Subky Abdul Latif

Monday, June 27, 2005

TAKRIF ULAMA, ROJOK PERLEMBAGAAN PAS (2001)

SELURUH ahli PAS dan penyokongnya tidak wajar keliru dengan takrif ulama sekalipun kadang-kadang terdapat pimpinan tertingginya memberi kenyataan tertentu mengenai pengertian PAS tebtabg ulama.

Misalnya, Mursyidul Am, dikatakan membuat kenyataan bahawa mereka yang memberi komitmen perjuangan dalam PAS seperti Haji Mohamad Sabu yang tidak belajar agama secara formal misalnya boleh dikira ulama.

Atau ada pimpinan lain mengira ahli ilmu dalam bidang apa jua, tidak semestinya yang berkait khusus dengan cabang-cabang ilmu dalam Islam, boleh digolongan kepada ulama, satu pengertian yang sama dengan pandangan Dr. Mahathir.

Justeru itu ada orang luar yang mempermainkan pimpinan PAS, bagaimana dengan sanggahan mereka dulu, bermula dari almarhum Haji Yusof Rawa, al Marhum Dato Fadzil Noor dan lain-lian, terhadap kenyataan Tun Dr. Mahathir semasa menjadi pimpinan UMNO bahawa beliau adalah ulama justeru beliau ahli ilmu perubatan. Baginya setiap ahli-ahli ilmu, tidak semestinya ilmu mengenai Islam saja adalah ulama.

Apabila ahli-ahli UMNO dan media mengungkit semula perkara itu, ternyata ia sukar dijelaskan dan ia seolah-olah menampakkan pimpinan PAS tidak konsisten. Ia seolah-olah menyangkal sanggahan pemimpin-pemimpin dulu sebagai tidak terpakai.

Ia mempersulit penyokong-penyokong PAS untuk berhujah secara akadamis.

Hal-hal seperti ini perlukan penjelasan segera supaya PAS tidak terus dilihat bercanggah dalam kenyataan sama sendiri.

Dalam isu seperti ini wajar pimpinan PAS dan penyokongnya segera dan sentiasa merujuk kepada perlembagaan PAS. Kiranya ahli PAS mahir dengan kandungan perlembagaan partinya, nescaya kenyataan yang tidak dikehendak seperti itu tidak berbangkit dan tidak dikelirukan kiranya berbangkit.

Dalam perlembagaan PAS pindaan 2001 cetakan pertama tahun 2002 yang ditanda tangani oleh Dato FAdzil Noor, selaku Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri, Naib Presiden dan Haji Nasaruddin Mat Isa, Setiausaha Agung telah dirakamkan secara jelas akan pengertian ulama dalam kontek perjuangan PAS.

Fasal 7 (4)(a) mengenai kelayakan seseorang yang layak menjadi ahli Majlis Syura Ulama boleh memberi pengertian yang jelas takrif ulama itu seperti :

‘Seorang yang hendak dilantik menjadi ahli Majlis Syhura Ulama itu hendaklah seorang yang mengetahui masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, ass-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau (tidak) terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya dan hendaklah seorang ahli PAS.’

Rangkai kata ‘seorang ahli PAS’ dalam perenggan di atas tidak bermaksud ulama itu adalah seorang ahli PAS sekalipun tidak berilmu, tetapi ia bermaksud bahawa ulama yang hendak dilantik itu menjadi ahli Syura Ulama mestilah terlebih dahulu menjadi ahli PAS. Seorang ulama yang tidak menjadi ahli PAS tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Dalam Fasal 37(3) mengenai Dewan Ulama:

‘Ahli bagi Dewan Ulama itu ialah tuan-tuan guru atau/dan siswazah-siswazah mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Islam, yang telah menjadi ahli PAS.’

Jika mana-mana pemimpin dan ahli-ahli PAS membaca dan meneliti perlembagaan PAS, nascaya masing-masing dapat memahami bahawa seseorang ulama itu terdiri dari orang-orang yang diyakini menguasai dan memahami masalah pokok dalam syariat Islam dan segala hukumnya atau/dan dapat merujuk apa jua perkara kepada al-Quran, ass-Sunnah, Ijmak dan Qias.

Dia juga mesti faham akan maksudnya dan maknanya yang muktabar. Dia misti seorang yang adil dalam maksud tidak melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil.

Dan kiranya seorang yang berilmu ditakdirkan dalam hidupnya pernah melakukan dosa besar, tetapi dia hendaklah diketahui taubatnya. Orang Islam terutama ahli ilmu dapat mengenali taubat seorang yang bertaubat dan dapat mengagak tanda-tanda taubat olok-olok.

Tetapi kalau sekadar berilmu, perangai dan akhlaknya seperti orang di kaki lima saja, maka tidak berguna juga.

Keterangan dan kelayakan ulama bagi PAS dalam perlembagaan partinya adalah jelas tetapi mengapa kenyataan-kenyataan yang tidak dikehendaki itu terkeluar juga dari mulut orang PAS?

Jelaslah masing-masing tidak mengambil berat tentang kandungan perlembagaan parti. Dan ini tidak wajar berlaku terutama mereka yang berkedudukan penting dalam parti.

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam pengurusan parti dalam apa jua bidang, maka menasabah setiap ahli, apa lagilah pimpinan, menghazam aturan dan peraturan parti dengan bersungguh-sungguh.

SeTAPAI
27/06/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home