Subky Abdul Latif

Monday, June 27, 2005

RAKYAT PILIH AHMADINEJAD PRESIDEN IRAN

AHMADINEJAD, Datuk BandarTehran berhak mendapat tahniah dunia, justeru terplih menjadi Presiden Iran sekalipun ia satu keputusan yang memeranjatkan banyak pihak. Malah berupaya mengalahkan Ayatullah Akbar Hashemi Rafsanjani, seorang tokoh politik ulama yang terkemuka sejak kemenangan revolusi Islam pimpinan Khomeini hujung 1970an.

Masyarakat umum Iran dan dunia seluruhnya mengenali Mahmoud Ahmadinejad sebagai golongan ultra konservatif yang mungkin mengekalkan corak politik era Khomeini. Sekalipun Rafsanjani muncul sebagai orang yang terkemuka pada era itu bersama Khomeini dan Ahmadnejad hanya baru berusia 23 tahun ketika itu, tetapi Ahmadinejad dilihat lebih konservatif sekalipun beliau bukan ulama malah Rafsanjani yang pernah menjadi Speaker, Presiden dan ulama.

Sekalipun akuran pembaharuan dilihat begitu ketara di bawah bekas Presiden Khatemi tetapi ia sudah dimulakan oleh Rafsanjani. Rafsanjani dikira sebagai orang yang memulakan hubungan dengan dunia barat dan tidak teragak-agak dalam kempennya untuk memajukan program yang sudah dikembangkan di bawah era Khatami.

Dalam pusingan kedua pihan raya Presiden Jumaat 24 Jun 2005, Ahmadinejad meninggalkan Rafsanjani jauh ke belakang. Dalam pusingan pertama seminggu sebelumnya Rafsanjani mendahului Ahmadinejad, tetapi peratus yang keluar mengundi yang merosot pada pusingan kedua itu memberikan sokongan besar kepada Ahmadinejad. Beliau mendapat 62 peratas dan lawannya tinggal 35 peratus saja.

Selain dari Rafsanjani disokong oleh orang lama dan gerakan pro pembaharuan, tetapi beliau kaya. Ahmadinejad disokong oleh undi golongan miskin tetapi memilih aliran Islam yang dilihat lebih keras atau kembali kepada era pemulaan revolusi Islam negara.

Dalam suasana Iran di tengah pengaruh pembaharuan sebelum pilihan raya itu, ia terus diketepikan oleh barat pimpinan Amerika dan Israel, malah dalam keadaan yang mula terbuka dan menghadkan projek pembangunannya hanya satu program pembangunan, ia tetap dipencilkan, tetapi Ahmadinejad menjadi pilihan walaupun gambaran yang diberikan dia adalah ultra konsevatif.

Apa yang ditonjolkan mengenainya ialah dia seorang pelampau. Dia dihalang oleh Presiden Khatami menghadiri sidang kabinet walaupun beliau Datuk Bandar Taheran, beliau tidak sekadar mempertahankan program neuklear Iran malah kepada tahan yang lebih juah sebagai satu senjata, mengarahkan penutupan restoran makanan segera, berjambang dan berbaju tangan panjang bagi pekerja laki-laki, mengarahkan diturunkan poster bintang bola Britain, David Beckham.

Apa jua yang mendorongkan 40 peratus rakyat yang layak mengundi tidak keluar menunaikan tanggungjawabnya, tetapi majoriti rakyat yang mengundi memilih apa yang dikatakan konservatif sekali pun calon Presiden itu bukan ulama.

Tohmah dunia dan malah mengelirukan setengah umah betapa ulama digambarkan golongan konservatif dan ekstrimis, tetapi pilihan raya di Iran itu menyerlahkan yang konservatif dan eksrimis tidak semestinya ulama. Ulama dalam pilihan raya itu dilihat terbuka dan pro perubahan, tetapi pimpinan yang bukan ulama pula dikira konservatif dan ekstrim.
Sekalipun Iran diberi gambaran buruk oleh dunia, dan keputusan pilihan raya itu pula memenangkan calon yang paling tidak popular untuk dunia dan duniawi, ia adalah satu isyarat kepada dunia bahawa undi rakyat itu ada hubungannya dengan pendirian Amerika dalam politik antarabangsa.

Pilihan raya ini adalah yang pertama sejak 11 September 2001, yang pertama sejak Afghaistan dan Iraq diduduki Amerika dan sekutunya, yang pertama sejak Amerika dan barat menjadikan Islam sebagai pengganas, yang pertama sejak mencabar kedaulatan PBB dan yang pertama membawa tentera Amerika berada di sempadan Iran.

Sekalipun rakyat Iran tidak menolak usaha pembaharuan yang diketengahkan oleh Rafsantani dan Khatami, tetapi niat buruk Amerika terhadap agama dan umat Islam di mana-mana saja menyebabkan rakyat di bumi Islam bertambah curiga kepada halatuju Amerika yang dimajukan oleh pimpinan Bush.

