Subky Abdul Latif

Saturday, June 11, 2005

TUN DR. M TIDAK DILIHAT ANTI RASUAH

SEKITAR bulan April, 2005 mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir terkilan lantaran satu siaran akhbar Inggeris menyebut seolah-olah pentadbirannya tidak dilihat serius menentang rasuah.
Lalu muncul Ketua Pemuda UMNO, Dato Hishamuddin Hussein menjadi hulubalang kepada mantan Perdana Menteri itu, membela kononnya orang tua itu sangat anti rasuah dan dia menempelak pihak akhbar yang melihat demikian adaya pada pentadbiran Tun. Dr.Mahathir dulu setelah dibandingkan dengan pentadbiran Islam Hadhari Datuk Seri Abdullah Badawi sekarang.

Dr. Mahathir berhak terkilan tetapi terkilan saja tidak memadai. Beliau wajar memberikan bukti-bukti betapa beliau tidak seperti yang disangkakan oleh satu siaran akhbar Inggeris itu. Adapun hulubalangnya, kadang-kadang tidak dapat dijadikan saksi, kerana demikianlah nilai seorang yang layak jadi hulubalang.

Dr. Mahathir mungkin telah melakukan banyak perkara untuk membendung rasuah, tetapi sudah ada orang yang menilai dia tidak membuat apa yang sepatutnya.

Pada umumnya, kerja buat seseorang tidak memadai dinilai sendiri oleh pembuatnya, tetapi yang terpakai ialah nilai yang diberi oleh pihak lain.

Jika Malaysia sebuah masyarakat dan pentadbiran yang terbuka, maka ia mesti memberi laluan kepada penilai luar, kerana penilai luar adalah lebih bebas dari penilai dalam. Atas sebab-sebab demikianlah, syarikat dan pertubuhan memperuntukkan juru odit luar bagi menulai prestasi pertubuhannya.

Belum tentu yang diidamkan oleh pentadbiran Islam Hadhari dalam menentang rasuah lebih baik dari pentadbiran sebelumnya. Tetapi inilah masanya rakyat lebih bebas menilai apa yang dibuat oleh orang-orang terdahulu.

Kerajaan sekarang berikrar untuk memerangi amalan rasuah. Ia telah dimulakan sejak Datuk Seri Abdullah masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam satu seminar pegawai-pegawai tinggi kerajaan dari seluruh Negara yang diadakan di Kuching. Mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam menjadi pemidato utama atas maudhuk memerangi rasuah itu.

Permulaan pentadbiran Abdullah Badawi dilihat bermula dengan azam memerangi rasuah dan beliau mengambil beberapa tindakan besar yang masih dalam perbincaraan. Beliau menunjukkan keberanian mendakwa menteri kabinetnya Tan Sri Kasitah GAdam dan saudagar yang rapat dengan Dr. Mahathir atau boleh dikatakan kroninya, Tan Sri Eric Chea, bekas raja Perwaja, syarikat besi keluli di Kemaman.

Sekalipun nada anti rasuah pentadbiran baru gemuruh bak halilintar, tetapi setelah setahun kerajaan itu dilihat berjalan seperti kura-kura. Segala-galanya seolah-olah sudah diam. Politik biasanya seperti ayam bertelur. Telurnya sebiji riuhnya sedesa. Tiada politik diam-diam ubi dalam UMNO.

Jika politik anti rasuah Pak Lah yang gempita bak halilintar sudah mulai dilihat diam, maka politik rasuah diam-diam ubi Dr. Mahathir sudah tentu lebih sepi dari kura-kura atau sesepi ubi yang sudah tidak ada sepsis lagi.

Kes anti rasuah Dr. Mahathir yang masyhur ialah mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Itupun tidak melibat mengunaan wang barang satu sen pun. Ia sekadar dikatakan menghalang pegawai menjalankan kerja. Kes itu sendiripun dipertikai hingga berabad-abad.

Tidak dipastikan tempoh memuja dan memuji Dr. Mahathir masih berterusan. Tapi sudah ada percubaan untuk membuat pernuilaian. Demokrasi membenarkan penilaian sesegera mungkin dan ia dikira sihat. Undang-undang dan kejaksaan yang dinamik mampu mewujudkan penilaian yang saksama. Sistem pentadbiran yang diktator seperti era Stalin di Soviet Union dulu, terpaksa menunggu lama untuk menilai dan memasukan pentadbiran Stalin ke bakul sampah sejarah.

Setakat ini pandangan umum merasakan petadbiran Dr. Mahathir bukan sekadar tidak anti rasuah, malah pentadbirannya dirasakan rasuah dan dilihat tidak apa-apa dengan rasuah.

Sifat politik adalah begitu. Ia bukan terletak pada bukti dan pakta saja, politik itu juga bergantung pada persepsi; apa yang dirasa dan yang disangka.

Dr. Mahathir dan sekalian hulubalangnya mesti bersedia untuk mendengar dan menerima apa orang kata, dan beliau boleh membela diri dalam memoirnya yang semua orang tunggu.

SeTAPAK
11/06/05

0 Comments:

Post a Comment

<< Home