang lain.

Najib mungkin tidak tepat atau tidak bijak mengemukakan pendidikan ayahnya dulu sebagai sikapnya sekarang. Mungkin Najib mengira ayahnya seorang yang sabar dan penuh setia. Tetapi ada juga pandangan yang mengira bahwa warisan dari Tunku kepada Tun Razak itu bukan seperti buah ranum gugur sendiri, tetapi adalah bagai buah tua yang gugur dijolok.

Ada pandangan bahawa Tunku tidak turun sendiri dari tampuk pemerintahan, malah kuasanya sebagai ketua pemerintahan telah terlucut lebih setahun sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kuasa Perdana Meneri terlucut dari tangan Perdana Menteri selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kuasa itu sepenuhnya berada di tangan Pengarah Majlis Tindakan Negara yang dibentuk berikut kejadian tragis itu iaitu Tun Razak. Perdana Menteri dalam tempoh yang dipanggil Mageran itu sebenar tidak berkuasa.

Untuk Najib mengatakan sejarah tahun 1969 dan tahun 1970 itu suatu yang berlaku sendiri tidak berapa tepat dan banyak boleh dianalisa. Oleh itu Najib tidak boleh mengambil sejarah lama itu sebagai contoh, kerana ia mengandungi banyak perkara yang masih kabur.

Perdana Menteri boleh membuat tafsiran sendiri atas contoh yang Najib bagi. Nampaknya Najib memuka satu ruang polemik politik baru yang boleh dihujah berbagai-bagai.

SeTAPAK
18/06/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home