Pentadbiran Amerika sekarang memilih Iran sebagai satu dari apa yang dikatakan ‘paksi kejahatan’ dan Amerika berniat untuk menjadikan Iran jajahan takluknya yang ketiga selepas Afghanistan dan Iraq, maka rakyat miskin Iran yang merasa pahit di bawah belenggu boneka Amerika di zaman Shah, dan masih ingat apa yang Amerika lakukan bersama Saddam terhadap negaranya.

Iran tidak menolak mengadakan hubungan dengan dunia luar termasuk Eropah seperti Perancis dan Jerman musalnya, tetapi rakyat juga peka dengan keputusan rakyat Perancis dan Belanda menolak rangka perlembagaan baru Eropah yang dipercayai sebagai satu isyarat menghalang keanggotaan Turki di dalam Kesatuan Eropah.

Apa jua keputusan pilihan raya di Iran itu, ia tetap tidak diterima oleh Amerika atas alasan kecacatgan demokrasi. Sistem pilihan raya itu bagi Bush mempunyai kecacatan, seolah-olah yang sempurna ialah demokrasi dan sistem pilihan raya Amerika saja.

Bush ketika memperleceh system pilihan raya Presiden Iran itu terlupa bahawa yang membawanya ke Rumah Putih bukanlah system pilihan raya Presiden Amerika tetapi ialah oleh mahkamah di Florida. Penyelewangan perjalanan pilihan raya di Florida yang adik Bush menjadi gabnornya menjadikan keputusan seluruh pilihan raya itu kabur, hingga mahkamah menentukan pemenangnya.

Justeru itu Bush adalah presiden Amerika yang paling kabur dalam sejarah negara itu.

Sistem pilihan raya dan demokrasi yang sempurna dan terbaik bagi sebuah negara, ada lemah dan cacatnya bagi negara lain. Ia cukup elok bagi Amerika, tetapi pincang pada pandangan Iran. Yang elok pada Iran, buruk pada Amerika.

Perlembagaan Amerika, pilihan raya dan demokrasinya dipengaruhi oleh ajaran Kristian yang dianutinya dan jarum halus zionis yang membelenggunya. Perlembagaan Iran, pilihan raya dan demokrasinya dipengaruhi oleh Islam yang menjadi anutan rakyatnya.

Jika system pilihan raya di Malaysia tidak mengikut demokrasi Britain, tetapi mengikut apa yang ada di Prancis, Jerman dan Indonesia, maka PAS pasti beroleh tidak kurang dari 40 kerusi setiap kali pilihan raya, malah tidak mustahil menentukan kerajaan.

Dalam system pilihan raya Malaysia, penyokong PAS di kawasan yang ia tidak bertanding menjadi siasia kerana mereka tidak dapat mengundi PAS. Undi PAS di semua kawasan nescaya berguna jika system asing terpakai di Malaysia.

Iran tidak akan setuju dengan sistem Amerika, sama seperti tidak setuju Rasulullah SAW dengan cadangan jihiliyah Qurisy mengenai toleransi agama seperti yang dirakam oleh surah al-Kafirun dalam al Quran.

Amerika tidak akan menganut demokrasi Iran dan Iran tidak akan menganut demokrasi Amerika. Bagi Amerika demokrasinya dan bagi Iran demokrasinya.

Dunia sudah tahu posisi Iran di bawah Ahmadinejad. Ia menangguh perubahan kerana Amerika tidak terbuka dan tidak pro toleransi. Amerika yang ada adalah Amerika yang sedang berperang dan menggunakan setiap perkembangan dunia sebagai bahan propadandanya. Dalam bentuk itu rakyat Iran mengundi Ahmadinejad belum bersedia berkira bicara dengannya.

Apabila tentera Amerika diundurkan dari Afghanistan dan Iraq sedikit hari lagi, maka Iran membuka lembaran baru. Tumpuan Ahmadinejad kini ialah bagaimana kemahuan rakyat miskin perlu dipenuhi. Presiden baru itu tahu pintu barat tertutup untuknya, tetapi dia banyak pilihan bersama OIC, NAM dan kuasa-kuasa besar yang lain yang juga mahu Amerika berubah dari belenggu Bush.

Kalau Iran terpaksa berperang dengan Amerika, ia bukan kerana Ahmadinejad tetapi ialah kerana Bush dan Amerika suka berperang dan menjadikan peperangan sebagai stratiginya. Tetapi perkembangan di Iran itu adalah satu lagi kegagalan dasar luar Amerika dan satu kegagalan pertama Condoleeza Rice.

Diplomasi Amerika masih beku sepanjang isu Iran.

SeTAPAK
27/06/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home